Lompat ke kandungan

Ramai orang berkumpul di sebuah lokasi yang disewa di Rozdil, Ukraine untuk menyambut Peringatan

19 APRIL 2023
BERITA GLOBAL

Menyambut Peringatan Kematian Yesus Tahun 2023 dengan Sukacita meskipun Menghadapi Cabaran

Menyambut Peringatan Kematian Yesus Tahun 2023 dengan Sukacita meskipun Menghadapi Cabaran

Berjuta-juta Saksi-Saksi Yehuwa dan orang yang dijemput telah menyambut Perjamuan Malam Tuan pada hari Selasa, 4 April 2023. Ramai orang berusaha untuk menghadirinya walaupun menghadapi pelbagai cabaran.

Ukraine

Contohnya, beribu-ribu orang menghadiri Peringatan walaupun terdapat cuaca yang buruk dan peperangan di sesetengah kawasan di Ukraine. Oleh kerana keadaan sebuah bandar di bahagian timur Ukraine tidak selamat, para penatua telah membuat persiapan awal. Semua ahli sidang diberikan rakaman ceramah Peringatan satu minggu lebih awal. Beberapa hari kemudian, ribut yang dahsyat melanda kawasan itu dan menyebabkan bekalan elektrik dan Internet terputus. Namun, semua orang dalam sidang itu dapat menikmati rakaman ceramah Peringatan walaupun tiada elektrik dan terdapat peperangan yang berterusan.

Kazakhstan

Violetta yang berumur 15 tahun dari Kazakhstan menghadapi tentangan daripada ahli keluarga. Datuk Violetta yang tinggal bersama keluarga mereka telah menentang kebenaran selama kira-kira 20 tahun. Sering kali, dia menghalang keluarga Violetta daripada menghadiri perjumpaan dan memusnahkan bahan bacaan mereka. Namun, kasih terhadap cucunya telah mendorong dia untuk mula berbual dengan Violetta tentang Bible. Hasilnya, Violetta sangat teruja untuk tahu bahawa datuknya ingin belajar Bible dan menghadiri Peringatan pada tahun ini!

Atas: Suai, Timor-Leste. Bawah: Same, Timor-Leste

Jarak yang jauh juga salah satu cabaran untuk menghadiri Peringatan. Di Timor-Leste, saudara saudari mengadakan sebanyak 55 pembelajaran Bible melalui telefon dengan penduduk di bandar Same dan Suai. Perjalanan dari kedua-dua bandar ini ke Dewan Perjumpaan Saksi-Saksi Yehuwa yang terdekat memerlukan beberapa jam dengan menaiki motosikal. Jadi, aturan telah dibuat di setiap bandar ini untuk mengadakan Peringatan di rumah peribadi. Seorang penatua membuat perjalanan selama empat jam ke Same untuk menyampaikan ceramah Peringatan kepada 56 hadirin. Seorang lagi penatua membuat perjalanan sekitar tujuh jam ke Suai di mana terdapat lebih daripada 50 orang yang hadir Peringatan.

Hualpén, Chile

Saudara saudari di Hualpén, Chile, juga menghadapi cabaran semasa mencari lokasi untuk menyambut Peringatan. Mereka meminta bantuan daripada pegawai hal ehwal agama untuk mencari lokasi yang sesuai. Beberapa jam sebelum Peringatan harus bermula, pegawai itu menawarkan sebuah kafeteria sekolah untuk digunakan. Para penatua sidang sangat gembira dengan hal itu dan terus membuat aturan. Saudara saudari bertungkus lumus membuat persiapan dengan segera. Pegawai itu dan datuk bandar juga menghadiri sambutan Peringatan tersebut. Datuk bandar berkata, “Semuanya sangat teratur dan sambutan ini diadakan dengan penuh hormat. Bahkan anak-anak juga berkelakuan baik. Kamu semua memang patut dipuji. Kami gembira untuk bekerjasama dengan kamu pada masa depan juga.”

Monaco

Kita turut bersukacita kerana organisasi kita telah didaftar secara sah di Monaco pada November 2022. Sambutan Peringatan telah diadakan di sebuah lokasi yang disewa. Dewan yang digunakan sangat kemas dan cantik. Selepas sambutan Peringatan berakhir, seorang lelaki yang dijemput ke acara itu kata, “Dewan ini memang sangat cantik, tapi orang yang saya jumpa semasa sambutan ini menjadikan suasananya lebih cantik.”

Sememangnya, kita sangat digalakkan untuk melihat bagaimana saudara saudari kita berjaya mengatasi pelbagai cabaran agar dapat menyambut Peringatan dan mentaati perintah Kristus “untuk mengenang” kematiannya!—Lukas 22:19.