Lompat ke kandungan

Kiri: Beberapa bahan bacaan yang diterjemahkan ke dalam bahasa Papiamento sejak 1948. Kanan: Bangunan yang berwarna-warni di Willemstad, Curaçao, salah sebuah pulau yang menggunakan bahasa Papiamento

11 DISEMBER 2023
BERITA GLOBAL

Kerja Penterjemahan Bahasa Papiamento selama 75 Tahun

Kerja Penterjemahan Bahasa Papiamento selama 75 Tahun

Kerja penterjemahan Saksi-Saksi Yehuwa bagi bahasa Papiamento telah dilakukan sejak 75 tahun yang lalu. Bahasa Papiamento ialah sejenis bahasa kreol yang berasaskan bahasa Belanda, Portugis, dan Sepanyol. Hari ini, kira-kira 350,000 orang di kepulauan ABC (Pulau Aruba, Bonaire, dan Curaçao) menuturkan bahasa Papiamento.

Kerja penyebaran bermula di pulau-pulau ini pada penghujung 1920-an. Pada 1946, beberapa mubaligh yang merupakan lulusan Sekolah Gilead tiba di Curaçao. Ketika itu, beberapa sidang sudah ditubuhkan di pulau itu. Tetapi, masih belum ada bahan bacaan kita dalam bahasa Papiamento. Perjumpaan sidang diadakan dalam bahasa Inggeris dan Papiamento, dan mereka menggunakan bahan bacaan dalam bahasa Belanda, Inggeris, dan Sepanyol. Para saudara sedar bahawa terdapat keperluan untuk menyediakan bahan bacaan dalam bahasa Papiamento. Namun, terdapat beberapa cabaran. Contohnya, tiada hukum tatabahasa dan ejaan yang wujud dalam bahasa itu. Kamus bahasa Papiamento juga belum tersedia. Salah seorang mubaligh yang ditugaskan ke pulau-pulau itu ialah Saudara Bill Yeatts. Dia telah membantu dalam kerja penterjemahan bahasa Papiamento. Menurut “Buku Tahunan” 2002 (Yearbook of Jehovah’s Witnesses), Saudara Bill kata, “Untuk menterjemahkan bahan ke dalam bahasa Papiamento, kami terpaksa buat kosa kata yang baru dan menuliskannya. Sesetengah kata-kata ini tidak pernah wujud sebelum ini. Ini mencabar juga sebab kami perlu menetapkan hukum tatabahasa dan kosa kata yang sesuai.” Meskipun terdapat banyak halangan, para saudara tidak berputus asa dan terus berusaha melakukan kerja penterjemahan.

Pada 1948, bahan bacaan pertama yang diterjemahkan ke dalam bahasa Papiamento ialah buku kecil yang bertajuk, “Sukacita Segala Bangsa” (The Joy of All the People). Sejak itu, lebih banyak bahan telah diterjemahkan, termasuk majalah Menara Pengawal dan Sedarlah! Sekarang, Bible Terjemahan Dunia Baharu juga sedang dikeluarkan secara bertahap. Buku Bible pertama yang disediakan dalam bahasa Papiamento ialah buku Rut, yang dikeluarkan pada 1 Oktober 2021.

Saudari-saudari melakukan kesaksian awam di Pulau Aruba

Peningkatan yang berterusan dalam jumlah penyiar di pulau-pulau itu menunjukkan hasil baik yang diperoleh daripada kerja penterjemahan bahasa Papiamento. Pada 1956, hanya terdapat 16 penyiar dan satu sidang bahasa Papiamento. Kini, terdapat lebih daripada 1,600 penyiar yang berkhidmat di 25 sidang bahasa Papiamento. Pada 2023, lebih daripada 1,200 pembelajaran Bible telah dikendalikan.

Kita yakin bahawa Yehuwa akan terus memberkati saudara saudari yang berkhidmat dalam sidang bahasa Papiamento. Usaha mereka untuk menyinarkan cahaya rohani pasti membawa pujian kepada Yehuwa.—Matius 5:16.