21 MAC 2023
BERITA GLOBAL
Perkembangan JW.ORG dalam Tempoh Sedekad—Bahagian 3
Menyokong Kerja Penyebaran
Dalam bahagian pertama dan kedua siri rencana ini, kita telah melihat peranan jw.org dalam pengeluaran bahan digital, video, dan laporan berita yang tepat mengenai rakan seiman di serata dunia. Rencana terakhir ini akan membincangkan bagaimana laman web jw.org telah menyokong kerja penyebaran kita.
Jumlah Bahasa: Pada Ogos 2012, laman web kita yang direka semula telah disediakan dalam 139 bahasa. Tetapi pada Ogos 2014, iaitu semasa kempen untuk mengedarkan risalah jw.org dijalankan, jumlah bahasa laman web kita telah mencecah 500 bahasa. Yang lebih menarik ialah laman kita juga terdapat dalam 22 bahasa isyarat. Hari ini, kita dapat melayari jw.org dalam lebih daripada 1,070 bahasa, termasuk lebih daripada 100 bahasa isyarat yang berbeza.
Rencana: Pada Oktober 2019, laman utama jw.org dilengkapi dengan ciri baharu, iaitu slaid iklan yang menonjol serta tiga rencana yang disyorkan. Rekaan ini menonjolkan lagi maklumat di laman web yang dapat digunakan dalam kerja penyebaran. Kemudian, Bahagian Penulisan dan Bahagian Seni telah mempercepat proses penyediaan rencana dan gambar untuk laman utama. Dengan demikian, laman utama dapat selalu memaparkan maklumat tentang berita semasa atau hal-hal yang difikirkan orang. Contohnya, terdapat rencana yang menyentuh topik seperti pandemik COVID-19, perang antara Rusia dan Ukraine, serta krisis pelarian akibat perang.
Sumber Informasi yang Tepat: Laman web jw.org merupakan saluran yang penting supaya orang yang berminat dapat mencari maklumat yang tepat tentang organisasi dan kegiatan kita. Mereka juga dapat menghubungi Saksi-Saksi Yehuwa melalui laman web ini. Contohnya, seorang wanita yang pekak pernah belajar Bible dengan para Saksi semasa dia masih remaja. Tetapi setelah berpindah, dia tidak dapat menghubungi mereka lagi. Dia ingin sekali menyambung pembelajaran Biblenya. Namun, kawasannya belum dikunjungi para Saksi. Jadi, apakah yang dilakukannya? Dia teringat tentang laman web jw.org dan kemudian mengisi borang untuk dikunjungi seorang Saksi. Dalam hanya beberapa hari selepas mengisi borang itu, dua orang perintis khas melawatnya di rumah. Wanita itu telah menyambung pembelajarannya dan bahkan mengikuti perjumpaan secara tetap. Kini, dia sudah dibaptis dan berusaha mengajar tiga orang anaknya tentang Yehuwa. Dia kata, “Terima kasih Yehuwa kerana menyediakan laman web ini. Saya dapat terus mengisi borang dalam Internet dan dikunjungi. Jika tidak, saya mungkin perlu tunggu sehingga saya terserempak dengan seorang Saksi.”
Seraya kerja kita berkembang dengan pesat, kita amat digalakkan kerana organisasi Yehuwa terus menyediakan alat-alat yang melengkapi kita dalam kerja penyebaran.—Yesaya 60:22.
Video yang dimuat turun setiap bulan
Pelawat setiap hari dalam sebulan
Pengeluaran logo jw.org, Mac 2013
Laman web disediakan dalam bahasa isyarat, Julai 2014
Laman utama direka semula untuk menarik minat pengunjung, Oktober 2019
Pengeluaran buku Nikmati Hidup Selama-Lamanya! diumumkan, Januari 2021