Lompat ke kandungan

Lulusan Gilead melambai kepada hadirin yang menonton dari tempat lain

20 MAC 2020
BERITA GLOBAL

Majlis Penyampaian Sijil Sekolah Gilead yang Istimewa

Majlis Penyampaian Sijil Sekolah Gilead yang Istimewa

Majlis penyampaian sijil bagi Sekolah Latihan Gilead yang ke-148 telah berlangsung seperti majlis penyampaian yang sebelumnya, kecuali terdapat satu hal yang berbeza: Tiada hadirin yang berada di dewan semasa majlis itu berlangsung. Semua hadirin telah menonton siaran langsung program itu dari tempat masing-masing. Penyesuaian ini menunjukkan bagaimana organisasi kita bertindak dengan cepat kerana terdapat wabak yang tersebar di seluruh dunia sekarang.

Program majlis telah berlangsung pada 14 Mac 2020, di pusat pendidikan Saksi-Saksi Yehuwa di Paterson, New York. Saudara Stephen Lett, seorang ahli Badan Pimpinan, merupakan pengerusi acara itu. Seramai 55 orang telah menerima sijil mereka. a

Beberapa minggu sebelum majlis itu, terdapat banyak berita tentang penularan COVID-19. Seperti yang dinyatakan di Ruangan Berita di jw.org, ibu pejabat sedunia Saksi-Saksi Yehuwa sedang memantau keadaan dan memberikan arahan kepada semua sidang selaras dengan arahan pihak berkuasa.

Salah satu arahan yang diberikan adalah untuk mengehadkan jumlah orang yang diizinkan untuk berkumpul. Setelah mempertimbangkan sekatan pihak berkuasa dan faktor lain, Badan Pimpinan telah mengarahkan bahawa tiada tetamu luar yang diizinkan untuk menghadiri program itu. Selain itu, tiada hadirin yang akan menghadiri majlis itu di dewan tersebut. Keluarga Bethel dan semua pelajar Gilead menetapkan teladan baik dengan mematuhi arahan yang diberikan.—Yohanes 13:34, 35.

Namun, siaran langsung program ini telah disediakan bagi para tetamu pelajar Gilead dan keluarga Bethel. Dengan adanya aturan ini, lebih daripada 10,000 saudara saudari dari seluruh dunia, termasuk keluarga dan kawan-kawan para pelajar dapat menonton program itu secara langsung.

Badan Pimpinan berharap agar kegiatan rohani, terutamanya perjumpaan mingguan, terus diadakan secara tetap meskipun wabak COVID-19 sedang menular. Maka, Badan Pimpinan telah memberikan arahan kepada pejabat cawangan di seluruh dunia tentang cara mengadakan perjumpaan mengikut keadaan tempatan. Sesetengah penyiar dapat berjumpa dalam kumpulan yang kecil, atau “berkumpul” di Internet, contohnya melalui video. Kami yakin bahawa saudara saudari di seluruh dunia akan terus mendapat makanan rohani yang berlimpah-limpah.

Jelaslah bahawa tiada apa-apa yang dapat menghalang Yehuwa daripada memberikan kuasa kepada organisasi-Nya untuk mengatasi cabaran yang timbul.—Mazmur 18:29.

a Seluruh program Majlis Penyampaian Sijil Sekolah Gilead yang ke-148 akan dimuat naik di jw.org pada Jun 2020.