Lompat ke kandungan

Lukisan bangunan penghasilan bahan media di Ramapo. Sisipan: Mesyuarat Lembaga Perancang Bandar Ramapo pada 28 Jun 2023

3 JULAI 2023
BERITA GLOBAL

Projek Ramapo

Kelulusan Penting untuk Projek Ramapo Diberikan

Kelulusan Penting untuk Projek Ramapo Diberikan

Pada 28 Jun 2023, satu kelulusan penting telah diperoleh untuk projek Ramapo di New York, Amerika Syarikat. Lembaga Perancang Bandar Ramapo telah sebulat suara meluluskan pelan tapak projek Ramapo. Ini merupakan detik yang bersejarah bagi projek ini. Walaupun masih terdapat sesetengah perincian yang perlu diurus, kelulusan ini membolehkan projek ini diteruskan.

Apa yang menarik ialah penduduk dan pihak berkuasa tempatan tidak menyuarakan apa-apa bantahan atau kerisauan semasa mesyuarat Lembaga Perancang. Saudara Keith Cady, yang berkhidmat dalam Jawatankuasa Projek Pembinaan (CPC), berkata, “Kami menghabiskan masa berbulan-bulan untuk menyediakan pelan tapak ini dan berusaha mengikut semua syarat yang ditetapkan. Matlamat kami adalah supaya proses kelulusan dapat berjalan dengan lancar.” Setiap resolusi yang dikemukakan telah dipersetujui dengan sebulat suara oleh Lembaga Perancang. Mereka juga amat menghargai usaha yang dicurahkan oleh para saudara. “Seluruh perbincangan dan keputusan telah dibuat dalam masa kurang daripada sejam!” kata Saudara David Soto, seorang lagi ahli CPC. “Kami berterima kasih kepada Lembaga Perancang atas kerja keras dan kerjasama mereka. Kami gembira dapat berganding bahu dengan mereka pada masa depan untuk projek ini.”

Kelulusan ini membuka jalan untuk memulakan sesetengah kerja yang penting. “Selepas pokok-pokok yang ditebang telah dibersihkan dari tapak pembinaan,” jelas Saudara Cady, “para kontraktor akan mulakan kerja mereka. Sekitar hujung tahun depan, ramai sukarelawan diperlukan untuk membantu dalam projek ini. Kami sangat teruja semasa mendengar keputusan Lembaga Perancang diumumkan.”

Saudara saudari di seluas dunia bersyukur kepada Yehuwa atas perkembangan baik ini. Kita berdoa agar Yehuwa terus memberkati mereka yang “bersiap sedia untuk memulakan kerja pembinaan” ini.—Nehemia 2:18.