Lompat ke kandungan

8 JANUARI 2021
BERITA GLOBAL

Kempen Kerajaan Tuhan 2020: “Peristiwa yang Tidak Dapat Dilupakan” telah Menggalakkan Saudara Saudari di Serata Dunia

Kempen Kerajaan Tuhan 2020: “Peristiwa yang Tidak Dapat Dilupakan” telah Menggalakkan Saudara Saudari di Serata Dunia

Kerja penyebaran sepanjang bulan November 2020, merupakan detik bersejarah yang terpahat dalam hati Saksi-Saksi Yehuwa. Pandemik yang meragut nyawa menyebabkan kita terpaksa duduk di rumah. Kita juga menghentikan cara penyebaran yang biasa dilakukan buat sementara. Biarpun demikian, para penyembah Yehuwa berjaya melaksanakan kempen penyebaran sedunia ini untuk memberitahu orang lain tentang Kerajaan Tuhan. Di seluas dunia, jutaan penyiar bertungkus lumus mengedarkan majalah Menara Pengawal edisi umum No. 2 2020 kepada ahli perniagaan, pegawai awam, guru, kawan, saudara-mara, dan orang ramai. Usaha ini bukan sahaja menggalakkan orang yang berminat, malahan membawa sukacita dan kesegaran rohani kepada semua yang mengambil bahagian.

Berikut ialah beberapa pengalaman dan komen daripada saudara saudari di seluruh pelosok dunia:

AUSTRALASIA

Saudari Lucinda Furkin

Lucinda Furkin, berumur 18 tahun, seorang saudari yang baru dibaptis di Australia, menulis: “Walaupun saya sakit tenat semasa pertengahan kempen ini, saya merasai galakan yang melimpah daripada Yehuwa. Dia bagaikan memegang tangan saya, dan memberi kekuatan yang saya perlukan untuk bertabah.”

Seorang ayah di New Zealand menjelaskan bagaimana kempen ini membantu keluarganya. Dia berkata, “Kami mempunyai empat anak perempuan yang berumur 7, 9, 11, dan 13 tahun. Kami menganggap kempen sedunia ini sebagai tugasan khas daripada Yehuwa, Bapa kami yang pengasih. Hal ini membantu keluarga kami untuk terus menginjil setiap hari sepanjang tempoh kempen ini.”

BOTSWANA

Kagiso dan Lydia Marumo, yang berkhidmat dalam kerja litar, menghantar majalah itu dalam bentuk elektronik kepada saudara-mara yang tidak seiman. Beberapa orang membalas dengan kata-kata penghargaan. Salah seorang saudara-mara Kagiso ialah seorang doktor. Dia menyatakan bahawa majalah itu tiba tepat pada masanya. Dia menjelaskan bahawa sesetengah pesakitnya menanya soalan tentang Tuhan dan Bible. Dia juga memberitahu bahawa anak-anaknya terlibat dengan ilmu ghaib. Kagiso dan Lydia menghubungi dia dan terus memulakan pembelajaran Bible pada malam itu juga. Kini, mereka belajar dua kali seminggu.

Saudara Kagiso Marumo bersama isterinya, Lydia

KANADA

Saudari Soroya Thompson

Soroya Thompson, seorang saudari yang merintis di Ontario, menulis: “Kempen ini bantu saya fokus semula pada apa yang paling penting dan berapa banyak kerja yang perlu diselesaikan. Kempen ini mengingatkan saya betapa dalamnya kasih Yehuwa dan membuktikan bahawa Dia tidak ingin sesiapapun dimusnahkan. Dengan mengingati hal ini, saya melipat gandakan usaha menginjil semasa kempen ini.”

Seorang saudari dari British Columbia berkata, “Pada masa yang sangat stres ini, saya membuat keputusan untuk menjadi perintis sokongan bagi mengatasi rasa tawar hati. Saya rasa lebih baik, dan keluarga saya juga mendapat manfaat.”

Pejabat cawangan Kanada melaporkan bahawa kempen tersebut merapatkan hubungan banyak keluarga. Selain itu, anak-anak kecil juga rasa mereka dapat menyumbang kepada kerja menginjil dengan menulis surat yang ringkas atau membantu keluarga menulis alamat dalam sampul surat, menampal setem, dan mencari alamat lain.

FINLAND

Saudara dan Saudari Tuomisto, yang berkhidmat dalam kerja litar, berkata, “Bulan November ialah masa yang paling gelap di bahagian utara. Jadi, saudara saudari, terutamanya para perintis, sangat bersyukur untuk kempen ini, yang membawa sinar harapan dalam kegelapan agar mereka tetap bersikap positif.”

