30 APRIL 2020
BERITA GLOBAL
Persaudaraan Sedunia Melegakan Rakan Seiman yang Kehilangan Orang Tersayang
Walaupun umat Yehuwa berusaha melindungi diri daripada wabak yang kini menular, kita tidak kebal terhadap kesan-kesan buruknya. (Pengkhutbah 9:11) Sedihnya setakat ini, 872 saudara saudari di seluas dunia telah meninggal akibat virus COVID-19. Saudara saudari lain telah bertindak dengan cepat untuk menawarkan bantuan dan memberikan kelegaan kepada mereka yang berkabung. (1 Korintus 12:26) Yang paling penting, kita semua bergantung pada Yehuwa. Dia sentiasa memberi kita kesejahteraan-Nya, seperti yang dijanjikan-Nya di Filipi 4:7.
Salah seorang saudari yang menerima sokongan daripada organisasi Yehuwa ialah Saudari Hannchen Unnützer. Dia ialah seorang perintis khas di Bolzano, di utara Itali. Suaminya, Saudara Manfred Unnützer, telah meninggal pada 28 Mac 2020 akibat virus ini. Saudara Unnützer telah menceburi khidmat khas sepenuh masa untuk hampir 58 tahun, dan dia berkhidmat bersama isterinya untuk hampir 54 tahun. Mereka berdua menghabiskan 25 tahun dalam kerja litar. Sekitar 1,000 saudara saudari dari beberapa negara telah menonton ceramah pengebumian Saudara Unnützer menerusi persidangan video.
Saudari Unnützer berkata, “Saya sangat menghargai saudara saudari saya. Mereka tidak membiarkan saya bersendirian, biarpun selama satu jam. Saya dapat rasa kasih mereka yang berlimpah-limpah! Mereka menjaga saya secara emosi, rohani, dan fizikal. Saya sangat sayang mereka semua.”
Satu lagi pasangan yang merasai sokongan organisasi Yehuwa ialah Maria Jose Moncada dan suaminya Darwin. Mereka berkhidmat dalam sidang bahasa Quichua di pergunungan Ecuador. Kedua-dua ibu dan bapa Saudari Moncada telah meninggal dalam selang masa enam hari akibat COVID-19. Ibunya, Saudari Fabiola Santana Jordan, 56, ialah seorang perintis biasa, dan bapanya, Saudara Ricardo Jordan, 60, berkhidmat sebagai pembantu sidang di Sidang Praderas, Guayaquil. Dua orang saudara kandungnya juga dijangkiti virus COVID-19 tetapi kini telah sembuh.
Kejadian ini membuat Saudari Moncada sangat sedih. Maka, pada mulanya dia ingin membuat perjalanan pulang untuk menyokong ahli keluarganya yang lain dan membantu dalam aturan pengebumian. Tetapi selepas berdoa dengan tekun, mereka akhirnya memutuskan untuk tidak kembali ke Guayaquil. Sebaliknya, mereka berusaha berhubung dengan saudara-mara mereka melalui video. Saudari Moncada berkata, “Jika kami pulang ke sana, kami mungkin membahayakan nyawa orang lain dan nyawa sendiri.”
Saudari Moncada meluahkan bahawa dia diselubungi “perasaan risau dan kesedihan yang menusuk hatinya.” Tetapi, dia dan suaminya tetap melakukan kegiatan rohani dan “terus berdoa dengan bersungguh-sungguh untuk memohon bimbingan Yehuwa.” Mereka membuat persiapan untuk Peringatan kematian Yesus dengan menjemput pelajar Bible untuk menghadirinya. Selain itu, mereka meluangkan masa untuk membaca kisah Bible mengenai hari-hari sebelum kematian Yesus. Mereka juga terus menginjil melalui surat dan menghadiri perjumpaan sidang melalui persidangan video. Sembilan orang saudara-mara Saudari Moncada yang bukan Saksi telah menerima jemputannya dan menghadiri sambutan Peringatan dalam bahasa Sepanyol.“Kami sangat digalakkan apabila melihat pelajar Bible membuat aturan untuk menghadiri sambutan itu secara elektronik. Kami tahu hal ini tidak senang bagi mereka,” kata Saudari Moncada. Dia menambah, “Kami juga sangat gembira melihat saudara-mara saya menghadirinya walaupun mereka tinggal di negara yang lain.”
Saudari Moncada menyambung, “Pengalaman ini mengajar saya bahawa kita dapat menanggung keperitan kita apabila kita tetap aktif dalam kerja Yehuwa. Bila kita berbuat begitu, kita memberi Yehuwa lebih banyak peluang untuk memberkati kita.”
Saudara saudari di serata dunia turut bersedih dan berdoa untuk rakan seiman mereka yang kehilangan orang tersayang semasa wabak COVID-19. Kita menanti-nantikan masanya Yehuwa melenyapkan segala punca penderitaan kita, termasuk wabak penyakit, dan membangkitkan semua umat-Nya yang tidur dalam kematian.—1 Korintus 15:21, 22.