Lompat ke kandungan

Dalam sebulan ini, jutaan orang lari dari Ukraine, termasuk lebih daripada 16,000 Saksi Yehuwa

31 MAC 2022
BERITA GLOBAL

Kisah Pelarian Ukraine yang Meninggalkan Segalanya

“Hal yang Terpenting ialah Hubungan Kita dengan Yehuwa”

Kisah Pelarian Ukraine yang Meninggalkan Segalanya

Pada 5:00 pagi, Saudara Femi Durodola dan isterinya Yana, terbangun kerana seorang penatua menelefon mereka. Yana bercerita, “Penatua itu kata, ‘Jangan bimbang, hanya perlu bersiap sedia, ya. Tentera Rusia sedang masuk Kyiv!’ Saat mendengar itu, hati saya berdebar-debar dan cemas.”

Pasangan yang baru berkahwin itu terus tukar pakaian, bancuh kopi terakhir yang dapat mereka nikmati di rumah, dan baca ayat harian. Ayat itu berbunyi, “Jika kamu bertenang dan percaya kepada-Ku, kamu akan dikuatkan.” (Yesaya 30:15) Femi juga berdoa dengan bersungguh-sungguh kepada Yehuwa. Selepas itu, Femi (berasal dari Nigeria) dan Yana (orang Ukraine), mengambil beg kecemasan dan tinggalkan segalanya untuk berlindung di Belanda.

Kisah di atas bukan hanya dialami oleh Femi dan Yana. Selepas Rusia serang Ukraine pada 24 Februari 2022, ramai saudara saudari membuat keputusan untuk melarikan diri. Terdapat sekitar 130,000 Saksi-Saksi Yehuwa di Ukraine. Sehingga kini, lebih daripada 36,000 Saksi memilih untuk meninggalkan rumah dan lebih daripada 16,000 antara mereka melarikan diri ke negara lain. Ramai yang tinggalkan rumah, kerja, dan sidang mereka. Semasa perang, warga lelaki Ukraine yang berumur antara 18 hingga 60 tahun tidak boleh meninggalkan negara itu. Tetapi, lelaki warga negara lain dibenarkan untuk pergi.

Mereka yang melarikan diri hanya boleh bawa beberapa barang keperluan. Mereka menempuh perjalanan yang amat susah dengan menaiki kereta api atau bas. Ramai yang melakukan perjalanan ini tanpa mengetahui arah tuju mereka. Dengan berbekal iman yang kuat terhadap Yehuwa, mereka tinggalkan bandar yang kucar-kacir kerana perang, tanpa mengetahui sama ada mereka dapat kembali.

“Kami tinggalkan segalanya. Kami hanya ambil beberapa barang. Keadaan ini ingatkan kita bahawa hal yang terpenting ialah hubungan kita dengan Yehuwa,” kata Yana.

Dari rumahnya di Kyiv, Saudari Lilia Antoniuk dapat dengar bunyi siren yang kuat dan letupan bom. Dia juga nampak kereta-kereta yang hangus terbakar serta serpihan-serpihan dari bangunan dan jambatan bertaburan di jalan.

Lilia dan anak perempuannya, Oleksandra (17 tahun), memilih untuk melarikan diri. Mereka membuat perjalanan ke Poland menerusi kereta api yang sesak. Mereka hanya ada sikit makanan dan perlu berdiri selama berjam-jam. Kerisauan kedua-dua saudari itu lenyap apabila mereka sampai di Przemyśl, Poland.

“Saat kami nampak tanda JW.ORG, kami tahu semuanya akan okey,” kata Lilia. Mereka dibawa ke Dewan Perjumpaan untuk hangatkan badan, makan, dan berehat. Selepas itu, mereka ditempatkan di rumah saudara saudari.

“Kami rasai jagaan Yehuwa dan iman kami dikuatkan. Saya amat berterima kasih kepada Yehuwa kerana kasih-Nya dan saudara saudari yang sedia membantu pada saat yang susah,” kata Lilia yang kini di Jerman.

Anastasiia Kovalyova

Saudari Anastasiia Kovalyova gambarkan bagaimana serangan udara di bandar Zaporizhzhia. Semasa bom dilepaskan dari senapang besar, dia nampak cahaya api dan dengar suara letupan dari apartmennya. Pengeboman yang berterusan menakutkan anak saudara lelaki dan perempuan Anastasiia (umur tujuh dan tiga tahun). Jadi, mereka melarikan diri. Anastasiia jelaskan, “Kami tak cukup pakaian dan keperluan lain kerana tak dapat bawa banyak barang. Tapi, saudara saudari jaga kami. Kami bahkan diberi lebih daripada apa yang diperlukan.” Anastasiia, iparnya Anya dan anak-anak, pergi ke Jerman melalui Poland.

Anastasiia Shchukina bersama ibunya, Olha Lysenko

Saudari Anastasiia Shchukina dan ibunya, Saudari Olha Lysenko, berlindung di tingkat bawah tanah yang sejuk setiap kali siren amaran bom kedengaran. Dua perintis ini berkhidmat di kawasan yang memerlukan bantuan di bandar kecil Brailiv, Vinnytsia Oblast. Pada mulanya, mereka ragu-ragu sama ada untuk melarikan diri. Tapi akhirnya, mereka membuat keputusan untuk lari kerana situasi semakin bahaya. Mereka hanya bawa barang keperluan lalu naik kereta api selama dua hari. Sepanjang perjalanan, mereka kurang tidur. Perjalanan itu susah bagi Olha, yang berumur 58 tahun dan ada masalah kesihatan. Mereka sampai di Rzeszów, Poland, pada pukul 2:00 pagi. Di sana, mereka disambut oleh saudara saudari. Anastasiia kata, “Walaupun sudah larut malam, saudara saudari sedang tunggu kami. Kami amat bersyukur kepada Yehuwa serta saudara saudari.”

Elizabeth dan Andrzej Chyba

Di bandar Sumy, Saudara Andrzej Chyba (warga Poland) dan isterinya Elizabeth (dari Britain), bersama dengan lima saudara saudari, bersembunyi di tingkat bawah tanah rumah seorang saudara. Mereka boleh dengar bunyi tembakan, letupan bom, serta jet pejuang. Mereka mendapat keberanian selepas menonton drama Bible Ya Yehuwa, . . . Aku Percaya Kepada-Mu, yang mengisahkan apa yang dilakukan Raja Hizkia semasa Yerusalem bakal diserang oleh askar Assyria.

“Saudara saudari telah hantar banyak ayat Bible. Ada juga yang beri galakan untuk baca Mazmur 27,” kata Andrzej, yang kini berada di Poland bersama isterinya.

Ramai saudara saudari “sanggup meninggalkan segala-galanya.” (Filipi 3:8) Namun, mereka yakin bahawa pada masa depan, mereka akan tinggal di dunia yang bebas daripada peperangan. Sekarang pun, kita yakin bahawa Yehuwa akan berkati mereka.