Lompat ke kandungan

Konvensyen di Columbus, Ohio, A.S. pada 24-30 Julai 1931

23 JULAI 2021
BERITA GLOBAL

Menyandang Nama Saksi Yehuwa selama 90 Tahun

Menyandang Nama Saksi Yehuwa selama 90 Tahun

Pada Ahad, 26 Julai 1931, Saudara Joseph F. Rutherford, presiden Watch Tower Bible and Tract Society, bercakap di hadapan lebih daripada 15,000 orang semasa konvensyen di Columbus, Ohio, A.S. Sebahagian program itu telah disiarkan oleh lebih daripada 450 stesen radio di serata dunia. Pada masa itu, ia telah menjadi siaran radio yang paling meluas yang pernah disiarkan. Saudara Rutherford juga mengumumkan resolusi bersejarah yang bertajuk, “Nama Baharu.” Resolusi itu menyatakan, “Kita ingin digelar dan dikenali sebagai saksi-saksi Yehuwa.” (Lihat kotak “ Resolusi.”) Resolusi itu telah disambut dengan sorakan dan tepukan gemuruh.

Kisah hidup Saudara Arthur Worsley telah diterbitkan pada 1986. Dia berkata, “Saya tidak akan melupakan jeritan dan tepukan gemuruh waktu itu.”

Orang ramai pada waktu rehat di luar Coliseum, Ohio State Fair Grounds

Orang di negara lain juga mendengarkan resolusi ini semasa ia disiarkan menerusi radio. Saudara dan Saudari Barber di Australia mengenang kembali, “Semasa tepukan di Amerika kedengaran, saudara saudari di Melbourne segera berdiri dan terus bertepuk tangan.” Di Jepun, sekumpulan kecil termasuk Saudari Matsue Ishii, juga telah mendengarkan resolusi ini. Dia kemudiannya menulis, “Kami bersorak-sorai bersama saudara saudari kami di Amerika.”

Nama Saksi Yehuwa muncul secara bertulis buat kali pertama pada The Messenger

Adalah dilaporkan bahawa para peniaga di bandar konvensyen, iaitu Columbus, Ohio, menggantikan papan tanda yang mengalu-alukan Pelajar Bible Antarabangsa kepada “Selamat Datang, Saksi-Saksi Yehuwa.” Pada 28 Julai 1931, The Messenger, surat khabar terbitan Watch Tower Bible and Tract Society yang melaporkan berita tentang konvensyen, menggunakan nama Saksi-Saksi Yehuwa secara bertulis buat kali pertama.

Tidak lama selepas konvensyen, kempen penyebaran yang besar diadakan menggunakan buku kecil The Kingdom, the Hope of the World. Ia mengandungi resolusi tentang nama baharu. Dalam masa dua bulan setengah, lebih daripada lima juta naskah telah diedarkan. Kebanyakannya diberi kepada pemimpin agama, kerajaan, dan perniagaan.

Buku kecil The Kingdom, the Hope of the World dalam beberapa bahasa, termasuk dalam huruf braille. Bahan ini yang diedarkan dalam kempen sedunia mengandungi resolusi tentang nama baharu

Saudara Martin Poetzinger mengingat kembali tentang masa itu, “Penghuni rumah terkejut semasa kita perkenalkan diri dengan berkata, ‘Hari ini kami datang sebagai Saksi Yehuwa.’ Mereka menggeleng kepala atau bertanya, ‘Tapi kamu masih pelajar Bible, kan?’” (Lihat kotak “ Kad Nama yang Perkenalkan Nama Yehuwa.”) Namun bertahun-tahun kemudian, Saudara Poetzinger menulis, “Begitu banyak sudah berubah! Sekarang, sebelum saya cakap apa-apa, orang akan kata, ‘Kamu pasti seorang saksi Yehuwa.’”

Atur cara konvensyen mengandungi huruf “JW,” yang maknanya dijelaskan dalam ceramah Saudara Rutherford

Saudara A. H. Macmillan juga telah menghadiri konvensyen pada 1931. Dia kemudiannya menjelaskan mengapa nama itu begitu sesuai. Dia berkata, “Saya rasa nama baharu ini amat baik kerana menunjukkan apa yang kita lakukan. Sebelum itu, kita dikenali sebagai Pelajar Bible. Mengapa? Kerana itulah apa yang kita lakukan. Kemudian, semasa orang di negara lain mula belajar Bible dengan kita, kita dikenali sebagai Pelajar Bible Antarabangsa. Tapi sekarang kita ialah saksi-saksi untuk Tuhan Yehuwa. Nama ini tunjuk kepada orang ramai siapa kita dan apa yang kita lakukan.”

Hari ini, berjuta-juta orang di serata dunia bangga untuk dikenali sebagai Saksi-Saksi Yehuwa.—Yesaya 43:10-12.