9 APRIL 2021
BERITA GLOBAL
Rencana dalam Berita JW Menguatkan dan Menyatukan Persaudaraan Sedunia Kita
Rencana-rencana dalam Berita JW tentang saudara saudari yang menghadapi penganiayaan menggalakkan kita untuk bertabah. Profil mereka membantu kita untuk mengenali mereka. Pengalaman serta komen mereka mengukuhkan, menyatupadukan, dan meyakinkan kita bahawa mereka tetap bersukacita. Komen-komen berikut menunjukkan bagaimana persaudaraan sedunia kita sedang meraih manfaat daripada rencana-rencana tersebut.
Fokus pada Apa yang Kita Dapat Buat
Saudara Miguel Silva dan isterinya, Mónica, (gambar di atas) ialah perintis khas di Portugal. Seperti ramai dalam kalangan kita, rutin harian mereka juga terjejas akibat COVID-19. Keadaan ini boleh membuat kita resah dan kadangkala letih. Namun, Miguel dan Mónica mendapat kelegaan hati daripada pengalaman Saudara Konstantin Bazhenov yang terdapat dalam rencana Berita JW. Konstantin ingin baca Bible tapi dia tidak ada Bible dalam penjara. Dia tidak berasa tawar hati. Sebaliknya, dia buat “Bible” sendiri dengan mengingat kembali ayat-ayat Bible yang telah dihafalnya. Miguel dan Mónica belajar sesuatu yang penting. Miguel menjelaskan, “Daripada berfokus pada apa yang kita tidak dapat buat semasa pandemik, kita berfokus dan menghargai apa yang kita dapat buat semasa berada di rumah.”
Selain itu, Miguel dan Mónica memutus untuk meningkatkan pembacaan Bible harian dan perenungan mereka. Mónica berkata, “Kami pasti, apabila kami memerlukannya, Yehuwa akan bantu kami mengingat kembali semua yang telah kami belajar dan simpan dalam hati.” Miguel menambah, “Pengalaman Saudara Bazhenov [juga] mendorong kami untuk memandang ‘tahanan rumah’ kami semasa pandemik ini sebagai peluang untuk menggalakkan orang lain, menyanyi dengan gembira kepada Yehuwa, dan meningkatkan mutu doa kami.”
Mengatasi Rasa Takut akan Penganiayaan
Saudari Christine Mouhima Etonde ialah seorang perintis biasa yang berkhidmat di Cameroon. Dia mengaku bahawa selama bertahun-tahun laporan tentang penganiayaan menakutkannya. Namun, dia menjelaskan bagaimana pandangannya berubah. Dia berkata, “Pandangan saya berubah sepenuhnya kerana membaca rencana Berita JW tentang saudara saudari yang tabah mengharungi penganiayaan. Semasa saya membaca tentang sikap saudara saudari dan doa mereka yang spesifik, melihat senyuman mereka, dan bagaimana mereka membuat persiapan awal untuk menghadapi penganiayaan, tidak kira yang muda mahupun yang tua, semua ini mendorong saya untuk lebih mengenali Yehuwa. Kasih saya terhadap-Nya terus bertambah sehingga saya dapat bayangkan diri dianiaya tanpa rasa takut. Saya dapat lihat diri saya sedang bersukacita, berdoa, dan merenung tentang Yehuwa.”
Bersedia untuk Mempertahankan Kepercayaan Kita
Hati Saudara Iulian Nistor dan isterinya, Oana, dari Romania, tersentuh kerana cara Saudara Anatoliy Tokarev mempertahankan kepercayaannya di mahkamah. Dia rasa tenang, menunjukkan hormat, dan bertekad untuk mengekalkan kesetiaannya. Teladan Anatoliy menggalakkan Iulian dan Oana untuk memikirkan bagaimana mereka akan mempertahankan kepercayaan mereka di mahkamah. Oana mengenang, “Semasa penyembahan keluarga, kami bayangkan kami di mahkamah dan sedang mempertahankan kepercayaan kami di hadapan hakim. Memang tidak mudah untuk menjelaskan kepercayaan dengan rasa hormat dan lemah lembut seperti apa yang dilakukan oleh saudara kami. Pada penghujung penyembahan keluarga, kami rasa lebih rapat dengan saudara saudari. Kami juga lihat betapa pentingnya untuk bersedia mempertahankan kepercayaan kami dan menghayati sebabnya kami bangga menjadi Saksi-Saksi Yehuwa.”
Meneliti Mutu Doa Kita
Hati Saudari Anna Ravoajarison dari Madagascar tergerak untuk meneliti mutu doanya selepas membaca pengalaman Saudara Jovidon Bobojonov. Anna berkata, “Ada kalanya, apabila saya sangat sibuk dengan aktiviti harian, saya rasa saya asyik ulang ayat yang sama semasa berdoa, terutamanya jika saya tidak meluangkan masa untuk memikirkan apa yang saya ingin beritahu Yehuwa.” Selepas merenungkan contoh Jovidon dengan lebih mendalam, Anna membayangkan dirinya dalam situasi Jovidon. Anna menanya diri, “Jika saya menghadapi penganiayaan yang sama, dapatkah saya berdoa dengan begitu spesifik?” Dia menambah, “Pengalaman ini mengajar saya betapa pentingnya meluangkan masa untuk membuat perenungan tentang apa yang saya ingin kata kepada Yehuwa sebelum berdoa. Saya amat bersyukur untuk rencana-rencana ini.”
Memupuk Belas Kasihan yang Mendalam terhadap Saudara Saudari Kita
Saudara Ruben Catarino dan isterinya, Andreia ialah perintis biasa di Portugal. Mereka rasa semakin rapat dengan saudara saudari. Ruben menjelaskan, “Dulu, kami tahu saudara saudari dianiaya di negara lain, tapi kami tidak mengenali mereka. Kami tidak tahu siapa mereka, bagaimana kehidupan mereka, atau apa kesusahan yang dilalui mereka. Kami bersyukur kerana menerusi rencana-rencana ini, kami benar-benar mengenali mereka. Kami dapat berdoa secara spesifik untuk mereka supaya terus bertabah biarpun menghadapi cabaran. Semua ini membuat kami rasa lebih akrab dengan saudara saudari dan merasai doa kami memberi kesan yang lebih mendalam.”
Meningkatkan Penghargaan terhadap Pembelajaran Peribadi
Sudah tentu kebanyakan daripada kita mempunyai perasaan seperti Saudari Cecilia Cardoso, seorang perintis biasa di Portugal. Dia membuat kesimpulan ini: “Kini, saya lebih menghargai pembelajaran peribadi setelah mengetahui apa yang dilalui oleh saudara saudari. Dengan meningkatkan pembelajaran Bible, saya lebih yakin terhadap Yehuwa, dan kasih saya kepada-Nya juga semakin bertambah. Dia akan membantu saya memandang perasaan takut sebagai sebutir pasir yang kecil sekali. Memang jelas rasa takut hanya akan mencengkam saya jika saya berhenti bergantung pada Yehuwa.”
Betapa bersyukurnya kita kerana laman jw.org mempunyai banyak teladan saudara saudari yang beriman dan berani. Kisah mereka membantu kita menjadi berani dan berkata, “Yehuwa ialah penolongku, aku tidak akan berasa takut.”—Ibrani 13:6.