3 JULAI 2020
BERITA GLOBAL
Enam Bible Dikeluarkan pada 28 Jun 2020
Biarpun wabak COVID-19 sedang menular, Saksi-Saksi Yehuwa telah mengeluarkan Bible dalam bahasa-bahasa baharu. Pada 28 Jun 2020, Kitab Suci Terjemahan Dunia Baharu telah dikeluarkan dalam empat bahasa, iaitu Swati, Tsonga, Zulu, dan Chitonga. Kitab Yunani Kristian Terjemahan Dunia Baharu juga telah dikeluarkan dalam bahasa Belize Kriol dan Totonac. Saudara saudari kita berasa sangat gembira kerana dapat menerima Bible baharu mereka dalam bentuk elektronik. Bible-Bible itu telah dikeluarkan melalui ceramah yang telah dirakam. Para penyiar telah menonton program itu melalui streaming atau persidangan video.
Swati, Tsonga, dan Zulu
Saudara Geoffrey Jackson, seorang ahli Badan Pimpinan, telah mengeluarkan Kitab Suci Terjemahan Dunia Baharu dalam bahasa Swati, dan Kitab Suci Terjemahan Dunia Baharu yang dikemaskinikan dalam bahasa Tsonga dan Zulu. Bible-Bible ini dikeluarkan dalam bentuk elektronik. (Sila lihat gambar utama.) Para penyiar di Afrika Selatan dan Eswatini juga telah menonton program istimewa ini.
Di kawasan cawangan Afrika Selatan, terdapat kira-kira 18.5 juta orang yang menuturkan bahasa Swati, Tsonga, dan Zulu, dan terdapat lebih daripada 38,000 penyiar yang menggunakan bahasa-bahasa itu.
Chitonga (Malawi)
Saudara Augustine Semo, seorang ahli Jawatankuasa Cawangan Malawi, telah mengeluarkan Kitab Suci Terjemahan Dunia Baharu dalam bahasa Chitonga (Malawi).
Sepasukan penterjemah telah menghabiskan lebih daripada dua tahun untuk menghasilkan Bible dalam bahasa Chitonga. Seorang penterjemah berkata, “Bahasa Chitonga mempunyai tiga dialek. Kata-kata yang digunakan berbeza dari tempat ke tempat. Maka, kami harus pilih kata-kata yang senang difahami oleh kebanyakan orang. Kami juga menggunakan nota kaki untuk menjelaskan perkataan yang susah.”
Seorang penterjemah juga kata, “Kata-kata yang digunakan dalam Bible ini mudah, jelas, dan senang difahami. Jadi Bible ini sangat senang digunakan semasa menginjil dan perjumpaan.
Belize Kriol
Saudara Joshua Killgore, ahli Jawatankuasa Cawangan Amerika Tengah, telah mengeluarkan Kitab Yunani Kristian Terjemahan Dunia Baharu dalam bahasa Belize Kriol. Lebih daripada 1,300 orang telah menonton program ini.
Enam penterjemah telah menggunakan 16 bulan untuk menyiapkan projek ini. Salah seorang penterjemah berkata, “Akhirnya saudara saudari kita mempunyai terjemahan Bible yang tepat dan jelas. Terjemahan Bible ini akan menjadi seperti cahaya yang menerangi pemahaman Bible mereka.”
Seorang penterjemah berkata, “Pada masa yang susah ini, saudara saudari kita yang menggunakan Belize Kriol dapat membaca Bible dalam bahasa sendiri. Dia menyambung, “Hal ini pasti melegakan hati mereka dan membantu mereka menangani cabaran pada masa depan.”
Di Belize, terdapat 867 penyiar dalam 19 sidang bahasa Belize Kriol. Selain itu, terdapat 58 penyiar yang menggunakan bahasa Belize Kriol di Amerika Syarikat.
Totonac
Saudara Jesse Pérez, ahli Jawatankuasa Cawangan Amerika Tengah, telah mengeluarkan Kitab Yunani Kristian Terjemahan Dunia Baharu dalam bahasa Totonac. Sekitar 2,200 orang daripada 50 sidang bahasa Totonac telah menonton program ini.
Para penterjemah telah menggunakan sekitar tiga tahun untuk menyiapkan projek ini. Bible ini pasti membawa banyak manfaat kepada lebih daripada 250,000 orang yang menggunakan bahasa Totonac di Mexico.
Seorang penterjemah berkata, “Kitab Yunani Kristian Terjemahan Dunia Baharu berbeza daripada Bible bahasa Totonac yang lain kerana terjemahan ini menggunakan bahasa seharian.” Dia menyambung, “Sekarang, kami berasa lebih senang untuk mengajar orang tentang Bible.”
Seorang lagi penterjemah berkata, “Saudara saudari sudah lama menantikan Bible ini. Dulu, untuk menyampaikan tugasan mereka, mereka akan menterjemahkan ayat-ayat Bible daripada Bible bahasa Sepanyol. Tetapi sekarang, mereka tidak perlu berbuat demikian lagi untuk ayat-ayat daripada Kitab Yunani Kristian.”
Satu ciri penting dalam terjemahan ini ialah nota kaki. Nota kaki menjelaskan istilah-istilah Bible dengan menggunakan beberapa dialek Totonac. Maka terjemahan ini lebih mudah difahami oleh semua orang yang menuturkan bahasa Totonac.
Kita gembira apabila saudara saudari kita menerima Bible dalam bahasa ibunda mereka. Kita tahu bahawa iman mereka akan dikuatkan dan mereka dapat menggunakan Bible dalam kerja penyebaran dan untuk pembelajaran peribadi.—Ibrani 4:12.