28 FEBRUARI 2023
BERITA GLOBAL
Perhimpunan Litar dan Sekolah Teokratik Diadakan Secara Bersemuka Lagi
Selama kira-kira tiga tahun, perhimpunan litar dan sekolah teokratik tidak dapat diadakan secara bersemuka. Tetapi pada Januari 2023, perhimpunan litar di serata dunia mula diadakan secara bersemuka lagi. Bukan itu saja, sekolah teokratik juga telah disambung semula di banyak tempat. Berkat Yehuwa jelas kelihatan semasa program-program ini.
Contohnya, di Mexico, kira-kira 200 saudara saudari telah membantu dalam kerja pembersihan sebelum perhimpunan litar diadakan. Ada antara mereka yang membuat perjalanan hampir enam jam untuk pergi ke Dewan Perhimpunan di Villahermosa, Tabasco. Seorang saudari kata, “Sudah lama kita tidak dapat berkumpul bersama secara beramai-ramai. Jadi, saya tidak mahu melepaskan peluang istimewa ini.”
Di Amerika Syarikat pula, perhimpunan litar telah diadakan di Crownsville, Maryland. Semasa acara itu, seorang saudari berkata, “Hati saya melonjak kegembiraan dan saya tidak dapat hentikan air mata saya. Program belum lagi bermula, tapi saya sudah habiskan semua tisu saya. Saya takkan lepaskan peluang keemasan ini untuk hadir perhimpunan litar.”
Selain itu, para pelajar bagi Sekolah Latihan Penginjil dan Sekolah untuk Penyelia Litar dan Isteri Mereka sangat gembira kerana dapat menghadirinya secara bersemuka. Saudara Giovanny Cabezas, salah seorang pengajar sekolah teokratik di Palm Coast, Florida, A.S., kata, “Saya teruja sekali bila dengar sekolah teokratik akan diadakan semula secara bersemuka. Para pengajar, pelajar, dan sukarelawan yang terlibat memang ingin memberikan sepenuh jiwa dan raga dalam khidmat mereka kepada Yehuwa. Mereka akan sangat menikmatinya.”
Saudari Satoko Nakata dan suaminya telah menghadiri Sekolah untuk Penyelia Litar dan Isteri Mereka pada Januari 2023. Dia berkata, “Saya bersyukur perjumpaan dan sekolah perintis dapat berlangsung melalui Zoom semasa pandemik. Tapi kalau melalui Zoom, agak susah untuk berbual secara bebas dengan kawan-kawan, bernyanyi, atau ketawa beramai-ramai. Suasana sangat berbeza apabila dapat menghadiri sekolah teokratik secara bersemuka. Ini hadiah yang istimewa daripada Yehuwa. Kita dapat bersembang, ketawa, menangis, dan bernyanyi bersama-sama. Terima kasih kepada Yehuwa dan Badan Pimpinan atas aturan ini.”
Sudah tentu, Yehuwa amat bersukacita semasa melihat umat-Nya berkumpul untuk beribadat dan menikmati program pendidikan rohani. Kita juga berasa seperti Raja Daud yang berkata, “Aku akan bersyukur kepada-Mu dalam kalangan perhimpunan yang besar; aku akan memuji-Mu dalam kalangan orang ramai yang berkumpul bersama.”—Mazmur 35:18.