10 JULAI 2020
BERITA GLOBAL
Enam Bible Dikeluarkan untuk Dua Minggu Secara Berturut-Turut
Selama dua minggu berturut-turut, Saksi-Saksi Yehuwa telah mengeluarkan enam Bible. Pada 4 Julai 2020, Kitab Suci Terjemahan Dunia Baharu telah dikeluarkan dalam bahasa Bislama dan Oromo. Pada keesokan harinya, iaitu 5 Julai, Kitab Suci Terjemahan Dunia Baharu telah dikeluarkan dalam bahasa Latvia dan Marathi, manakala Kitab Yunani Kristian Terjemahan Dunia Baharu pula dikeluarkan dalam bahasa Benggali dan Karen (S’gaw). Bible-Bible ini dikeluarkan dalam bentuk elektronik melalui ceramah Bible yang sudah dirakamkan. Para penyiar yang menonton program istimewa ini sangat gembira apabila menerima Bible-Bible ini.
Bislama
Kitab Suci Terjemahan Dunia Baharu yang dikemaskinikan dalam bahasa Bislama telah dikeluarkan oleh Saudara Mark Sleger, salah seorang ahli Jawatankuasa Cawangan Fiji. Para penyiar di Vanuatu telah menonton program itu yang disampaikan dalam bahasa Bislama dan diterjemahkan dalam Bahasa Isyarat Bislama.
Dua pasukan penterjemah telah menggunakan masa lebih daripada tiga tahun untuk menyiapkan projek ini. Seorang penterjemah berkata, “Saudara saudari tentu sangat suka Bible Kitab Suci Terjemahan Dunia Baharu yang dikemaskinikan ini. Bible ini senang difahami, menggunakan ejaan moden dan bahasa seharian. Kami yakin bahawa Bible ini akan membantu kami untuk memahami kebenaran Bible dengan lebih mudah.”
Sudah pasti Bible yang dikemaskinikan ini akan membantu lebih daripada 700 orang penyiar semasa pembelajaran peribadi dan kerja penyebaran.
Oromo
Saudara Delroy Williamson, seorang ahli Jawatankuasa Cawangan Etiopia, telah mengeluarkan Terjemahan Dunia Baharu dalam bahasa Oromo. Sejumlah 12,548 saudara saudari telah menonton program itu, termasuk 2,000 penyiar yang menuturkan bahasa Oromo.
Untuk mengatasi masalah teknikal di Etiopia, Badan Pimpinan telah mengizinkan program ini dirakam lebih awal agar dapat disiarkan melalui stesen televisyen. Para penyiar juga boleh mendengar program itu melalui telefon.
Lima penterjemah telah menggunakan masa lima tahun untuk menyiapkan Bible ini. Sudah tentu, Bible ini dapat membantu saudara saudari semasa menginjil kepada orang yang menuturkan bahasa Oromo.
Latvia
Selepas 12 tahun, akhirnya Terjemahan Dunia Baharu dalam bahasa Latvia dikeluarkan. Semua sidang bahasa Latvia dan bahasa Rusia di Latvia dijemput untuk menonton program itu.
Saudara Jouni Palmu, ahli Jawatankuasa Cawangan Finland, telah menyampaikan ceramah bagi pengeluaran Bible. Dia berkata, “Kami gembira kerana saudara saudari di Latvia dapat mempunyai Bible yang menggunakan bahasa moden dan yang senang difahami. Kami berharap terjemahan Bible ini akan membantu saudara saudari kita lebih menikmati pembelajaran Bible mereka.”
Mengenai ciri-ciri dalam Bible baharu ini, seorang penterjemah berkata, “Bible ini sangat mudah digunakan untuk membuat penyelidikan dan perenungan.”
Marathi
Terjemahan Dunia Baharu dalam bahasa Marathi telah dikeluarkan semasa acara yang diadakan bagi semua sidang bahasa Marathi di India. Ceramah bagi pengeluaran Bible ini telah disampaikan oleh Saudara Puneet Aggarwal, seorang ahli Jawatankuasa Cawangan India.
Enam penterjemah telah menghabiskan masa selama tiga tahun untuk menyiapkan Bible terjemahan Marathi. Seorang penterjemah berkata, “Terjemahan Bible ini terutamanya dapat membantu ibu bapa dan guru Bible semasa mereka mengajar anak mereka atau orang yang berminat.”
Seorang lagi penterjemah berkata, “Kami sangat gembira kerana Bible ini menggunakan nama Tuhan, iaitu Yehuwa, seperti yang terdapat dalam teks asal Bible. Hampir setiap halaman Bible mengandungi nama Yehuwa. Hal ini tentu membawa pujian kepada-Nya.”
Lebih daripada 83 juta orang menuturkan bahasa Marathi di India.
Benggali
Kitab Yunani Kristian dalam bahasa Benggali telah dikeluarkan oleh Saudara Ashok Patel, seorang ahli Jawatankuasa Cawangan India. Lebih daripada 1,200 penyiar telah menonton program itu dari India dan Bangladesh.
Bahasa Benggali merupakan bahasa ketujuh yang paling banyak dituturkan di dunia, dan terdapat lebih daripada 265 juta orang yang menuturkan bahasa itu. Untuk menghasilkan terjemahan yang dapat difahami oleh kebanyakan orang, pasukan terjemahan dari India dan Bangladesh telah bekerjasama selama tiga tahun untuk menyiapkan Bible ini.
Saudara Patel berkata, “Antara terjemahan Bible pertama bagi bahasa Indik ialah Kitab Yunani Kristian dalam bahasa Benggali. Terjemahan ini dikeluarkan pada 1801 dan mengandungi nama Yehuwa. Sedihnya, terjemahan Bible pada kemudian hari telah menggantikan nama Tuhan kepada gelaran ‘Tuan.’ Dengan adanya Kitab Yunani Kristian Terjemahan Dunia Baharu, saudara saudari dapat memiliki terjemahan Bible yang tepat dan senang difahami.”
Seorang penterjemah berkata, “Terjemahan Bible ini membuktikan bahawa Tuhan Yehuwa mengasihi semua orang dan Dia ingin mereka mengenali-Nya dan Anak-Nya Yesus Kristus.”
Karen (S’gaw)
Saudara Hiroshi Aoki, seorang ahli Jawatankuasa Cawangan Myanmar, telah mengeluarkan Kitab Yunani Kristian dalam bahasa Karen (S’gaw). Sejumlah 510 orang dari enam sidang dan empat kumpulan telah menonton program itu.
Projek terjemahan Bible dalam bahasa Karen (S’gaw) mengambil masa lebih daripada setahun untuk disiapkan. Seorang penterjemah berkata, “Saudara saudari dan orang lain tentu gembira menerima Bible Karen (S’gaw) ini kerana Bible ini mempunyai nama Yehuwa, menggunakan bahasa moden, tepat, dan senang difahami. Kami bersyukur kepada Yehuwa kerana memberi kami hadiah yang begitu berharga. Kami dapat lebih menghampiri-Nya dengan menggunakan bahasa yang menyentuh hati kami.”
Seorang lagi penterjemah berkata, “Bible ini menggunakan bahasa seharian. Maka, ini membantu pembaca untuk membayangkan keadaan watak Bible, menyelami perasaan mereka, dan meniru iman mereka.”
Kita turut bersukacita kerana saudara saudari kita menerima Bible-Bible ini. Kita yakin bahawa Bible baharu ini akan membantu para penyiar untuk lebih menghampiri Yehuwa dan mengongsikan kebenaran kepada orang lain.—Yohanes 17:17.