Lompat ke kandungan

20 APRIL 2020
BERITA GLOBAL

Cara Menyumbang Secara Elektronik semasa Penularan Wabak COVID-19

Cara Menyumbang Secara Elektronik semasa Penularan Wabak COVID-19

Saudara saudari di serata dunia menggunakan pelbagai kaedah untuk mengekalkan rutin rohani mereka setelah penularan wabak COVID-19. Di kebanyakan negara, kita tidak dapat berkumpul di Dewan Perjumpaan. Sebaliknya, kita mengadakan perjumpaan melalui aplikasi persidangan video (videoconferencing). Oleh itu, saudara saudari kita juga perlu mengubah cara mereka memberikan sumbangan. Kita dapat memberikan sumbangan menerusi derma dalam talian untuk menyumbang kepada kerja penyebaran sedunia.

Saksi-Saksi Yehuwa di lebih daripada 112 buah negara dan kawasan boleh memberikan sumbangan dengan menggunakan kad debit atau kad kredit melalui donate.pr418.com.

Memandangkan kebanyakan penyiar tidak dapat memberikan sumbangan di Dewan Perjumpaan, mereka memilih tetapan di laman donate.pr418.com untuk menderma sejumlah wang secara automatik setiap bulan. Saudari Susan Cohen, yang berumur 74 tahun dari Amerika Syarikat menggunakan kaedah ini. Dia berkata, “Kaedah ini sangat mudah. Jika saya dapat menggunakannya, sesiapa pun dapat menggunakannya. Saya berasa sangat gembira kerana dapat memberikan sumbangan setiap bulan.”

Dahulu, Saudara Eduardo Paiva dari Brazil berfikir bahawa laman donate.pr418.com hanya digunakan jika seseorang tidak dapat memberikan sumbangan di Dewan Perjumpaan. Dia berkata, “Baru-baru ini, saya sedar bahawa inilah cara yang terbaik untuk memberikan sumbangan dalam keadaan yang terdesak ini. Kita dapat menggunakan cara ini untuk menunjukkan kesyukuran dan kasih kita pada hari-hari terakhir.”

Saudara Gajus Glockentin, iaitu penyelia Pejabat Bendahari ibu pejabat sedunia Saksi-Saksi Yehuwa di Warwick, New York, menyatakan, “Kami sangat digalakkan semasa melihat saudara saudari yang ingin memberikan sumbangan untuk menyokong kepentingan Kerajaan Tuhan. Kami sentiasa mencari jalan untuk mengurangkan kos perbelanjaan organisasi agar sumbangan yang diberikan dapat digunakan dalam cara yang terbaik. Biarpun terdapat saudara saudari yang tidak dapat menyumbang sebanyak dahulu, semangat kerelaan mereka untuk menyokong organisasi Yehuwa tetap membara.”—2 Korintus 9:7.