23 OGOS 2023
BERITA GLOBAL
Buku Matius, Markus, Lukas, dan Yohanes Dikeluarkan dalam Bahasa Aukan
Pada 13 Ogos 2023, Saudara Roy Zeeman, seorang ahli Jawatankuasa Cawangan Suriname, mengumumkan pengeluaran buku Matius, Markus, Lukas, dan Yohanes dalam bahasa Aukan. Terdapat 2,713 orang yang menghadiri perjumpaan istimewa yang diadakan di Dewan Perhimpunan Saksi-Saksi Yehuwa di bandar Paramaribo, Suriname. Selain itu, 691 hadirin telah menonton program ini melalui siaran langsung di beberapa lokasi, termasuk di Dewan Perjumpaan di Cayenne, Guiana Perancis. Edisi digital keempat-empat buku tersebut dapat dimuat turun semasa pengeluaran dibuat. Edisi cetakan bagi Bible—Berita Baik Menurut Matius juga tersedia. Buku Markus, Lukas, dan Yohanes akan tersedia dalam bentuk cetakan selepas seluruh Kitab Yunani Kristian Terjemahan Dunia Baharu dikeluarkan dalam bahasa Aukan.
Bahasa Aukan ialah sejenis bahasa kreol yang dituturkan terutamanya di Suriname dan Guiana Perancis. Bahasa Aukan biasanya digunakan secara lisan. Maka, tidak ada banyak bahan bertulis dalam bahasa ini. Para penyiar dalam sidang bahasa Aukan menggunakan Bible Terjemahan Dunia Baharu dalam bahasa Sranantongo untuk perjumpaan dan kerja penyebaran. Walaupun bahasa Sranantongo digunakan secara meluas di Suriname, banyak penutur bahasa Aukan tidak berapa fasih dalam bahasa itu. Oleh sebab itu, para penyiar harus menterjemahkan ayat-ayat Bible dalam kerja penyebaran. Seorang penterjemah berkata, “Kita sangat teruja mendapat pengeluaran baharu ini. Sekarang, penutur bahasa Aukan daripada pelbagai lapisan umur dan tahap pendidikan boleh meraih manfaat daripada Firman Tuhan.”
Kita bersukacita bersama saudara saudari kita yang menuturkan bahasa Aukan atas pengeluaran ini. Kita yakin buku-buku baharu ini akan membantu orang yang tulus hati untuk memuji Yehuwa.—Mazmur 34:1.