15 APRIL 2020
BERITA GLOBAL
Orang Muda Menggunakan Cara yang Kreatif untuk Menginjil semasa Pandemik Berleluasa
Anak muda Saksi-Saksi Yehuwa berusaha untuk mengekalkan rutin rohani mereka. Mereka mencari jalan untuk menginjil dan menggalakkan rakan seiman semasa penularan wabak COVID-19.
Di New Zealand, ramai orang meletakkan alat mainan, patung beruang, dan gambar di tingkap-tingkap untuk menghiburkan kanak-kanak di kawasan perumahan mereka. Apabila anak muda Saksi memerhatikan hal ini, mereka mendapat satu idea untuk menginjil. Anak muda dari beberapa sidang membuat papan tanda dengan gambar Johan dan Sofia dan menulis, “Carilah kami di jw.org.”
Emilia ialah seorang kanak-kanak dari Switzerland yang berumur sembilan tahun. Dia mempunyai sistem ketahanan tubuh yang lemah. Biarpun begitu, dia berusaha untuk menginjil kepada orang yang tinggal di sebuah rumah penjagaan. Memandangkan para pelawat dilarang mengunjungi rumah penjagaan itu, Emilia menulis surat dan melukis gambar Nuh dan bahtera. Dia menjelaskan bahawa Nuh dan keluarganya juga terpaksa berada dalam bahtera agar mereka selamat. Dia menggalakkan penghuni yang tinggal di rumah penjagaan untuk “ikut contoh Nuh dan jangan keluar.” Selepas wabak ini berakhir, Emilia mahu melawat semua penghuni secara bersemuka.
Surat-surat Emilia mendapat sambutan yang baik dan ada beberapa orang yang telah membalas suratnya. Usaha Emilia telah mendapat perhatian seorang wartawan lalu wartawan itu telah menulis sebuah rencana tentangnya dalam surat khabar.
Peyton dan Ella Kempf ialah adik-beradik yang tinggal di Ontario, Kanada. Mereka sering berhubung dengan ahli sidang. Bapa mereka, Jared, berkata, “Semasa penyembahan keluarga, kami membuat senarai orang yang ingin kami hubungi.” Ibu mereka, Jessica, berkata, “Kami mahu mengajar anak kami pentingnya untuk meyakinkan saudara saudari, kawan-kawan, dan sanak saudara bahawa mereka tidak dilupakan.”
Di Colorado, Amerika Syarikat, Stella yang berumur sembilan tahun dan ibunya berusaha untuk menghubungi saudara saudari yang lanjut usia dalam sidang mereka. Mereka membuat senarai nama dan menghubungi setiap seorang melalui telefon.
Dua orang adik-beradik yang bernama Jonathan dan Sean McKampson berumur 12 dan 15 tahun. Mereka berkhidmat di sidang bahasa Cina di Arizona bersama ibu bapa mereka. Setiap pagi sebelum waktu sekolah, mereka akan menginjil melalui surat. Memandangkan mereka belum fasih menulis dalam bahasa Cina, mereka memerlukan banyak masa dan usaha untuk menyiapkan surat mereka. Walaupun demikian, mereka bertekad untuk mengongsi mesej Bible kepada orang yang bertutur dalam bahasa Cina.
Enam orang anak muda yang berumur antara 2 hingga 15 tahun sering melawat sebuah rumah penjagaan di Michigan bersama ibu mereka dan seorang perintis. Disebabkan wabak ini, mereka tidak dapat mengunjungi rumah penjagaan itu lagi. Maka, mereka menyanyikan lagu teokratik atau membacakan ayat Bible lalu mengirim rakaman itu kepada penghuni di sana. Seorang ahli terapi di sana mengatakan bahawa salah seorang penghuni yang murung akibat laporan-laporan COVID-19 berasa sangat dilegakan selepas menonton video yang dihantar.
Kami yakin bahawa Yehuwa sangat menghargai usaha anak-anak muda ini yang menunjukkan kasih kepada orang lain dan memuji-Nya melalui kerja penyebaran.—Mazmur 148:12, 13.