Lompat ke kandungan

Pusat Pelawat Paterson di New York, A.S. Sisipan: Para pelawat menikmati muzium interaktif yang bertema “Kampung pada Abad Pertama”

26 JANUARI 2024
BERITA GLOBAL

Pusat Pelawat Paterson yang Baharu Menawarkan Pengalaman yang Interaktif dan Unik

Pusat Pelawat Paterson yang Baharu Menawarkan Pengalaman yang Interaktif dan Unik

Pada 1 Januari 2024, Pusat Pelawat Paterson yang terletak di Pusat Pendidikan Watchtower di Paterson, New York, Amerika Syarikat, telah dibuka secara rasmi. Salah satu tarikan merupakan muzium yang bertema “Kampung pada Abad Pertama” yang memaparkan kehidupan orang dalam Bible. Saudara Isaiah Miller, yang berkhidmat dalam Bahagian Muzium di Bethel kata, “Kampung ini direka untuk membantu para pelawat menyelami kehidupan pada zaman Bible dan meraih pengajaran daripadanya. Kajian menunjukkan bahawa belajar secara interaktif memberikan manfaat yang besar kepada orang daripada semua peringkat umur.” Selepas lawatannya, seorang wanita kata, “Muzium ini betul-betul buat saya rasa saya hidup pada zaman Israel kuno. Memang cantik sekali!”

Selain menonjolkan kehidupan orang Yahudi, para pelawat juga dapat belajar tentang binatang, makanan, dan tumbuh-tumbuhan pada abad pertama. Contohnya, model pokok zaitun di muzium ini dibuat dengan sangat teliti. Acuan buatan tangan telah digunakan untuk menghasilkan pokok zaitun yang mirip dengan pokok zaitun di Israel. Para pelawat juga boleh mengisar biji-bijian dengan menggunakan batu kisaran. Selain itu, mereka boleh menaiki perahu nelayan yang lebih kurang sama dengan perahu yang digunakan oleh Yesus dan murid-muridnya. Seorang saudara kata dengan teruja, “Saya rasa seperti saya melangkah ke dalam perahu bersama Yesus dan mendengarnya menegur tasik dengan berkata, ‘Diam! Tenanglah!’” (Markus 4:39) Para pelawat juga dapat melihat rumah ibadat orang Yahudi kuno dan bayangkan diri mereka sedang mendengar Firman Tuhan dibaca.

Beberapa gambar yang menonjolkan kampung pada zaman Bible (arah jam dari atas kiri): Perahu nelayan pada abad pertama, batu kisaran, rumah ibadat, dan pasar

Rebecca dan Marcos belajar cara membuat kerusi kayu

Satu lagi aspek yang menarik ialah para pelawat dapat berbual dengan saudara saudari yang berlakon sebagai orang Israel di kampung itu. Para pelawat juga berpeluang untuk melakukan kerja dan kegiatan seharian yang biasa dilakukan pada zaman Yesus. Marcos, yang berumur 10 tahun kata, “Saya paling suka bila saya dapat bantu buat kerusi dengan seorang lelaki Israel!” “Saya pun sama,” kata Rebecca yang berumur lapan tahun. Dia menambah, “Saya sangat gembira dapat mengisar gandum menjadi tepung.”

Selain muzium itu, terdapat juga tiga bahagian lain dalam Pusat Pelawat Paterson. Salah satunya ialah pameran “Duit Syiling pada Abad Pertama” yang mempunyai duit syiling abad pertama yang asli, termasuk sekeping tetradrakma yang jarang dijumpai. Muzium “Yehuwa Akan Mengajar Anak-Anakmu” bantu orang mengetahui lebih banyak tentang sekolah-sekolah teokratik dan manfaat pendidikan rohani. Muzium “Membela dan Memperoleh Hak untuk Menyebarkan Berita Baik” pula mengisahkan pengalaman saudara saudari yang dianiaya dan bagaimana organisasi Yehuwa telah menyokong mereka.

Kiri ke kanan: Pameran “Duit Syiling pada Abad Pertama,” muzium “Yehuwa Akan Mengajar Anak-Anakmu,” dan muzium “Membela dan Memperoleh Hak untuk Menyebarkan Berita Baik”

Saudara saudari di seluruh dunia dijemput untuk datang ke Pusat Pelawat Paterson dan menikmati kurniaan rohani yang menantikan mereka. Sememangnya, ini ialah satu lagi cara Yehuwa menunjukkan kasih dan penghargaan-Nya terhadap umat-Nya.—Yakobus 1:17.