28 OKTOBER 2022
BERITA GLOBAL
Jumlah Saksi dalam Penjara Rusia dan Crimea Kini Melebihi 100 Orang
Setakat 26 Oktober 2022, terdapat 106 saudara dan 4 saudari sama ada dalam penjara atau ditahan sebelum perbicaraan kerana mengamalkan kepercayaan mereka di Rusia dan Crimea. Saudara Dmitriy Dolzhikov, berumur 44 tahun, ialah penyembah Yehuwa ke-100 yang kini dipenjarakan. Dmitriy ditangkap pada 8 September 2022. Dia didakwa kerana ambil bahagian dalam kegiatan organisasi ekstremis, iaitu menghadiri perjumpaan Kristian dan mengongsi kepercayaannya dengan orang lain. Hampir 350 Saksi Yehuwa pernah dipenjarakan sejak pengharaman pada 2017.
Polis menangkap Dmitriy selepas menggeledah apartmennya di Wilayah Chelyabinsk. Dua hari kemudian, dia dihantar ke tahanan sebelum perbicaraan di Wilayah Novosibirsk, kira-kira 1,500 kilometer dari rumahnya.
Dmitriy berada dalam tahanan sel bersama 12 orang lain. Isterinya, Marina, tidak dibenarkan untuk melawat Dmitriy, tetapi mereka dapat berhubung menerusi surat.
Marina kata, “Semasa Dmitriy baru ditangkap, saya tak dapat tidur dengan lena dan sering terjaga pada waktu malam. Kawan-kawan dalam sidang menjemput saya untuk tinggal bersama mereka. Itu memang bantuan dan sokongan yang saya perlukan.”
Marina maklumkan bahawa Dmitriy masih tenang dan bersikap positif. Dia kata, “Yehuwa sedang jaga dia.”
Saudara saudari kita didakwa di bawah Kanun Jenayah Persekutuan Rusia mengenai aktiviti ekstremis. Ini termasuk Anna Safronova, yang berumur 57 tahun, dan masih dipenjarakan selama enam tahun. Tempoh hukuman itu merupakan yang paling lama dijatuhkan terhadap seorang saudari.
Tangkapan Dmitriy ialah salah satu peristiwa yang memalukan dalam kempen Rusia menentang Saksi-Saksi Yehuwa. Kempen itu berlanjutan lebih daripada lima tahun meskipun organisasi antarabangsa telah banyak kali mengutuk penganiayaan sedemikian. Semasa Mahkamah Agung Rusia membuat keputusan yang tidak berpihak kepada Saksi-Saksi Yehuwa pada 2017, pihak berkuasa Rusia mendakwa bahawa mereka hanya membubarkan badan berdaftar Saksi-Saksi Yehuwa dan bukannya menghentikan aktiviti keagamaan Saksi. Tapi, dakwaan itu tidak benar. Sehingga kini, 308 kes jenayah dibuka terhadap hampir 700 Saksi Yehuwa. Tambahan pula, sejumlah 1,851 rumah Saksi telah digeledah.
Kita berdoa bagi pihak Dmitriy serta semua saudara saudari kita yang ditentang kerana kepercayaan mereka. Kita tahu Yehuwa akan beri kekuatan yang diperlukan agar mereka dapat terus bertahan.—Matius 24:13.