Lompat ke kandungan

4 NOVEMBER 2019
BERITA GLOBAL

Saksi-Saksi Yehuwa Mencapai Rekod Baharu—Kini JW.ORG Terdapat dalam 1,000 Bahasa

Saksi-Saksi Yehuwa Mencapai Rekod Baharu—Kini JW.ORG Terdapat dalam 1,000 Bahasa

Badan Pimpinan berbesar hati untuk mengumumkan bahawa kita telah mencapai rekod baharu dalam kerja penyebaran. Kini, JW.ORG menyediakan rencana, video, dan bahan audio dalam 1,000 bahasa, termasuk 100 bahasa isyarat.

Pada Ogos 2010, Saudara Samuel Herd, seorang ahli Badan Pimpinan, mengumumkan pengeluaran Kitab Yunani Kristian Terjemahan Dunia Baharu dalam Bahasa Isyarat Itali (terdapat di jw.org)

Saudara Gerrit Lösch, seorang ahli Badan Pimpinan, berkata, “Sejak hujung abad ke-19, kita telah melakukan kerja penterjemahan, dan kerja ini telah bertambah giat dalam beberapa tahun ini.” Saudara Geoffrey Jackson, seorang lagi ahli Badan Pimpinan, menambah, “Sekitar 100 tahun selepas kerja penterjemahan kita bermula, kita berjaya mencapai sebanyak 508 bahasa pada Januari 2013. Namun yang lebih menakjubkan lagi, dalam masa kurang daripada tujuh tahun, jumlah bahasa yang kita terjemahkan telah berlipat ganda dari 508 hingga ke 1,000 bahasa.”

Laman web kita menyediakan bahan bacaan yang dapat dimuat turun dalam 1,000 bahasa. Halaman utama dan halaman lain di jw.org pula tersedia dalam 821 bahasa. Hal ini bererti bahawa jw.org ialah laman web yang paling banyak diterjemahkan di dunia. Sebahagian besar kerja penterjemahan dilakukan oleh para sukarelawan yang terlatih. Mereka bekerja di kira-kira 350 buah pejabat penterjemahan di serata dunia.

Saudara Izak Marais, yang berkhidmat di Bahagian Khidmat Penterjemahan di ibu pejabat sedunia Warwick, New York, A.S., berkata, “Tidak mudah untuk menterjemah dan menerbitkan bahan bacaan dalam begitu banyak bahasa. Ada kalanya kami ingin menerbitkan bahan dalam bahasa yang jarang digunakan, tetapi huruf bahasa itu tidak tersedia dalam sistem komputer. Jadi untuk mencetak bahan bacaan dalam ratusan bahasa, kami perlu mereka huruf atau abjad bahasa-bahasa itu. Begitu juga, kami perlu mengatasi banyak cabaran agar jw.org dapat memaparkan bahan dalam 1,000 bahasa. Sebenarnya, banyak bahasa yang digunakan dalam laman web kita tidak digunakan di mana-mana laman web yang lain.”

Saudara Clive Martin, yang berkhidmat di Bahagian Program MEPS, menjelaskan, “Salah satu cabaran yang kami hadapi ialah kami perlu menerbitkan sebuah rencana dalam ratusan bahasa yang mempunyai tulisan dan susunan yang berbeza dalam laman web yang sama. Contohnya, 21 bahasa di laman web kita ditulis dari kanan ke kiri. Selain itu, kami juga perlu mereka laman web bagi 100 bahasa isyarat supaya mudah digunakan oleh orang pekak.”

Laman web yang direka untuk tujuan perniagaan biasanya akan diterjemahkan ke dalam bahasa-bahasa utama sahaja kerana ingin mendapatkan keuntungan. Tetapi motif Saksi-Saksi Yehuwa bukan untuk mengaut keuntungan. Matlamat kita adalah untuk menyampaikan mesej Bible kepada semua orang dalam cara yang menarik dan senang difahami.

Kita memuji Yehuwa kerana Dia memberkati usaha kita untuk membantu orang daripada “semua bangsa” menjadi pengikut Yesus. Kita yakin bahawa Yehuwa akan terus memberi kita kekuatan dan sumber yang diperlukan. Maka selagi Yehuwa tidak berkata bahawa kerja ini selesai, kita akan terus menyebarkan berita baik Kerajaan-Nya kepada orang yang berhati jujur.—Matius 28:19, 20.