6 JULAI 2023
GEORGIA
Buku Matius Dikeluarkan dalam Bahasa Mingrelian
Pada 30 Jun 2023, Saudara Joni Shalamberidze, seorang ahli Jawatankuasa Cawangan Georgia, mengumumkan pengeluaran Bible—Berita Baik Menurut Matius dalam bahasa Mingrelian. Ini buku Bible pertama yang dihasilkan dalam bahasa Mingrelian. Pengeluaran Bible ini dibuat semasa Konvensyen Serantau 2023 “Teruslah Bersabar!” yang diadakan di Dewan Perhimpunan di Zugdidi, Georgia. Sebanyak 627 orang telah menghadiri acara tersebut. Sejurus selepas pengeluarannya, buku Matius tersebut dapat diperoleh dalam bentuk cetakan dan digital.
Bahasa Mingrelian biasanya digunakan oleh penduduk yang tinggal di wilayah Samegrelo, barat Georgia. Pada tahun 2019, pejabat penterjemahan telah ditubuhkan oleh Saksi-Saksi Yehuwa di Zugdidi.
Saksi-Saksi Yehuwa merupakan salah satu daripada beberapa organisasi yang menghasilkan bahan terbitan dalam bahasa Mingrelian. “Oleh sebab bahasa Mingrelian lebih banyak digunakan dalam percakapan, tatabahasa dan ejaan dalam bahan bacaan tidak hanya menggunakan satu standard,” kata salah seorang penterjemah. “Itulah cabaran yang paling besar bagi projek ini. Dengan mengambil kira cara bahasa Mingrelian dituturkan, kami menggunakan hukum tatabahasa bagi bahasa Georgia dalam terjemahan ini.”
Selain itu, terdapat beberapa ungkapan dalam Bible yang tidak wujud dalam kosa kata bahasa Mingrelian. Contohnya, tiada perkataan dalam bahasa Mingrelian bagi ungkapan “bertaubat.” Maka, para penterjemah harus menyampaikan maksudnya sebagai “berasa sedih atas perbuatan salah.”
Kita bersukacita bersama saudara saudari yang berbahasa Mingrelian kerana dapat menggunakan terjemahan Bible ini untuk membantu lebih banyak “orang yang lapar dan haus akan keadilan.”—Matius 5:6.