Lompat ke kandungan

3 DISEMBER 2020
BERITA GLOBAL

Kempen Kerajaan Tuhan 2020: Para Pegawai Memberikan Sambutan Baik

Kempen Kerajaan Tuhan 2020: Para Pegawai Memberikan Sambutan Baik

Pada bulan November, Saksi-Saksi Yehuwa di serata dunia telah mengedarkan Menara Pengawal edisi umum No. 2 2020 kepada ahli perniagaan, ahli keluarga, dan orang yang berminat. Semasa kempen ini, mereka juga telah mengedarkan majalah khasnya kepada pegawai kerajaan. Pejabat cawangan telah menerima sambutan yang baik daripada beberapa orang pegawai kerajaan.

Di Sierra Leone, Rex Bhonapha, Timbalan Menteri di Kementerian Tanah, Perumahan dan Perancangan Negara telah menulis sepucuk surat untuk mengucapkan terima kasih kepada para saudara kerana menghantarnya majalah itu. Dia berkata, “Majalah anda sangat menggalakkan dan informatif. Sekarang saya membaca majalah anda setiap hari.”

Di Samoa, Perdana Menteri menulis sepucuk surat untuk mengucapkan terima kasih. Dalam surat itu, dia menulis bahawa dia sangat mementingkan Doa Bapa Kami. Selain itu, Ketua Negara Samoa, Tuimalealiifano Vaaletoa Sualauvi II, mengungkapkan penghargaannya kepada kerja pendidikan Bible kita. Dia berkata bahawa kerja kita “membantu orang, mengajar mereka tentang Bible agar mereka dapat mengubah hidup mereka.” Dia juga memuji saudara saudari kita kerana berhenti berkumpul di Dewan Perjumpaan dan tidak menginjil dari rumah ke rumah semasa pandemik COVID-19.

Osvaldo Cartagena García, Setiausaha Perbandaran di Chile berkata, “Saya berharap agar kempen anda dapat mendidik pihak berkuasa di negara kita dan menggalakkan mereka untuk berbuat baik demi seluruh komuniti, terutamanya pada waktu yang susah ini.”

Seorang ahli parlimen Jerman (Deutscher Bundestag) menulis surat kepada pejabat cawangan Eropah Tengah di Jerman. Dalam suratnya dia menyatakan, “Saya kenal kumpulan agama anda. Anda ialah Saksi-Saksi Yehuwa dan anda telah memberitahu orang tentang pendirian anda dengan berani. Hal ini membuat saya amat kagum. . . . Saya juga tahu bahawa anda telah dianiaya dengan teruk sekali semasa rejim Nazi.”

Tambahan lagi, salah sebuah Kementerian Wilayah Persekutuan Jerman berterima kasih kepada Saksi kerana mereka membawa kelegaan kepada orang semasa pandemik COVID-19. Kementerian itu menyatakan, “Anda semua banyak berjasa kepada masyarakat kita dan mengukuhkan perpaduan kita.”

Di Colombia, seorang ahli Senat dan seorang ahli Dewan Perwakilan telah menulis surat kepada pejabat cawangan untuk mengucapkan terima kasih atas majalah yang telah diterima oleh mereka. Mereka berkata bahawa mereka akan mengongsikan majalah ini dengan orang lain. Selain itu, seorang pegawai daripada Kementerian Alam Sekitar dan Pembangunan Lestari telah menulis surat yang berbunyi, “Terima kasih kerana mengirimkan majalah Menara Pengawal kepada saya. Maklumat dalam majalah ini dapat menyelamatkan orang.”

Duta Ghana di Jepun, Frank Okyere, berkata, “Saya mendapati majalah ini sangat informatif kerana majalah ini membincangkan penyelesaian kepada banyak masalah manusia.”

Selain itu, duta dari Azerbaijan berkata, “Terima kasih kerana mengirim majalah ini kepada kami. Saya amat berminat dengan apa yang dikatakan dalam majalah itu.”

Kita bersetuju dengan kata-kata Saudara Amaro Teixeira yang berkhidmat di Bahagian Maklumat Umum di pejabat cawangan Mozambique. Dia berkata, “Kejayaan kempen istimewa ini melebihi jangkaan kami. Berita Kerajaan Tuhan telah mencapai orang yang biasanya tidak dapat kami jumpa semasa kerja penyebaran.”

Seraya mesej Bible mencapai ‘semua orang yang berkedudukan tinggi,’ kita pasti akan menerima lebih banyak maklum balas yang positif daripada para pegawai kerajaan dan orang lain.—1 Timotius 2:2.