Lompat ke kandungan

8 JULAI 2022
BERITA GLOBAL

Rekod Terjemahan Baharu: 13 Bible Dikeluarkan dalam Satu Hujung Minggu!

Rekod Terjemahan Baharu: 13 Bible Dikeluarkan dalam Satu Hujung Minggu!

Semasa hujung minggu 25-26 Jun 2022, 13 Bible Terjemahan Dunia Baharu dalam pelbagai bahasa dikeluarkan. Ini merupakan rekod tertinggi bagi organisasi kami. Rekod sebelumnya ialah enam. Berikut ialah laporan tentang peristiwa yang bersejarah ini.

Tzeltal

Saudara Armando Ochoa, ahli Jawatankuasa Cawangan Amerika Tengah, mengumumkan pengeluaran Kitab Yunani Kristian Terjemahan Dunia Baharu dalam bahasa Tzeltal. Program ini disiarkan kepada kira-kira 1,400 hadirin. Bible ini dikeluarkan dalam bentuk digital dan cetakan.

Salah seorang penterjemah Tzeltal kata, “Semasa fikir tentang projek ini, memang jelas bagi saya Yehuwa telah banyak bantu kami. Saya kagum dengan apa yang dicapai. Kami sedar hal ini hanya dapat dicapai dengan bantuan kuasa suci Yehuwa.”

Wayuunaiki

Saudara Carlos Moreno, wakil cawangan Colombia, mengumumkan pengeluaran Kitab Yunani Kristian Terjemahan Dunia Baharu (Matius-Kisah) dalam bahasa Wayuunaiki. Rakaman program disiarkan kepada sekitar 2,000 orang di Colombia dan Venezuela. Bible ini tersedia dalam bentuk digital. Salinan bercetak pula dirancang untuk masa depan.

Baoule

Saudara Christophe Coulot, ahli Jawatankuasa Cawangan Côte d’Ivoire, mengumumkan pengeluaran Kitab Suci Terjemahan Dunia Baharu yang lengkap dalam bahasa Baoule. Rakaman program ini disiarkan kepada lebih daripada 12,000 hadirin. Bible ini tersedia dalam bentuk digital. Salinan bercetak akan tersedia pada Oktober 2022. Inilah kali pertama Terjemahan Dunia Baharu diterjemahkan dalam bahasa tempatan di kawasan jagaan cawangan Côte d’Ivoire.

Salah seorang penterjemah dalam kumpulan memberitahu apa dorongan mereka semasa lakukan projek ini. Dia kata, “Semasa kami hadapi apa-apa kesukaran, kami bayangkan sukacita saudara saudari serta orang di kawasan penyebaran apabila mereka terima Bible dalam bahasa mereka. Hal ini berserta dengan sokongan Yehuwa memberi kekuatan kepada kami untuk meneruskan projek ini.”

Welsh

Saudara Peter Bell, ahli Jawatankuasa Cawangan Britain, mengumumkan pengeluaran Kitab Yunani Kristian Terjemahan Dunia Baharu dalam bahasa Welsh. Program siaran langsung dari sebuah Dewan Perjumpaan di Wales disiarkan kepada kira-kira 2,057 hadirin di dewan sekitar Wales dan Argentina. Hadirin dapat muat turun salinan digital dengan serta-merta. Salinan bercetak akan tersedia pada Disember 2022.

“Saya tak akan lupa kali pertama kami terjemahkan nama Yehuwa. Itu memang suatu penghormatan untuk menyaksikan nama Tuhan dikembalikan ke tempat asalnya,” kata salah seorang penterjemah.

Manyawa dan Tewe

Saudara Marcelo Santos, ahli Jawatankuasa Cawangan Mozambique, mengumumkan pengeluaran Bible—Buku Matius dalam bahasa Manyawa dan Tewe. Dua rakaman program ini disiarkan menerusi JW Stream serta stesen televisyen dan radio. Bible ini terdapat dalam bentuk audio dan digital. Salinan bercetak akan tersedia pada September 2022.