Saudara Timo Tuomisto bersama isterinya, Eeva

Selepas menghantar majalah itu kepada seorang kenalan, sepasang suami isteri menerima sepucuk surat penghargaan yang sebahagiannya menyatakan: “Hari ini [saya sedang membaca buku Bible] Yakobus tentang iman tanpa perbuatan itu sia-sia sahaja. Saksi-Saksi Yehuwa selalu berusaha mencapai orang secara bersemuka untuk menjelaskan dan mengajar tentang Bible. Mereka melakukan perbuatan yang membuktikan iman.”

GREECE

Pejabat cawangan Greece memberi komen berikut: “Ramai rasa bahawa pandemik diikuti dengan kawalan pergerakan dan perintah berkurung memang memenatkan. Jadi, kempen ini membantu mereka digalakkan dan disegarkan. Ramai mengatakan bahawa kempen tersebut ialah perubahan baik pada saat yang tegang ini!”

Saudari Suzie Kontargiri

Saudari Suzie Kontargiri membuat keputusan untuk menjadi perintis sokongan walaupun bergelut dengan masalah kesihatan dan suaminya bukan seorang Saksi. Dia berkata, “Kerana kempen ini, saya tidak lagi tawar hati. Saya akan bangun dengan riang ria, buat kerja rumah, masak, jaga suami, dan selepas itu mula kerja penyebaran. Suami saya yang tidak seiman akan tanya, ‘Kamu ada kerja penyebaran hari ini?’ kerana dia sudah biasa melihat saya bekerja bersama saudari-saudari dengan gembira.”

JEPUN

Saudari Tamaki Hirota menulis surat kepada para pegawai kerajaan. Dia berkata, “Yehuwa yang mula-mula memberi kesaksian kepada orang lain dengan menggunakan surat. Dia menulis 66 pucuk surat kepada manusia untuk dibaca berulang kali selama bertahun-tahun supaya dapat mendekati-Nya. Yehuwa tahu cara ini sangat berkesan. Kempen ini merupakan peristiwa yang tidak dapat dilupakan.”

Saudari Tamaki Hirota

SRI LANKA

Saudari Meharaja Vijaya dan Imayanathan Amutha diminta untuk menulis surat kepada alamat yang sama tanpa disedari. Penerima surat itu telah buang surat yang pertama tanpa membukanya. Selepas itu, dia nampak surat yang kedua. Dia fikir mungkin kandungan surat itu sangat penting sebab dihantar dua kali. Dia membaca majalah yang disertakan, menelefon saudari yang hantar surat yang kedua itu, dan mula belajar Bible.

Kiri ke kanan: Saudari Meharaja Vijaya dan Imayanathan Amutha

Seorang pegawai tempatan menelefon pejabat cawangan Sri Lanka selepas menerima majalah itu. Dia memberitahu bahawa dia tidak pernah berjumpa dengan Saksi-Saksi Yehuwa walaupun dia seorang Kristian. Selepas dia memuji maklumat dalam majalah dan laman web kita, dia bertanya, “Bagaimana saya boleh jadi seorang Saksi Yehuwa?” Satu kunjungan kembali diatur dengan serta-merta.

AMERIKA SYARIKAT

Seorang penyiar, berumur 13 tahun, menghadiri sekolah yang sering kali membincangkan isu politik. Dia menjelaskan bagaimana kempen November telah membantunya. Dia berkata, “Saya rasa lebih yakin untuk beritahu guru mengapa saya bersikap neutral. Iman saya telah diteguhkan.”

Saudari Margit Haring

Saudari Margit Haring juga rasa demikian. Dia menulis: “Keberanian dan semangat saya dikuatkan. Pada mulanya, apabila saya fikir saya perlu bercakap dengan peniaga dan pegawai awam, saya rasa kekok. Belajar untuk mempertahankan kepercayaan saya dengan lemah lembut ialah latihan yang baik untuk masa depan.”

Seorang penatua berkata, “Hati saya tersentuh terutamanya melihat banyak saudara saudari membuat keputusan untuk merintis biarpun menghadapi masalah kesihatan yang serius. Mereka boleh fikir mereka tidak berdaya untuk jadi perintis. Sebaliknya, mereka mengambil kesempatan untuk ikut serta dalam kempen ini. Sukacita dan kata-kata penghargaan yang diungkapkan mereka kepada Yehuwa dan saudara saudari sering kali membuat semua orang menitis air mata.”

Terdapat banyak lagi pengalaman dan kata-kata ungkapan dari seluruh dunia yang tidak dapat kita ceritakan di sini. Sememangnya, kita menuai sukacita yang tidak terkira kerana memberitahu jutaan orang tentang Kerajaan Tuhan.—Yohanes 15:11.