4 SEPTEMBER 2020
BERITA GLOBAL
Konvensyen 2020—Para Penterjemah Mengatasi Pelbagai Cabaran
Konvensyen “Sentiasa Bersukacita”! 2020 ialah konvensyen yang paling istimewa dalam sejarah Saksi-Saksi Yehuwa. Program konvensyen diterjemahkan ke dalam lebih daripada 500 bahasa dan dapat ditonton dari rumah sendiri. Untuk menyediakan program ini, para penterjemah perlu menghadapi pelbagai cabaran seperti sumber dan masa yang terhad.
Seorang penterjemah bahasa Kikuyu di Kenya kata, “Disebabkan pejabat cawangan mengenakan sekatan keluar masuk, jumlah pelakon suara pun terhad. Tetapi, kami dapat mengatasi masalah ini dengan meminta bantuan saudara saudari dari tempat mereka masing-masing. Kami dapat melihat bagaimana Yehuwa menggunakan kuasa suci-Nya untuk membantu kami.”
Kumpulan terjemahan Bahasa Isyarat Korea dan bahasa Korea menghadapi masalah yang sama juga. Pekerja luar Bethel tidak dapat datang ke Bethel untuk melakukan projek rakaman.
Untuk mengatasi masalah ini, saudara saudari membuat studio rakaman di rumah sendiri. Ramai saudara saudari telah menyumbangkan peralatan yang diperlukan. Selain itu, memandangkan semua perhimpunan litar telah dibatalkan, cawangan telah meminjamkan kamera daripada Dewan Perhimpunan untuk kegunaan rakaman program ke dalam bahasa isyarat.
Di Venezuela, sesetengah penterjemah menghadapi masalah Internet yang teruk atau kekurangan peralatan. Untuk mengatasi cabaran ini, mereka menggunakan cara yang inovatif. Contohnya, mereka menggunakan tilam-tilam untuk menyerap bunyi bising semasa sesi rakaman.
Pasukan penterjemahan bahasa Zande di Juba, Sudan Selatan, juga menghadapi banyak masalah. Seorang penterjemah berkata, “Bila saya dengar kami perlu rakam seluruh program konvensyen dalam masa dua bulan, saya fikir, ‘Ini mustahil! Mana mungkin kami siapkan lebih daripada 90 bahan video dan audio dalam masa yang pendek ini?’ Tetapi dengan bantuan Yehuwa, kami berjaya menyiapkannya. Sekarang, saya sedar bahawa tiada apa-apa yang dapat menghalang kehendak Yehuwa. Yehuwa memang hebat!”—Matius 19:26.
Sememangnya, Konvensyen “Sentiasa Bersukacita”! 2020 ialah berkat yang istimewa daripada Yehuwa. Dialah yang “menghendaki segala macam orang diselamatkan dan memperoleh pengetahuan yang tepat tentang kebenaran.”—1 Timotius 2:4.