Lompat ke kandungan

Saudara saudari dari Ukraine berpindah ke negara lain

9 JUN 2022
BERITA GLOBAL

Para Pelarian dari Ukraine Memulakan Kehidupan Baharu di Negara Lain

Para Pelarian dari Ukraine Memulakan Kehidupan Baharu di Negara Lain

Iryna Makukha kini tinggal di Republik Czech

Semasa perang tercetus di Ukraine, Iryna Makukha, seorang saudari bujang yang berumur 46 tahun, pergi ke stesen kereta api di Kharkiv. Dia telah memutuskan untuk berpindah ke negara lain. Dalam keadaan yang huru-hara itu, orang menaiki kereta api tanpa mengetahui destinasi mereka. Tingkap kereta api yang dinaiki Iryna semuanya ditutup untuk mengurangkan risiko diserang. Hanya selepas bertolak, barulah Iryna tahu bahawa kereta api itu menuju ke Slovakia.

Sekarang, Iryna tinggal di Republik Czech. Dia tiba di Prague, iaitu ibu kota Republik Czech, pada 3 Mac 2022. Dia mendapat kerja sebagai pekerja am, dan tinggal dalam sebuah apartmen bersama dua orang saudari Ukraine yang juga merupakan pelarian. Iryna sedang belajar bahasa Czech dan meneruskan khidmat sepenuh masa yang telah dilakukannya selama 20 tahun.

“Saya melihat dengan mata sendiri bagaimana Yehuwa menggunakan umat-Nya untuk menjaga kami. Hal itu menguatkan iman saya,” kata Iryna.

Hampir 23,000 orang saudara saudari kita telah memutuskan untuk melarikan diri ke negara lain. Keputusan ini membolehkan mereka tinggal di tempat yang lebih selamat, tetapi mereka masih perlu mencari kerja dan tempat tinggal, mendapatkan dokumen yang diperlukan, mencari sekolah baharu untuk anak-anak, dan mempelajari bahasa baharu. Mereka mendapati bahawa rutin rohani mereka dan saudara saudari yang pengasih adalah seperti sauh yang menstabilkan mereka pada masa yang mencabar ini.

Anatoli, Olena, dan Alina Perceac kini tinggal di Romania

Anatoli Perceac, Olena, dan Alina yang berusia 17 tahun, memulakan kehidupan baharu di Romania setelah kawasan tempat tinggal mereka di Mykolaiv Oblast, Ukraine, dibom. Mereka berpindah ke Romania pada 6 Mac 2022. Anatoli ialah warganegara Moldova, maka dia dibenarkan membawa keluarganya ke Romania. Olena menggambarkan pengalaman berhijrah ke negara lain seperti “mencabut pokok dengan akarnya keluar dari tanah dan memindahkannya ke tempat lain.”

Dengan adanya bantuan saudara saudari di Romania, keluarga Perceac sudah memiliki apartmen sendiri. Anatoli dan Olena sudah mendapat kerja, dan Alina dapat menyiapkan kerja rumahnya dan menghantarnya ke sekolahnya di Ukraine.

Saudara saudari di Romania bukan sahaja menjaga keperluan fizikal keluarga Perceac, tetapi juga memberikan sokongan emosi dan rohani. Mereka meluangkan masa bersama keluarga tersebut supaya keluarga itu tidak berasa sunyi di negara asing. Olena dan Alina sedang belajar bahasa Romania dengan menggunakan aplikasi JW Language dan dengan menginjil bersama sidang baharu mereka. Anatoli sudah tahu menuturkan bahasa Romania dari kecil lagi.

“Dari mula lagi, kami dapat rasai bantuan Yehuwa,” kata Anatoli. “Melalui organisasi Tuhan dan saudara saudari, kami dapat merasai kasih Yehuwa.”

Vladyslav Havryliuk dan ibunya Alina, menjalani kehidupan baharu di Poland

Alina Havryliuk, seorang balu, dan anaknya Vladyslav yang berumur 16 tahun, berasal dari Vinnytsia, Ukraine. Mereka tiba di Suwałki, Poland, pada 27 Februari. Alina berkata, “Pada mulanya, saya risau di mana kami akan tinggal dan bagaimana kami dapat menyara diri. Tapi saya juga yakin Yehuwa akan jaga kami.”

Alina, yang berumur 37 tahun, segera mula mencari kerja yang tidak mengganggu masa perjumpaan. Akhirnya dia mendapat kerja sebagai pekerja am di sekolah. Dia berkata, “Yang terpenting, kerja ini beri saya lebih banyak peluang untuk menginjil dan membolehkan saya menjaga keluarga.”

Alina dan Vladyslav sedang belajar bahasa Poland, dan mereka berkhidmat sebagai perintis sokongan yang berterusan dalam sebuah sidang bahasa Poland. Vladyslav sudah mula belajar di sekolah menengah.

Saudara saudari kita dari Ukraine menghadapi cabaran dan perubahan yang besar, tetapi Yehuwa terus memberi mereka kekuatan yang luar biasa. Mereka telah melihat betapa benarnya kata-kata di 2 Korintus 4:8, “Kami diasak dari semua arah, tetapi kami tidak terhimpit sehingga tidak dapat bergerak; kami kebingungan, tetapi bukanlah sehingga kami tidak ada jalan keluar.”