3 APRIL 2019
FILIPINA
Saksi-Saksi Yehuwa Menghasilkan Terjemahan Dunia Baharu dalam Tiga Bahasa di Filipina
Dalam beberapa perjumpaan istimewa yang diadakan pada bulan Januari 2019, Saudara Mark Sanderson, salah seorang anggota Badan Pimpinan, telah mengumumkan pengeluaran Bible dalam bahasa Cebuano, Tagalog, dan Waray-Waray. Pada 12 Januari, pengeluaran Bible dalam bahasa Cebuano telah diumumkan di Hoops Dome yang terletak di Bandar Lapu-Lapu. Keesokan harinya, Bible bahasa Waray-Waray diedarkan di Leyte Academic Centre yang terletak di Palo, Leyte. Pada 20 Januari, Bible bahasa Tagalog telah diedarkan di Dewan Perhimpunan Metro Manila yang terletak di Bandar Raya Quezon.
Acara ini juga dinikmati di ratusan Dewan Perjumpaan menerusi sambungan Internet, dan lebih daripada 163,000 naskhah Kitab Suci Terjemahan Dunia Baharu telah diedarkan.
Saudara Dean Jacek, yang berkhidmat di pejabat cawangan Filipina menjelaskan, “Edisi Cebuano dan Tagalog merupakan Terjemahan Dunia Baharu yang dikemaskinikan. Setiap edisi tersebut memakan masa lebih daripada tiga tahun untuk diselesaikan. Sebelum ini, bahasa Waray-Waray hanya ada Kitab Yunani Kristian. Kini, para pembaca dapat menikmati edisi lengkap Terjemahan Dunia Baharu dalam bahasa Waray-Waray. Projek ini menelan masa lebih daripada lima tahun.”
Lebih daripada 60 peratus penduduk di Filipina menggunakan bahasa Cebuano, Tagalog, atau Waray-Waray. Antaranya, terdapat hampir 160,000 saudara saudari dan lebih daripada 197,000 pelajar Bible. Selain itu, Terjemahan Dunia Baharu dalam ketiga-tiga bahasa itu juga dapat dinikmati oleh puluhan ribu orang Filipina yang tinggal di luar negara.
Saudari Donica Jansuy, salah seorang ahli sidang bahasa Tagalog di Amerika Syarikat, telah memuat turun Bible baharu itu. Dia berkata, “Bible dalam bahasa Tagalog yang dikemaskinikan sangat jelas dan mudah difahami. Kata-katanya membuat kita berasa seolah-olah Yehuwa sedang bercakap dengan kita, dan isi-isi Bible juga lebih menyentuh hati.”
Setakat ini, Saksi-Saksi Yehuwa telah menghasilkan sama ada keseluruhan atau sebahagian daripada Terjemahan Dunia Baharu dalam 179 bahasa. Kami berterima kasih kepada Yehuwa kerana Dia menyediakan terjemahan Bible yang jelas bagi manfaat saudara saudari dan orang lain yang mendengarkan berita baik.—Kisah 13:48.