7 JUN 2023
BERITA GLOBAL
Lawatan ke Bethel Diadakan Lagi di Serata Dunia
Selama tiga tahun, Bethel di serata dunia tidak dapat menerima pelawat disebabkan pandemik COVID-19. Tetapi pada 1 Jun 2023, banyak Bethel mula menerima pelawat semula. Sememangnya, itu hari yang amat istimewa bagi keluarga Bethel dan ribuan pelawat yang telah datang.
Keluarga Bethel telah menyambut para tetamu dengan lagu, senyuman yang manis, dan pelukan yang mesra. Mereka juga memegang papan tanda dengan mesej ringkas seperti, “Selamat Datang!” Ellis Bott ialah salah seorang pekhidmat di ibu pejabat sedunia di Warwick, New York, dan dia mula membantu di Bethel sewaktu pandemik. Dia kata, “Saya teruja melihat ahli Bethel berdiri di depan lobi sambil memegang papan tanda untuk menyambut para tetamu! Suasananya sangat menyentuh hati dan ramai menitiskan air mata kerana mereka sangat gembira. Ini mengingatkan saya betapa istimewanya Bethel.” Alexis Alexander, seorang pekhidmat ulang-alik separuh masa di Bethel, juga tidak sabar-sabar menyambut mereka yang datang untuk melawat Bethel. Dia kata, “Memang sangat istimewa untuk melihat kasih yang saudara saudari tunjukkan kepada Yehuwa dan rumah-Nya.”
Saudari Mi-yeon Jo tidak sabar-sabar pergi ke Bethel di Korea Selatan bersama anak lelakinya, Yoon, yang berumur lapan tahun. Yoon terlalu teruja sehingga dia tidak dapat tidur pada malam sebelumnya. Mi-yeon kata, “Selepas bangun pagi, kami terus mainkan lagu tentang Johan dan Sofia yang melawat Bethel. Semasa dalam perjalanan ke sana, kami juga dengar lagu itu dalam kereta.” Yoon sangat suka lawatannya ke Bethel. Dia kata, “Kalau ada binatang-binatang di Bethel, tempat ini akan jadi seperti firdaus.”
Seorang pemuda yang bernama Noah Johnsen dari Alberta, Kanada, juga sangat ingin melawat Bethel. Tetapi oleh kerana dia menghidap sejenis penyakit serius (spinal muscular atrophy) yang membatasi pergerakannya, dia tidak dapat menaiki kapal terbang untuk pergi ke Bethel. Jadi, ibu bapanya telah memandu sejauh 4,100 kilometer ke New York, A.S. Akhirnya, impiannya untuk melawat cawangan Amerika Syarikat di Wallkill, New York, telah tercapai. Dia kata, “Pengalaman itu boleh diungkapkan dengan hanya satu perkataan, iaitu ‘kasih.’ Saya dapat rasai kasih Yehuwa dan kasih saudara saudari.”
Saudara Fyodor Zhitnikov yang berumur 76 tahun dan isterinya Yulita rasa gembira sekali semasa dapat melawat muzium di Bethel Kazakhstan. Salah satu pameran di sana menunjukkan saudara saudari yang telah menghadapi penganiayaan dengan tabah selama puluhan tahun. Saudara Fyodor sangat tersentuh dengan pameran itu kerana dia mengenali dan berkhidmat bersama ramai saudara saudari tersebut. Fyodor juga sangat menghargai ketelitian saudara saudari yang menyediakan pameran itu. Dia kata, “Saudara saudari tidak melupakan titik peluh dan kerja keras kami dalam khidmat kepada Yehuwa. Semua rekod mereka yang dianiaya telah disimpan dengan baik dan kekal sampai sekarang. Jika organisasi Yehuwa pun buat begitu, apatah lagi Yehuwa! Sudah pasti Dia ingat dan menghargai segala usaha kita.”
Kita sangat bersukacita kerana lawatan ke Bethel dapat diadakan lagi di serata dunia. Semoga ribuan lagi dapat mengunjungi Bethel pada masa yang akan datang.—Mazmur 122:1.
Gambar di bawah menunjukkan saudara dan saudari yang melawat Bethel dan muzium di beberapa negara.
Argentina
Belgium
Brazil
Republik Dominika
Ecuador
Perancis
Kazakhstan
New Caledonia
Nigeria
Korea Selatan
Amerika Syarikat—Wallkill, New York
Amerika Syarikat—Warwick, New York