Lompat ke kandungan

Selama dua tahun yang lepas, orang yang berminat serta para penyiar yang buta atau cacat penglihatan dapat manfaat daripada keterangan audio konvensyen

26 JANUARI 2022
BERITA GLOBAL

Keterangan Audio Konvensyen Memanfaatkan Orang Buta dan Cacat Penglihatan

Keterangan Audio Konvensyen Memanfaatkan Orang Buta dan Cacat Penglihatan

Inilah tahun ketiga konvensyen kita akan menggunakan keterangan audio. Video yang disertai keterangan audio menjelaskan gambar dan adegan dalam video, khasnya untuk individu yang buta atau terhad penglihatan. Di serata dunia dianggarkan terdapat 43 juta orang buta dan 295 juta orang yang cacat penglihatan. Saksi-Saksi Yehuwa terus menghasilkan keterangan audio agar maklumat Bible tersedia bagi mereka.

Dr. Joel Snyder, presiden Persatuan Penerangan Audio, LLC dan pakar terkenal dalam keterangan audio kata, “Saya amat kagum dengan cara Saksi-Saksi Yehuwa sediakan maklumat yang mudah didapati bagi mereka yang buta dan cacat penglihatan. Kebanyakan orang tidak terfikir pun untuk sertakan keterangan audio dalam video mereka bagi orang buta. Jadi, syabas kepada Saksi-Saksi Yehuwa!”

Badan Pimpinan telah berputus bahawa keterangan audio boleh digunakan bagi konvensyen 2020 yang diadakan secara virtual kerana COVID-19. Pada 2020, Bahagian Khidmat Penterjemahan dalam Ibu Pejabat Sedunia Saksi-Saksi Yehuwa di Warwick, New York, A.S., telah hasilkan keterangan audio untuk konvensyen. Pada 2021, kerja ini dipindahkan ke Bahagian Khidmat Pemprosesan Teks dalam Pusat Pendidikan Watchtower Saksi-Saksi Yehuwa di Patterson, New York. Menerusi kursus dalam talian, pasukan keterangan audio ini terima latihan tentang cara menghasilkan keterangan audio yang berkesan.

Dr. Snyder jelaskan, “Anda boleh latih orang untuk gambarkan sesuatu dalam cara yang paling berkesan.” Dia kata hal ini termasuk, “menggunakan kata-kata yang singkat, jelas, dan senang dibayangkan.”

Proses keterangan audio: (1) Pasukan keterangan audio dengar audio dalam video; (2) mereka sediakan skrip; (3) pelakon suara rakam keterangan audio; (4) pakej terjemahan untuk keterangan audio dihantar kepada semua cawangan

Mula-mula, pasukan keterangan audio akan dengar audio bagi suatu bahagian konvensyen. Mereka tidak akan lihat video supaya dapat faham bagaimana seseorang yang buta atau cacat penglihatan akan dengar bahagian itu. Setiap ahli akan tulis tanggapan pertama mereka. Kemudian, mereka mainkan video sekali lagi untuk perhatikan ruang jeda antara percakapan (keterangan audio akan ditambah di sini).

Adalah mencabar untuk muatkan keterangan audio antara percakapan dalam suatu video. Michael Millen, yang bekerja dengan pasukan keterangan audio Saksi-Saksi Yehuwa kata, “Oleh sebab ruang keterangan audio terhad, kami perlu tentukan apa yang terpenting untuk faham video itu. Kami cuba gambarkan masa, tempat, pelakon, dan aksi.”

Pasukan keterangan audio mesti elak daripada memberi pandangan sendiri tentang apa yang dapat dilihat. Dalam bukunya The Visual Made Verbal, Dr. Snyder menasihati orang yang beri keterangan audio, “Biarlah pendengar bayangkan sendiri apa yang berlaku dalam adegan berdasarkan keterangan yang neutral. Maksudnya, jangan kata, ‘Dia marah,’ atau ‘Dia sakit hati.’ Sebaliknya katalah, ‘Dia menggenggam buku lima,’ atau ‘Dia menangis.’”

Selepas skrip keterangan audio habis ditulis, seorang pelakon suara akan rakam keterangan audio yang sebenar. Dia harus baca dalam nada yang sama dan tenang. Michael Millen jelaskan, “Pelakon suara tidak patut bertanding dengan watak dalam video. Jika dia terlalu bersemangat atau berperasaan, pendengar mungkin fikir dia ialah watak tambahan dalam video itu.”

Suatu kumpulan teknikal akan menghasilkan suntingan terakhir dan satu pakej terjemahan akan dihantar ke semua cawangan agar keterangan audio dapat dihasilkan dalam bahasa tempatan. Michael jelaskan bahawa untuk dua konvensyen yang lepas, seluruh proses menghasilkan keterangan audio memakan masa kira-kira tiga jam bagi setiap minit dalam video.

Setakat ini, Saksi-Saksi Yehuwa telah menterjemahkan bahan berdasarkan Bible dalam lebih daripada 1,000 bahasa. Walaupun keterangan audio tidak termasuk dalam angka itu, ada yang berpendapat bahawa ia adalah bahasa tersendiri. Michael kata, “Keterangan audio memang terjemahan untuk orang buta. Unsur visual dalam video diterjemahkan secara audio.”

Kita bersyukur kerana Yehuwa pastikan segala macam orang mendapat manfaat daripada makanan rohani-Nya yang melimpah!—Yesaya 65:13.