Ini merupakan kali pertama salah satu buku dalam Bible diterjemahkan ke bahasa Manyawa. Bagi bahasa Tewe pula, hanya beberapa buku dalam Bible sudah diterjemahkan. Pembaca dan pendengar akan dapat manfaat yang besar daripada pengeluaran ini.

Quechua (Ancash), Quechua (Ayacucho), dan Quechua (Cuzco)

Saudara Marcelo Moyano, ahli Jawatankuasa Cawangan Peru, mengumumkan pengeluaran Terjemahan Dunia Baharu (bentuk digital) dalam bahasa Quechua (Ancash), Quechua (Ayacucho), dan Quechua (Cuzco). Ini ialah tiga bahasa utama yang digunakan di Peru. Rakaman program ini disiarkan kepada lebih daripada 7,000 hadirin. Salinan bercetak akan tersedia pada Oktober 2022.

Walaupun bahasa-bahasa ini ada persamaannya, tapi jika tiada terjemahan yang berasingan, susah untuk faham Bible dengan jelas kerana terdapat perbezaan antara bahasa Quechua mengikut wilayah. Kumpulan penterjemah bagi setiap bahasa pilih ungkapan yang mudah difahami untuk pembaca orang asli di wilayah masing-masing.

Ndebele, Sesotho (Lesotho), dan Sesotho (Afrika Selatan)

Saudara Kenneth Cook, ahli Badan Pimpinan, mengumumkan pengeluaran Terjemahan Dunia Baharu dalam bahasa Ndebele dan Sesotho (Afrika Selatan). Dia juga mengumumkan pengeluaran Terjemahan Dunia Baharu yang dikemaskinikan dalam bahasa Sesotho (Lesotho). Lebih daripada 28,000 orang di seluruh Afrika Selatan menonton rakaman program ini, yang telah disiarkan di Dewan Perjumpaan dan rumah-rumah yang terpilih. Hadirin dapat muat turun salinan digital dengan serta-merta. Salinan bercetak akan tersedia pada Disember 2022. Inilah kali pertama seluruh Terjemahan Dunia Baharu diterjemahkan ke bahasa Ndebele dan Sesotho (Afrika Selatan).

Berkenaan Bible bahasa Ndebele, seorang penterjemah kata, “Bible ini ialah berkat bagi penutur bahasa Ndebele dalam kawasan penyebaran kami kerana ia menggunakan nama Yehuwa. Buat kali pertama, mereka akan kenali nama-Nya dengan membaca terus dari Bible sendiri.”

Ndebele (Zimbabwe)

Saudara Shingirai Mapfumo, ahli Jawatankuasa Cawangan Zimbabwe, mengumumkan pengeluaran Terjemahan Dunia Baharu yang lengkap (bentuk digital) dalam bahasa Ndebele (Zimbabwe). Salinan bercetak akan tersedia pada Julai 2022. Rakaman program ini disiarkan kepada lebih daripada 8,700 hadirin di Dewan Perjumpaan sekitar Zimbabwe.

Meskipun terdapat Bible lain dalam bahasa Ndebele (Zimbabwe), kebenaran Bible adalah lebih jelas dalam terjemahan ini. Contohnya, di Yohanes 17:3, Bible lain dalam bahasa Ndebele panggil Yesus Kristus sebagai “Tuhan Benar.” Manakala Terjemahan Dunia Baharu membezakan dengan jelas siapa Tuhan Yehuwa dan Yesus Kristus. Seorang penterjemah kata, “Terjemahan ini gunakan bahasa seharian supaya pembaca mudah faham isinya.”

Kami turut bergembira melihat Firman Tuhan tersedia untuk orang yang mencari kebenaran di serata dunia. Dengan demikian, mereka ‘mendapatkan air kehidupan dengan percuma’ dalam bahasa ibunda mereka.—Wahyu 22:17.