14 SEPTEMBER 2022
BERITA GLOBAL
Saksi-Saksi Yehuwa Kembali Menginjil dari Rumah ke Rumah
Pada 1 September 2022, Saksi-Saksi Yehuwa di seluruh dunia tidak sabar-sabar untuk sambung semula kerja mereka yang dikenali ramai, iaitu menginjil dari rumah ke rumah. Kempen istimewa untuk menawarkan pembelajaran Bible sepanjang bulan itu juga membuat mereka rasa teruja. Bagi sesetengah saudara saudari, itu merupakan peluang untuk kembali dalam kerja penyebaran dari rumah ke rumah yang sudah mereka biasa lakukan dan hargai. Bagi yang lain pula, itu ialah kali pertama mereka mengunjungi jiran dengan berita Bible. Berikut adalah beberapa pengalaman dari serata dunia yang menggambarkan permulaan detik yang bersejarah ini bagi tahun aktiviti penyebaran 2023.
Jerman
Pada 2 September 2022, Nicole dan Tina, dua saudari di Petershagen, North Rhine-Westphalia, sedang menginjil di sebuah bangunan apartmen. Namun, mereka tidak jumpa sesiapa di dalam rumah. Semasa beredar, mereka dengar suara seorang wanita muda memanggil mereka. Wanita itu menjelaskan bahawa dia tidak sempat buka pintu dan meminta mereka masuk untuk bincang tentang Bible. Apabila kedua-dua saudari itu masuk ke apartmen, mereka nampak di atas meja sebuah Kitab Suci Terjemahan Dunia Baharu yang kelihatannya banyak digunakan. Wanita tersebut beritahu bahawa dia mendapat Bible itu semasa tinggal di Itali tiga tahun sebelum itu. Semasa pandemik COVID-19, dia tidak dapat jumpa Saksi-Saksi Yehuwa selepas berpindah ke Jerman. Nicole dan Tina bertukar maklumat perhubungan dengan wanita itu dan menjemputnya ke perjumpaan. Dua hari kemudian, wanita itu bersama dengan dua anaknya menghadiri perjumpaan. Aturan telah dibuat untuk mengadakan pembelajaran Bible dengannya.
Guatemala
Manuel dan Karol Gastelum, yang berkhidmat sebagai perintis khas di kawasan penyebaran bahasa Mam, menemui seorang wanita yang baik hati. Dia menjemput mereka masuk ke rumahnya. Wanita itu tidak tahu Tuhan ada nama, jadi mereka mula bincang pelajaran 04 yang bertajuk “Siapakah Tuhan?” dalam buku Nikmati Hidup Selama-Lamanya! Semasa mereka baca Yesaya 42:8, wanita itu kagum melihat nama Tuhan iaitu Yehuwa, dalam Biblenya sendiri.
Wanita tersebut mula menangis dan kata bahawa kini dia sedar sekadar memiliki Bible tidak cukup. Dia perlu belajar kandungan Bible supaya dapat patuhi perintah Tuhan dalam kehidupannya. Selepas selesai pelajaran itu, wanita itu amat bersyukur atas apa yang dipelajarinya. Dia kata dia akan kongsi maklumat itu kepada suaminya. Manuel dan Karol telah buat aturan untuk meneruskan perbincangan Bible bersamanya.
Jepun
Semasa menginjil di Yokohama, Saudara dan Saudari Nukamori melawat sebuah rumah yang ada interkom. Suara seorang wanita kedengaran dari interkom. Mereka memperkenalkan diri sebagai Saksi-Saksi Yehuwa kepada penghuni itu. Penghuni minta pasangan itu tunggu di pintu. Selepas seketika, wanita itu membuka pintu dan kata, “Saya sudah lama tunggu kedatangan Saksi-Saksi Yehuwa.”
Wanita itu menjelaskan bahawa dia mula belajar Bible dengan Saksi-Saksi Yehuwa di Nagasaki. Semasa pandemik, dia berpindah ke Yokohama dan sambung belajar Bible menerusi Zoom. Pada awal minggu itu, guru Biblenya kata, “Pada bulan September akan ada satu kempen. Salah seorang Saksi Yehuwa pasti mengunjungi kamu. Kamu patut minta pembelajaran Bible bersemuka dengannya.” Penghuni itu terkejut tetapi gembira kerana dikunjungi oleh Saksi dengan begitu cepat. Wanita tersebut meluahkan keinginannya untuk menghadiri perjumpaan dan mengatur masa bagi pembelajaran Bible yang seterusnya.
