30 APRIL 2021
BERITA GLOBAL
RINGKASAN | Siri Persidangan di Moldova, Rusia, dan Ukraine Memperingati Ulang Tahun ke-70 Pembuangan Saksi-Saksi Yehuwa ke Siberia
Satu siri persidangan media dan akademik diadakan secara maya di Moldova, Rusia, dan Ukraine, sempena ulang tahun ke-70 Operasi Utara. Operasi Utara dilaksanakan pada 1951, di mana 9,793 Saksi Yehuwa dibawa dengan kereta api untuk dibuang negeri ke Siberia.
Di sesetengah acara, para hadirin diarahkan ke laman web 1951deport.org, yang mengisahkan tentang Operasi Utara. Laman web itu direka oleh Saksi-Saksi Yehuwa dan tersedia dalam bahasa Inggeris, Rusia, dan Ukraine. Terdapat banyak hasil kajian dan maklumat bersejarah dalam laman web tersebut.
1 April | Persidangan Akademik di Moldova
Dr. Lidia Padureac dari Universiti Negeri Alecu Russo di Balti, menerangkan, “Kerajaan Soviet melakukan pembuangan 1951 sebagai hukuman untuk menunjukkan kepada orang ramai bahawa perkembangan fahaman lain tidak dibenarkan kecuali fahaman Komunisme.”
Tetapi menurut Dr. Nicolae Fustei, “Operasi Utara gagal mencapai matlamatnya. . . . Organisasi Saksi-Saksi Yehuwa tidak dilenyapkan, dan penganutnya tidak berhenti menginjil. Sebaliknya, mereka melakukannya dengan lebih berani lagi.”
Dr. Virgiliu Birladeanu, pengendali sidang dan juga pakar penyelidik saintifik di Institut Sejarah, memberi komen tentang kelakuan baik para Saksi Yehuwa yang mengalami pembuangan itu. Semasa membuat kajiannya, dia telah menemu ramah beberapa Saksi tersebut. Dia berkata, “Saya kagum sekali melihat wajah mereka yang penuh harapan. Mereka tiada perasaan dendam terhadap Kerajaan Soviet yang telah menganiaya mereka.”
Saudara Victor Dornicenco yang berkhidmat di pejabat cawangan Moldova, memerhatikan bahawa penindasan di Soviet kini berulang di negara Rusia. Dia menjelaskan, “Sedihnya, sejarah tidak diambil sebagai pengajaran. Pada 2017, tanpa sebarang asas perundangan, Organisasi Keagamaan Saksi-Saksi Yehuwa di Rusia (kira-kira 175,000 orang) telah diharamkan. Prasangka dan maklumat salah tentang kepercayaan dan ibadat Saksi-Saksi Yehuwa mengakibatkan mereka hilang hak asasi manusia, seperti hak berfikir, berhati nurani, dan kebebasan beragama.”
1 April | Persidangan Media di Moscow
Seperti yang dilaporkan, lima orang cendekiawan dan pakar hak asasi manusia, bersama dengan Saudara Yaroslav Sivulskiy, wakil Persatuan Eropah Saksi-Saksi Yehuwa, telah menceritakan kepada pihak media tentang Operasi Utara dan penganiayaan yang kini berlaku di Rusia. Seluruh persidangan itu disiarkan online secara langsung dalam bahasa Inggeris dan Rusia.
6 April | Sidang Meja Bulat Diaturkan oleh Persatuan Peringatan Antarabangsa di Moscow
Seperti yang dilaporkan, acara ini telah disiarkan online secara langsung dalam bahasa Rusia sahaja.
8 April | Persidangan Akademik di Kyiv
Sejumlah 14 cendekiawan dari 6 buah negara, bersama dengan Saudara Ivan Riher dari pejabat cawangan Ukraine, memberi ceramah pendek. Dalam kajian mereka, beberapa cendekiawan menemu bual secara terperinci dengan para Saksi yang telah selamat mengharungi pembuangan. Kemudian klip-klip video temu ramah tersebut disiarkan kepada hadirin.
Dr. Tomasz Bugaj, sejarawan dan penyelidik dari Institut Sains Kebudayaan di Universiti Silesia, Poland, berkata, “Walaupun bekerja dan hidup dalam keadaan yang teruk, nilai moral dan etika Saksi-Saksi Yehuwa serta iman mereka tetap tidak berubah. Tidak terlintas di fikiran mereka untuk melepaskan pendirian moral mereka demi mendapat makanan, pekerjaan, atau kehidupan yang lebih baik.” Dr. Bugaj menggambarkan Saksi-Saksi Yehuwa sebagai “fenomena luar biasa” kerana berjaya memelihara dan mengekalkan agama mereka di bawah rejim Komunis.
Profesor Liudmyla Fylypovych, naib-presiden Persatuan Ukraine bagi Pengajian Agama, menonjolkan bahawa Saksi-Saksi Yehuwa di Ukraine kini mengedarkan bahan bacaan Bible dalam 36 bahasa. Dia juga menekankan bahawa kerja penyebaran mereka membawa manfaat bukan sahaja kepada para Saksi. Dia berkata, “Saksi-Saksi Yehuwa bantu menyelesaikan banyak masalah sosial yang dihadapi penduduk Ukraine.” Misalnya, Saksi-Saksi Yehuwa telah mencapai orang yang cacat pendengaran dan penglihatan. Bukan sahaja mengajar Bible kepada mereka tetapi juga bantu mereka menjadi orang yang berguna dalam masyarakat.
Acara ini telah disiarkan online secara langsung dalam bahasa Inggeris, Rusia, dan Ukraine.
9 April | Persidangan Media di Kyiv
Profesor Fylypovych memberitahu pihak media, “Saksi-Saksi Yehuwa menunjukkan bagaimana mereka pandai menyesuaikan diri terhadap pelbagai situasi. Malahan, mereka dapat mengubah keadaan buruk menjadi lebih baik dan masih dapat menyebarkan kepercayaan mereka. . . . Pada zaman Soviet, Saksi-Saksi Yehuwa mendapat penghormatan daripada orang di sekeliling kerana tetap setia kepada prinsip mereka.”
Profesor Igor Kozlovskyy, presiden Pusat Pengajian Keagamaan dan Hubungan Kerohanian Antarabangsa (Center of Religious Science Research and International Spiritual Relations) di Ukraine, berkata, “Untuk memahami siapa diri sendiri, kita harus memahami sejarah negara kita. . . . Peristiwa tentang pembuangan Saksi-Saksi Yehuwa tidak patut jadi hanya suatu adegan sejarah tetapi harus jadi sebahagian daripada sejarah negara Ukraine.” Dia menambah lagi, “Tanggungjawab sejarawan adalah untuk cuba menghapuskan ucapan benci dan cerita palsu tentang Saksi-Saksi Yehuwa dan agama-agama lain.”
Acara ini telah disiarkan online secara langsung dalam bahasa Inggeris dan Ukraine.