Lompat ke kandungan

Mahkamah Hak Asasi Manusia Eropah di Strasbourg, Perancis

9 OGOS 2021
BERITA GLOBAL

Mahkamah Hak Asasi Manusia Eropah Memihak kepada Saudara Rostom Aslanian

Kemenangan bagi Kebebasan Agama di Transnistria

Mahkamah Hak Asasi Manusia Eropah Memihak kepada Saudara Rostom Aslanian

Pada 13 Julai 2021, dalam kes yang melibatkan negara Moldova dan Rusia, Mahkamah Hak Asasi Manusia Eropah (ECHR) membuat keputusan yang berpihak kepada Saudara Rostom Aslanian. Saudara Aslanian mencabar keputusan pihak berkuasa Transnistria (Republik Pridnestrovskaia Moldavskaia) untuk memenjarakannya. Ini kerana dia telah menolak khidmat tentera atas dasar hati nurani. Kemenangan ini menjadi dasar untuk kes-kes masa hadapan di Transnistria mengenai hak kebebasan beragama.

Walaupun Transnistria diiktiraf sebagai sebahagian daripada Moldova, negara Rusia juga terlibat dalam perjanjian untuk mengatur ketenteraan di Transnistria. Moldova dan Rusia ialah anggota Konvensyen Hak Asasi Manusia Eropah dan mesti menghormati kebebasan hati nurani.

Pada 2010, Saudara Aslanian diminta melaporkan diri untuk khidmat tentera. Namun, dia mohon untuk menjalani khidmat alternatif atas dasar kepercayaan Bible. Pada 29 Mac 2011, permohonannya ditolak dan dia dijatuhi hukuman penjara satu tahun. Saudara Aslanian habis menjalani hukumannya, tetapi kesnya dirujuk kepada Mahkamah Hak Asasi Manusia Eropah.

Dalam penghakimannya, ECHR menggunakan keputusan mahkamah yang lepas bagi menunjukkan bahawa tidak ada dasar undang-undang untuk menghukum Saudara Aslanian. Ini kerana dia telah menolak khidmat tentera atas dasar hati nurani. Mahkamah mendapati bahawa Rusia ada kawalan tentera, ekonomi, dan politik ke atas Transnistria. Jadi Rusia, dan bukannya Moldova, didapati bertanggungjawab atas apa yang telah berlaku. ECHR menyimpulkan bahawa pihak berkuasa Rusia melanggar hak kebebasan beragama Saudara Aslanian dengan menjatuhkan hukuman penjara satu tahun atasnya. Kerajaan Rusia mesti membayar pampasan sepenuhnya kepada saudara kita.

Kita bergirang hati kerana keputusan ini memberi perlindungan undang-undang kepada saudara saudari di Transnistria. Sekali lagi, kita diyakinkan bahawa Yehuwa menunjukkan kasih setia dan keprihatinan kepada umat-Nya yang dianiaya.—Mazmur 18:25.