Lompat ke kandungan

JW Stream–Studio membolehkan para penyiar (kiri) melihat penceramah tempatan (kanan) menyampaikan bahagian perhimpunan litar secara langsung

1 APRIL 2021
BERITA GLOBAL

Pelancaran JW Stream–Studio

Pelancaran JW Stream–Studio

Para Penyiar Kini Boleh Menonton Perhimpunan Litar Secara Langsung

Baru-baru ini, Saksi-Saksi Yehuwa melancarkan JW Stream–Studio, iaitu satu laman web baharu yang direka untuk menyiarkan acara maya (virtual) litar secara langsung. Pada 6 dan 7 Mac 2021, sebanyak 340 acara perhimpunan litar telah diadakan melalui laman web ini di serata dunia. Jumlah hadirin mencecah lebih daripada 500,000 orang.

Terdapat saudara tempatan yang bersedia memberi bantuan teknikal untuk setiap perhimpunan litar

Tidak lama selepas pandemik bermula, Jawatankuasa Mengajar yang berada di bawah penyeliaan Badan Pimpinan, meminta Bahagian Siaran di ibu pejabat untuk membuat satu laman web yang membolehkan penyelia litar mengadakan acara perhimpunan litar secara virtual. Matlamatnya supaya ribuan orang boleh menonton siaran program itu secara langsung.

Jadi, Bahagian Siaran menugaskan sekumpulan kecil saudara saudari untuk mengusahakan projek ini. Sepanjang masa projek berlangsung, mereka perlu menghadapi beberapa kesukaran.

Misalnya, laman web ini harus direka supaya mudah digunakan kerana bukan semua saudara yang menggunakannya mahir tentang komputer. Selain itu, laman ini harus tetap berjalan lancar walaupun sambungan Internet lambat. Jadi, Bahagian Siaran harus berganding bahu dengan Bahagian Komputer di ibu pejabat untuk memastikan bahawa terdapat server komputer yang mencukupi supaya semua pengguna boleh melayari laman itu pada masa yang sama.

Alex Hernandez, dari Bahagian Siaran, berkata, “Tugas kami adalah menghasilkan laman web yang boleh digunakan untuk mengadakan ratusan acara pada masa yang sama. Ini sangat menarik dan mencabar juga.” Dia menyambung, “Kami mempunyai kumpulan kecil pengatur cara komputer. Bagi kebanyakan daripada mereka, inilah kali pertama mereka membuat laman web bagi menyiarkan acara secara langsung.”

Rekaan konsep pertama bagi JW Stream–Studio selesai pada Mei 2020. Hanya lima bulan kemudian, iaitu pada Oktober 2020, Bahagian Siaran mula menguji laman web ini dengan para penyelia litar di enam buah negara. Proses ini membolehkan mereka mengetahui apa yang perlu diperbaik lagi sebelum tarikh pelancaran laman tersebut. Sekumpulan 17 saudara saudari bersedia membantu jika berlakunya masalah pada hari laman ini dilancarkan di serata dunia.

Keluarga Amadiz di Amerika Syarikat berfoto sebelum acara perhimpunan litar bermula, yang disiarkan menerusi JW Stream–Studio

Alex menambah, “Setiap kali ada halangan, kami berhenti sebentar dan berdoa tentangnya. Apabila kami dapat penyelesaiannya, kami yakin bahawa Yehuwa sedang menyokong kami.”

Banyak saudara saudari mengungkapkan rasa penghargaan untuk laman web ini.

Saudara Jairo Espinosa dari Colombia berkata, “Oleh kerana program perhimpunan litar diadakan menerusi JW Stream–Studio, kami rasa persaudaraan Kristian kami semakin bersatu padu. Kami juga rasa semakin rapat dengan saudara saudari. Tambahan pula, kerana kami tahu program ini disiarkan secara langsung, kami lebih berfokus mendengar ceramah supaya kami tidak ketinggalan apa-apa pun. Sudah tentu inilah berkat yang sangat istimewa!”

Saudari Magaly Reymundo dari Amerika Syarikat pula menjelaskan, “Saya tahu jika saya melihat acara yang telah dirakamkan, isinya masih sama. Tapi saya lebih gembira melihat saudara-saudara yang saya kenal memberi ceramah secara langsung.”

Sejak pelancarannya, JW Stream–Studio sudah digunakan untuk lebih daripada 800 acara perhimpunan litar. Kita bersyukur kepada Yehuwa kerana menyediakan alat baharu ini yang dapat membantu kita tetap kuat secara rohani dan bersatu padu.—Mazmur 133:1.