Lompat ke kandungan

April 2024 merupakan ulang tahun ke-75 bagi penerbitan majalah Menara Pengawal dalam bahasa Cebuano (kiri) dan Pangasinan (kanan)

3 APRIL 2024
FILIPINA

Ulang Tahun ke-75 Penerbitan Majalah Menara Pengawal dalam Bahasa Cebuano dan Pangasinan

Ulang Tahun ke-75 Penerbitan Majalah Menara Pengawal dalam Bahasa Cebuano dan Pangasinan

April 2024 ialah tahun yang penting dalam penerbitan bahan bacaan Bible di Filipina. Pada April 1949, iaitu 75 tahun yang lalu, Menara Pengawal mula diterbitkan dalam bahasa Cebuano dan Pangasinan.

Berita baik Kerajaan Tuhan disebarkan di Filipina pada awal tahun 1900-an. Pada masa itu, saudara saudari menggunakan bahan bacaan Inggeris dalam aktiviti penyebaran. Namun, mereka sedar bahawa mereka perlukan bahan bacaan dalam bahasa tempatan. Pada tahun 1947, Menara Pengawal mula diterjemahkan ke dalam bahasa Tagalog yang merupakan bahasa peribumi yang paling banyak digunakan di Filipina. Kemudian, pada lewat 1948, aturan telah dibuat untuk menterjemahkan Menara Pengawal ke dalam bahasa Cebuano dan Pangasinan. Dalam beberapa bulan sahaja, edisi yang pertama telah dicetak.

Majalah Menara Pengawal bahasa Pangasinan yang dicetak pada 1949 dengan menggunakan mesin mimeograf

Selama dua tahun, para saudara menggunakan mesin cetak mimeograf yang manual untuk cetak bahan bacaan di pejabat cawangan tempatan. Apabila permintaan semakin bertambah untuk majalah-majalah itu, kerja percetakan majalah Menara Pengawal dalam bahasa Cebuano dan Pangasinan telah dipindahkan ke Ibu Pejabat Sedunia Saksi-Saksi Yehuwa, yang terletak di Brooklyn, New York, A.S. a

Saudara Juan Landicho

Saudara saudari yang melakukan kerja penterjemahan untuk majalah Menara Pengawal bahasa Cebuano dan Pangasinan meluahkan penghargaan mereka untuk melakukan kerja itu. Saudara Juan Landicho ialah seorang penterjemah yang membantu dalam kumpulan penterjemah bahasa Pangasinan pada 1980-an. Dia berkata, “Pada mulanya, majalah Menara Pengawal bahasa Pangasinan dikeluarkan enam bulan selepas edisi bahasa Inggeris disebabkan proses kerja penterjemahan mengambil masa yang lama. Kami sangat gembira kerana pada 1986, terdapat kemajuan dalam cara melakukan kerja penterjemahan. Jadi, majalah dalam bahasa Pangasinan dapat dikeluarkan pada masa yang sama dengan edisi bahasa Inggeris. Kami dapat rasa kuasa suci Tuhan membimbing kerja kami.”

Saudari Belen Cañete yang sedang berkhidmat di cawangan Filipina telah melakukan kerja penterjemahan ke dalam bahasa Cebuano selama 46 tahun. Dia kata, “Dulu, hanya ada sedikit penterjemah, tetapi banyak sekali kerja yang perlu dilakukan. Ada kalanya memang sangat mencabar. Tetapi sekarang, kami ada kumpulan penterjemah yang sudah dilatih dengan baik, teknologi yang maju, dan pelbagai alat bantuan. Yehuwa menggantikan tembaga dengan emas, dan Dia sentiasa memastikan umat-Nya dijaga.”

Kumpulan penterjemah bahasa Pangasinan (kiri) dan Cebuano (kanan)

Di Filipina, lebih daripada 26 juta orang menuturkan bahasa Cebuano. Lebih daripada 76,000 saudara saudari berkhidmat di 1,150 sidang bahasa Cebuano. Selain itu, hampir 2 juta orang menuturkan bahasa Pangasinan, dan kira-kira 6,000 saudara saudari berkhidmat di 68 sidang bahasa Pangasinan. Kini, cawangan Filipina menyelia kerja penterjemahan ke dalam 24 bahasa. Sebanyak 10 bahasa tersebut menerbitkan Menara Pengawal setiap bulan, dan kerja percetakan bagi bahan terbitan dalam bahasa Cebuano dan Pangasinan pula dilakukan di cawangan Jepun.

Kita amat bersyukur kerana Yehuwa memberkati kerja keras yang dilakukan untuk menterjemahkan bahan terbitan Bible ke dalam bahasa Cebuano dan Pangasinan. Dengan itu, orang yang mendahagakan kebenaran dapat dipuaskan.—Yesaya 55:1.

a Hari ini, Ibu Pejabat Sedunia Saksi-Saksi Yehuwa terletak di Warwick, New York, A.S.