Lompat ke kandungan

Mahkamah Hak Asasi Manusia Eropah di Strasbourg, Perancis

29 SEPTEMBER 2022
BERITA GLOBAL

Mahkamah Eropah Menguatkuasakan Keputusan Kebebasan Beragama di Rusia dan Lithuania

Mahkamah Eropah Menguatkuasakan Keputusan Kebebasan Beragama di Rusia dan Lithuania

Pada 7 September 2022, Mahkamah Hak Asasi Manusia Eropah (ECHR) menguatkuasakan dua keputusan yang amat penting berkaitan dengan Saksi-Saksi Yehuwa. Pada 7 Jun 2022, ECHR mengumumkan bahawa tindakan kerajaan Rusia yang mengharamkan Saksi-Saksi Yehuwa pada tahun 2017 melanggar undang-undang. Pada hari yang sama, ECHR juga memutuskan bahawa kerajaan Lithuania melanggar Konvensyen Hak Asasi Manusia Eropah dalam kes Saudara Stanislav Teliatnikov, yang menolak khidmat tentera kerana kepercayaan agamanya.

Rusia dan Lithuania tidak membuat sebarang rayuan kepada Dewan Agung ECHR untuk mengkaji semula keputusan yang dibuat pada 7 Jun itu. Maka, kedua-dua negara tersebut diarahkan oleh ECHR untuk mematuhi keputusan mahkamah. Maksudnya, mereka harus membayar pampasan kepada pihak yang terlibat kerana melanggar hak asasi manusia.

Pada 11 Jun 2022, Rusia cuba mengelak daripada mematuhi keputusan mahkamah dengan keluar daripada ECHR. Namun begitu, ECHR masih ada kes-kes sebelum 16 September 2022 yang mendakwa Rusia melanggar Konvensyen Hak Asasi Manusia Eropah. Mahkamah masih akan membuat keputusan untuk kes-kes itu.

Kita berdoa semoga keputusan ECHR untuk menguatkuasakan kebebasan beragama ini dihormati, agar orang Kristian yang cintakan kedamaian dapat ‘terus menjalani kehidupan yang tenang dan tenteram, serta mengabdikan diri kepada Tuhan dengan sepenuhnya.’—1 Timotius 2:1, 2.