Lompat ke kandungan

19 FEBRUARI 2020
BERITA GLOBAL

Bible Bahasa Isyarat Lengkap yang Pertama di Dunia Kini Tersedia

Bible Bahasa Isyarat Lengkap yang Pertama di Dunia Kini Tersedia

Pada 15 Februari 2020, Saudara Geoffrey Jackson, salah seorang ahli Badan Pimpinan, telah mengumumkan pengeluaran buku terakhir Kitab Suci Terjemahan Dunia Baharu dalam Bahasa Isyarat Amerika (ASL). Bible ini ialah Bible bahasa isyarat lengkap yang pertama di dunia. Pengumuman yang bersejarah itu merupakan acara penting semasa program pentahbisan pejabat penterjemahan (RTO) baharu di Fort Lauderdale, Florida, A.S. Program ini berlangsung di Christian Convention Center Saksi-Saksi Yehuwa di West Palm Beach, Florida.

Lebih daripada 2,500 orang menghadiri program tersebut, dan 15,635 orang lagi melihat siaran langsung program itu di Dewan Perjumpaan di Amerika Syarikat, Belize, Haiti, Kanada, Republik Dominika, dan Trinidad dan Tobago. Jumlah keseluruhan hadirin ialah lebih daripada 18,000 orang.

Saudara Geoffrey Jackson, seorang ahli Badan Pimpinan, sedang mengadakan temu ramah

Selepas ceramah pentahbisan, Saudara Jackson mengumumkan pengeluaran buku terakhir Bible ASL. Dia berkata, “Kami ingin beritahu anda sesuatu yang sangat istimewa. Kini Terjemahan Dunia Baharu sudah lengkap dengan adanya pengeluaran buku Ayub. Setahu kami, Saksi-Saksi Yehuwa merupakan organisasi atau kumpulan pertama yang menyediakan Bible ASL yang lengkap. Ini mungkin ialah Bible bahasa isyarat lengkap yang pertama di dunia dan dalam sejarah manusia.”

Buku Ayub merupakan buku Bible terakhir yang disiapkan. Kerja terjemahan seluruh Bible ASL mengambil masa kira-kira 15 tahun. Pada tahun 2004, Badan Pimpinan memberikan izin untuk melakukan kerja penterjemahan bagi Terjemahan Dunia Baharu ASL. Buku Matius dikeluarkan dua tahun kemudian, dan buku lain dalam Kitab Yunani lain dikeluarkan secara bertahap hingga 2010. Buku-buku dalam Kitab Ibrani pula memakan masa 10 tahun untuk disiapkan.

Pengeluaran Terjemahan Dunia Baharu ASL memberikan kesan yang mendalam terhadap orang pekak. “Pertama kali saya nampak Terjemahan Dunia Baharu, saya sangat tersentuh sehingga mula menangis,” kata Isias Eaton, salah seorang penyiar yang menghadiri program tersebut. “Hati saya tidak tersentuh semasa baca Bible bahasa Inggeris. Tapi saya tidak dapat menahan air mata saya bila saya lihat Bible dalam bahasa isyarat.”

Bible ini juga memberikan kesan terhadap kerja penyebaran para penyiar dalam sidang bahasa isyarat. “Bible ini membantu saya untuk lebih memahami kebenaran. Ini buat saya lebih berani untuk menginjil,” kata David Gonzalez, seorang penterjemah ASL di RTO. “Sebelum ini, saya selalu rasa tidak yakin, dan saya harap penghuni rumah tidak akan tanya saya soalan yang susah. Tapi lepas menerima Bible bahasa isyarat, saya sangat yakin dan sudah bersedia!”

“Projek Bible ASL telah menjadi contoh bagi bahasa-bahasa yang lain,” kata Nicholas Ahladis, yang membantu dalam Bahagian Khidmat Penterjemahan di ibu pejabat di Warwick, New York. “Sebahagian Bible kini disediakan dalam 17 bahasa isyarat, dan pada masa depan akan diterjemahkan dalam lebih banyak bahasa isyarat.”

Sememangnya Terjemahan Dunia Baharu ASL telah menyentuh hati ramai orang dan membantu mereka mendekati Yehuwa.—Kisah 2:6.