Mexico
Selepas sepasang suami isteri menawarkan pembelajaran Bible kepada seorang wanita, dia memberitahu bahawa dia pernah belajar Bible dengan Saksi-Saksi Yehuwa dan bahkan menghadiri perjumpaan bertahun-tahun yang lalu. Dia tidak berhubung lagi dengan Saksi dan rasa malu untuk mencari mereka lagi kerana dia tidak hidup mengikut prinsip Bible. Selepas itu, dia mula menangis. Pasangan itu membaca ayat Mazmur 10:17 dan menjelaskan bahawa Yehuwa tidak pernah melupakannya. Mereka juga memujinya kerana ingin mentaati Yehuwa. Dia setuju untuk belajar Bible dan kata bahawa anak lelakinya yang berumur 16 tahun juga ingin belajar lebih lanjut tentang Bible.
Apabila pasangan itu kembali keesokan harinya, wanita itu dan anak lelakinya sedang menunggu. Selepas bincang pelajaran 01 brosur Nikmati Hidup Selama-Lamanya!, pasangan itu menjemput mereka menghadiri perjumpaan hujung minggu, dan mereka pun menghadirinya. Wanita itu serta anak lelakinya merancang untuk terus belajar Bible dan hadiri perjumpaan.
Puerto Rico
Semasa hari pertama Ramon kembali menginjil dari rumah ke rumah, dia berdoa agar dapat temui seseorang untuk mengongsi berita baik. Apabila dia mengunjungi rumah pertama, seorang wanita buka pintu sedikit dan lihat luar. Ramon bertegur sapa dengannya dan memperkenalkan diri. Sebelum dia mula beri penyampaian, wanita itu kata, “Saya sudah lama menunggu saat ini. Saya berdoa seorang Saksi akan melawat saya di rumah.”
Wanita itu menjelaskan bahawa dia pernah berjumpa dengan Saksi beberapa tahun yang lalu dan menghadiri satu perjumpaan sidang. Tetapi dia berpindah dan tidak dapat berhubung lagi dengan Saksi. Ramon beritahu bahawa kerja penyebaran dari rumah ke rumah dihentikan sementara semasa pandemik. Kemudian, Ramon membaca Mazmur 37:29 dan jelaskan tentang aturan pembelajaran Bible. Wanita itu dengan gembira menerima pembelajaran Bible. Ramon telah membuat aturan agar seorang saudari mengunjunginya.
Selepas pengalaman ini, Ramon kata, “Saya tahu Yehuwa dan malaikat-malaikat sedang membimbing kita kepada mereka yang ingin dengar.”
Amerika Syarikat
Semasa Katelyn Thompson mengunjungi sebuah rumah di Kentucky, dia perasan terdapat ayat Bible yang tertulis pada peti surat dan satu tanda kecil di halaman yang berbunyi, “Yesus Sayang Kamu.” Apabila Katelyn mengetuk pintu, seorang wanita menjawab. Katelyn memperkenalkan diri dan menjelaskan bahawa Saksi-Saksi Yehuwa tidak dapat mengunjungi orang secara bersemuka kerana pandemik COVID-19. Dia juga memberitahu bahawa Saksi-Saksi Yehuwa telah menulis surat dan menelefon orang untuk beri galakan dan kelegaan hati pada masa itu. Katelyn tanya bagaimana keadaan wanita itu dan keluarganya. Wanita itu beritahu bahawa ayahnya meninggal semasa pandemik. Dia kata, “Saya terima surat daripada Saksi dan saya rasa Tuhan memberi apa yang saya perlukan tepat pada masanya!” Katelyn luahkan rasa simpatinya dan membincang pelajaran 02 brosur Nikmati Hidup Selama-Lamanya! bersama wanita itu. Mereka membaca ayat-ayat Bible dalam pelajaran itu dan bertumpu pada harapan pembangkitan pada masa depan. Wanita itu mula menangis. Dia menjelaskan bahawa hari itu ialah ulang tahun pertama kematian ayahnya. Wanita itu beri maklumat perhubungannya dan setuju agar Katelyn melawatnya lagi. Kemudian, Katelyn terima SMS daripada wanita itu yang berbunyi, “Terima kasih—saya betul-betul perlukan galakan hari ini!”
Sudah pasti, Yehuwa telah memberkati usaha kita untuk kembali menginjil dari rumah ke rumah serta kempen memulakan pembelajaran Bible. Kita menanti-nantikan hasilnya!—Yohanes 4:35.
Bahamas
Cameroon
Panama
Filipina
Korea Selatan
Amerika Syarikat