Lompat ke kandungan

Pekan Iqaluit, Nunavut, Kanada. Sisipan: Saudara saudari berkumpul di luar Dewan Perjumpaan selepas program pentahbisan

22 SEPTEMBER 2023
BERITA GLOBAL

Berita Baik Mencapai Hati Orang di Kawasan Terpencil Utara Kanada dan Amerika Syarikat

Berita Baik Mencapai Hati Orang di Kawasan Terpencil Utara Kanada dan Amerika Syarikat

Saudara Mark Sanderson menyampaikan sebuah ceramah pentahbisan di Iqaluit, Nunavut

Pada 20 Mei 2023, Saudara Mark Sanderson, seorang ahli Badan Pimpinan, telah menyampaikan ceramah pentahbisan bagi sebuah Dewan Perjumpaan yang baharu di Iqaluit, Nunavut, Kanada. Seramai 44 orang telah menghadiri acara ini secara bersemuka, dan 388 orang menonton program ini melalui persidangan video. Nunavut merupakan salah satu kawasan yang mempunyai penduduk yang paling sedikit di dunia. Terdapat kurang daripada 40,000 penduduk dengan keluasan sekitar 1,837,000 kilometer persegi. Seperti yang dilaporkan sebelum ini di jw.org, saudara saudari kita mengatasi banyak cabaran yang unik untuk membina Dewan Perjumpaan tersebut. Para Saksi yang pertama kali menginjil di kawasan terpencil ini sangat berani walaupun menghadapi cuaca yang sangat sejuk dan persekitaran yang mencabar. Kesetiaan dan tekad mereka yang kuat telah ditonjolkan dalam program pentahbisan ini.

Kawasan utara Kanada termasuk Nunavut, Kawasan Barat Laut, dan Yukon. Jumlah keluasannya merangkumi 40 peratus keluasan negara itu

Pada 1976, Saudari Margaret Gallie berpindah sejauh 2,052 kilometer dari Montreal, Quebec, ke sebuah kawasan yang kini dikenali sebagai Iqaluit, Nunavut. Dia ialah Saksi pertama yang menginjil di kawasan yang luas dan tandus itu. Pada tahun yang sama, Saudara Hans Pintar, seorang penyelia litar dan isterinya Minerva, membuat lawatan yang istimewa untuk menggalakkan Saudari Gallie dan menyertainya dalam kerja penyebaran.

Kemudian, pada 1983, sekumpulan Saksi yang bersemangat telah membuat perjalanan ke Iqaluit untuk menginjil. Mereka bekerja keras untuk mengajar kebenaran kepada penduduk di kawasan itu. Hasilnya, sebuah keluarga tempatan telah dibaptis sebagai Saksi-Saksi Yehuwa. Mereka merupakan penduduk tempatan pertama yang menjadi Saksi di kawasan itu. Selama 20 tahun yang berikutnya, para penginjil yang berani membuat banyak perjalanan ke kawasan terpencil itu untuk mengongsi berita baik Kerajaan Tuhan. Pada 2008, sebuah kumpulan telah ditubuhkan di Iqaluit. Menjelang 2010, kumpulan yang kecil ini telah berkembang maju dan menjadi sebuah sidang. Pada masa itu, perjumpaan Kristian diadakan di gimnasium sekolah. Pada Oktober 2022, saudara saudari sangat teruja untuk mula menggunakan Dewan Perjumpaan baharu yang siap dibina.

Meskipun menghadapi keadaan yang mencabar, para penyiar yang rela membuat pengorbanan telah menginjil dengan berani selama bertahun-tahun di kawasan utara Kanada

Selain Iqaluit, para perintis khas dan penyiar lain menginjil di pelbagai kawasan terpencil sekitar Nunavut. Contohnya, Saudara Joel Therrien dan isterinya Cheryl, telah berpindah ke Baker Lake yang terletak 1,329 kilometer di sebelah barat Iqaluit. Saudara Therrien kata, “Kami perlu menghadapi cuaca yang sejuk dan menggunakan banyak perbelanjaan untuk datang ke tempat yang terpencil ini. Tapi semua pengorbanan ini memang berbaloi. Kami dapat lihat berkat Yehuwa melalui reaksi baik penduduk Baker Lake terhadap berita baik. Kami sangat menghargai peluang untuk mengongsi mesej Bible kepada mereka.”

