19 JUN 2024
GHANA
Kerja Penterjemahan Saksi-Saksi Yehuwa Ditonjolkan di Pameran Muzium Kebangsaan Ghana
Dari 11 April hingga 11 Jun 2024, Muzium Kebangsaan Ghana di Accra, Ghana, telah mengadakan pameran yang bertema, “Menggalakkan Literasi dan Pendidikan Bible dalam Bahasa Peribumi di Ghana.” Lebih daripada 1,300 orang telah mengunjungi pameran tersebut.
Pada 1937, Saksi-Saksi Yehuwa mula menterjemahkan bahan bacaan Bible di Ghana (dulu dikenali sebagai Gold Coast). Hari ini, cawangan Ghana menterjemahkan bahan terbitan ke dalam 12 bahasa yang dituturkan di Ghana. Pameran muzium tersebut menunjukkan video, bahan terbitan, dan artifak lain yang mengisahkan sejarah kerja penterjemahan para Saksi. Selain itu, jw.org juga ditonjolkan sebagai saluran yang memudahkan pengedaran bahan terbitan kita.
Muzium Kebangsaan Ghana dan satu pasukan yang terdiri daripada empat profesor daripada University of Ghana telah bekerjasama dengan cawangan Ghana untuk menyediakan pameran tersebut. Para profesor itu juga mengkaji kaedah kerja penterjemahan para Saksi untuk meningkatkan keberkesanan program literasi dan kerja penterjemahan kerajaan Ghana. Untuk melakukan penyelidikan sampingan, salah seorang profesor, iaitu Dr. Araba Osei-Tutu, juga telah melawat Ibu Pejabat Sedunia Saksi-Saksi Yehuwa di Warwick, New York, A.S. Tambahan lagi, seluruh pasukan itu telah melawat cawangan Saksi-Saksi Yehuwa di Ghana.
Dalam ucapan pembukaannya, Dr. Osei-Tutu berkata, “Saksi-Saksi Yehuwa memainkan peranan yang sangat penting dalam meningkatkan literasi masyarakat, terutamanya dalam bahasa tempatan kita. . . . Kami ingin ambil peluang ini untuk . . . merakamkan penghargaan kami kepada semua yang terlibat dalam kerja ini.”
Selepas mengunjungi pameran ini, Profesor Yaw Sekyi-Baidoo dari University of Education, Winneba berkata, “Selama ini, saya sedar tentang usaha Saksi-Saksi Yehuwa sebagai pendidik. Tetapi selepas mengetahui tentang skop kerja penterjemahan yang mereka lakukan, saya rasa sangat kagum.”
Jurucakap para Saksi di Ghana berkata, “Kami sangat gembira kerana usaha umat Yehuwa dihargai oleh masyarakat awam. Sememangnya, kerja pendidikan yang dilakukan para Saksi telah membawa kesan positif kepada komuniti. Jelaslah Yehuwa sedang memberkati usaha kami untuk bantu segala macam orang untuk mengenali-Nya.”—Yohanes 17:3.