Lompat ke kandungan

Gambar yang ditangkap sebelum pandemik COVID-19, Cynthia (kiri), seorang penyiar belum dibaptis yang lanjut usia, pekak, dan buta, menggunakan bahasa isyarat sentuhan untuk berkomunikasi dengan seorang saudari dalam sidangnya

12 MEI 2020
FILIPINA

Sidang Membantu Seorang Saudari yang Pekak dan Buta semasa Pandemik

Sidang Membantu Seorang Saudari yang Pekak dan Buta semasa Pandemik

Saudari Cynthia Pablo yang berusia 64 tahun ialah seorang penyiar yang belum dibaptis. Dia menghadiri Sidang Bahasa Isyarat Panghulo di Filipina. Dia seorang yang pekak dan buta serta sangat miskin. Dia tinggal bersama saudara-mara yang bukan Saksi di Bandar Valenzuela yang padat dengan penduduk. Walaupun Cynthia menghadapi situasi yang mencabar dan keadaannya bertambah susah kerana wabak COVID-19, saudara saudari dari sidang tetap menjaganya dengan baik.

Saudara Ilumin menggunakan motosikalnya untuk mengangkut pakaian yang bersih dan bekalan keperluan kepada Cynthia

Cynthia dianggap berisiko tinggi untuk dijangkiti COVID-19 disebabkan usianya. Pandemik tersebut telah menyebabkan kekurangan air di kawasannya. Akibatnya, Cynthia susah untuk membasuh pakaiannya. Sebelum krisis kesihatan ini berlaku, para saudari dari sidang membantu Cynthia untuk membasuh pakaiannya, tetapi aturan tersebut tidak dapat diteruskan kerana sekatan kerajaan akibat wabak itu.

Saudara Walter Ilumin, seorang penatua dari sidang Cynthia, telah mendapat permit khas daripada kerajaan tempatan yang membenarkannya keluar untuk menjaga Cynthia. Permit itu hanya diberikan kepada mereka yang memberikan perkhidmatan yang penting. Selain daripada membasuh pakaian Cynthia, Walter juga membawa makanan dan keperluan yang lain kepadanya. Dia mematuhi undang-undang dan panduan daripada kerajaan dengan teliti, termasuk memakai pelitup muka, menggunakan peralatan perlindungan lain, dan kerap membasuh tangan.

Bagi menunjukkan rasa syukur kepada saudara saudari, Cynthia membuat rakaman video singkat yang meluahkan penghargaannya. Kemudian, Saudara Ilumin, mengongsi video-video itu dengan sidang.

Cynthia sedang melakukan kerja penyebaran sebelum pandemik

Penatua itu juga pergi ke rumahnya untuk menterjemahkan perjumpaan Kristian yang diadakan menerusi telekonferens video dengan menggunakan bahasa isyarat sentuhan. Hasilnya, Cynthia dapat memberikan komen secara tetap semasa Pembelajaran Menara Pengawal. Biarpun menghadapi situasi yang mencabar ini, penglibatannya dalam perjumpaan telah menggalakkan orang lain yang menonton perjumpaan.

Kita yakin bahawa Yehuwa gembira melihat umat-Nya saling memberikan kelegaan dan bantuan praktikal, ‘lebih-lebih lagi seraya kita nampak hari itu semakin mendekat.’—Ibrani 10:24, 25.