Lompat ke kandungan

Anugerah Buildings of Excellence yang diberikan kepada Saksi-Saksi Yehuwa dipamerkan bersama model kompleks Ramapo

28 MAC 2023
BERITA GLOBAL

Projek Ramapo

Rekaan Bangunan Kediaman di Ramapo Memenangi Anugerah

Rekaan Bangunan Kediaman di Ramapo Memenangi Anugerah

Baru-baru ini, Pihak Berkuasa Penyelidikan dan Pembangunan Tenaga Negeri New York (NYSERDA) telah menganugerahkan sejuta dolar Amerika kepada Saksi-Saksi Yehuwa melalui pertandingan Buildings of Excellence. Anugerah ini diraih kerana reka bentuk bangunan kediaman di Ramapo yang mesra alam. a Ini merupakan kali pertama projek pembinaan di Ramapo atau Rockland County memenangi anugerah sedemikian.

Keith Cady, seorang ahli Jawatankuasa Projek Pembinaan, berkata, “Rekaan bangunan Ramapo bertujuan untuk mengurangkan pencemaran dan pembaziran tenaga. Kami sangat gembira pihak berkuasa sedar akan usaha baik kami, dan bahkan sudi memberikan anugerah ini walaupun kerja pembinaan belum lagi bermula. Hadiah wang ini dan sumbangan para Saksi akan digunakan dengan sebaik-baiknya.”

Pertandingan ini telah dilancarkan pada Mac 2019. Selain pertandingan Buildings of Excellence, tiada pertandingan lain yang sepertinya di Amerika Syarikat. Setakat ini, 63 projek telah mendapat anugerah melalui pertandingan ini. Menurut laman rasmi NYSERDA, projek yang memenangi anugerah tersebut “menggalakkan projek lain dalam industri pembangunan untuk menyumbang kepada masa depan yang neutral karbon.”

Kita amat bersukacita kerana memperoleh perakuan daripada pihak berkuasa. Sememangnya, anugerah ini juga memuliakan Tuhan Yehuwa.—Matius 5:16.

a Nama rasmi yang digunakan dalam pertandingan tersebut ialah “Residences at Sterlington.”