10 MAC 2023
BERITA GLOBAL
Pengeluaran Dua Bible Baharu di Afrika Selatan
Pada 5 Mac 2023, Saudara David Splane, seorang ahli Badan Pimpinan, telah mengeluarkan buku Matius dalam bahasa Ndonga dan Kitab Yunani Kristian Terjemahan Dunia Baharu dalam Bahasa Isyarat Afrika Selatan (juga dikenali sebagai SASL di Afrika Selatan). Dua pengeluaran baharu itu dibuat semasa satu program istimewa yang diadakan di pejabat cawangan Afrika Selatan. Program ini disiarkan kepada banyak sidang secara langsung. Jumlah keseluruhan hadirin adalah lebih daripada 130,000 orang. Sejurus selepas pengeluaran itu, Bible dalam bentuk digital dapat dimuat turun.
Kerja terjemahan Bible bagi SASL telah bermula pada 2007. Ketika itu, kumpulan penterjemah bekerja di pejabat cawangan yang terletak berdekatan Johannesburg, Afrika Selatan. Pada 2022, mereka telah berpindah ke pejabat penterjemahan di Durban. Setelah Bible SASL dikeluarkan, Saudara Ayanda Mdabe, seorang penatua pekak berkata, “Bible mengandungi kebenaran dan sangat berkuasa, dan terjemahan ini membuktikan hal itu dengan jelas sekali. Sekarang, orang pekak dapat benar-benar memahami Firman Tuhan. Bible dalam SASL juga membantu saya lebih menyelami dan memahami sifat-sifat Yesus dan prinsip Bible. Jadi, saya dapat menyelaraskan fikiran saya dengan fikiran Yehuwa.”
Di Namibia, bahasa Ndonga digunakan secara meluas. Oleh itu, pejabat penterjemahan bahasa Ndonga terletak di Ondangwa. a Mengenai pengeluaran buku Matius dalam bahasa Ndonga, salah seorang penterjemah berkata, “Saya diingatkan bahawa Yehuwa amat mengasihi manusia dan Dia mahu kita semua mendapat pengetahuan yang tepat tentang-Nya.”
Kita turut bergembira dengan saudara saudari kita atas pengeluaran dua Bible baharu ini. Sudah pasti, mereka dapat menyimpan perintah Yehuwa dalam hati mereka seperti harta dan meraih banyak manfaat daripadanya.—Amsal 2:1.
a Pejabat cawangan Afrika Selatan menyelia kerja di Namibia.