Pada 25 Ogos 2023, Saudara Joel Therrien dan Joseph Utatnaq telah menghadiri Konvensyen Serantau “Teruslah Bersabar!” di Winnipeg, Kanada

Joseph Utatnaq ialah seorang penduduk di Baker Lake yang menyambut baik mesej Kerajaan Tuhan. Dia belajar Bible dengan Saudara Therrien dan kemudiannya dibaptis pada 2021. Kini, Saudara Utatnaq ialah satu-satunya penyiar yang tinggal di Baker Lake. Semasa dia mendapat tahu bahawa program pentahbisan Dewan Perjumpaan di Iqaluit akan diadakan pada Mei 2023, dia berusaha sedaya upaya agar dapat menghadiri acara itu. Itulah kali pertama dia dapat berjumpa dengan saudara saudari di sebuah Dewan Perjumpaan sejak dia dibaptis. Dia kata, “Saya sangat kagum apabila melihat Dewan Perjumpaan ini yang telah siap dibina. Ramai yang membantu dalam projek pembinaan ini bukanlah penduduk tempatan dan tidak biasa dengan cuaca dan keadaan persekitaran di sini. Jelaslah, kasih kepada Yehuwa dan orang lain telah mendorong mereka untuk berbuat demikian.”

Kini, terdapat 178 orang saudara saudari yang berkhidmat di empat sidang di kawasan utara Kanada, termasuk satu sidang di Nunavut, dua sidang di Kawasan Barat Laut, dan satu sidang di Yukon. Keluasan semua kawasan ini merangkumi hampir 40 peratus keluasan Kanada. Walaupun cuaca sejuk yang ekstrem dan jalan yang susah di kawasan terpencil menimbulkan cabaran untuk menginjil, kita sangat menghargai usaha rakan seiman kita yang rela meluaskan khidmat untuk menyebarkan berita baik di kawasan utara Kanada.—Kisah 1:8.

KAWASAN TERPENCIL DI ALASKA, AMERIKA SYARIKAT

Kanan atas: Dewan Perjumpaan di Haines, Alaska. Kanan bawah: Saudara saudari sedang mengadakan perjumpaan sidang di Dewan Perjumpaan yang baharu di Haines

Alaska ialah negeri yang paling utara dan terbesar di Amerika Syarikat dengan keluasan kira-kira 1,723,000 kilometer persegi, iaitu lebih daripada dua kali ganda keluasan negeri Texas. Terdapat kira-kira 730,000 orang yang tinggal di Alaska. Berita baik Kerajaan Tuhan mula disebarkan di Alaska pada 1897, dan hari ini, terdapat sekitar 2,400 penyiar yang berkhidmat di 30 sidang dan 8 kumpulan. Di Anchorage, iaitu bandar yang paling besar di Alaska, terdapat 10 sidang dan 5 kumpulan dalam pelbagai bahasa termasuk bahasa Hmong (Putih), Korea, Rusia, Samoa, dan bahasa Yupik Alaska Tengah, iaitu bahasa peribumi. Bandar lain seperti Fairbanks, Juneau, dan Wasilla, juga mempunyai sidang dan kumpulan dalam pelbagai bahasa. Selain itu, kerja menginjil juga dilakukan di kawasan terpencil, contohnya di pekan kecil seperti Bethel, Wrangell, dan Haines.

Saudara Kenneth Cook, Jr., menyampaikan sebuah ceramah pentahbisan di Haines, Alaska

Pada Ogos 2014, dua perintis khas, iaitu Saudara Sebabi Leballo dan Dustin Watson, telah ditugaskan ke Haines yang terletak kira-kira 825 kilometer di kawasan tenggara Anchorage. Dalam masa setahun, mereka mengendalikan 40 pembelajaran Bible dengan orang yang berminat di kawasan itu. Beberapa orang pelajar Bible mereka telah membuat kemajuan rohani sehingga dibaptis. Pada 2018, sebuah sidang yang kecil telah ditubuhkan di Haines dan perjumpaan diadakan di sebuah perpustakaan. Pada 2021, sebuah bangunan telah dibeli dan kemudian diubahsuai menjadi sebuah Dewan Perjumpaan. Selepas itu, pada September 2022, Saudara Kenneth Cook, Jr., seorang ahli Badan Pimpinan, menyampaikan sebuah ceramah pentahbisan kepada hadirin sejumlah 48 orang. Selain itu, 86 orang lagi menonton program tersebut melalui persidangan video. Kini, seramai 21 penyiar yang berkhidmat di sidang tersebut giat menginjil kepada penduduk di Haines dan kawasan terpencil yang lain.

Saudara Dustin Watson (kiri) dan Sebabi Leballo (kanan) baru tiba di Haines, Alaska, pada 2014

Selepas menghadiri program pentahbisan Dewan Perjumpaan di Haines pada 2022, Saudara Leballo kata, “Apabila saya tiba di sini lapan tahun yang lalu, susah untuk percaya akan ada sidang dan Dewan Perjumpaan di kawasan ini. Tapi hari ini, saya sangat digalakkan apabila melihat bahawa Yehuwa tetap membantu ‘segala macam orang’ untuk mengenali-Nya, bahkan di kawasan terpencil.”—1 Timotius 2:4.