16 MEI 2024
BERITA GLOBAL
Saksi-Saksi Yehuwa di Amerika Utara Kongsi Mesej Bible semasa Gerhana Matahari
Pada 8 April 2024, gerhana matahari penuh dapat dilihat di beberapa kawasan di Amerika Utara. Berjuta-juta orang berkumpul di beberapa tempat dan bahkan membuat perjalanan yang jauh untuk lihat fenomena alam semula jadi ini. Maka, kempen istimewa telah diaturkan di lebih daripada 24 bandar di mana gerhana ini dapat dilihat. Saksi-Saksi Yehuwa dari Amerika Syarikat, Kanada, dan Mexico telah menyertai kempen ini. Bahan bacaan dalam kira-kira 15 bahasa dipamerkan pada rak bahan bacaan.
Di Carbondale, Illinois, A.S., dua pelajar universiti menghampiri salah satu rak bahan bacaan kita. Seorang saudari memulakan perbualan dengan menanya soalan yang dipamerkan di rak, iaitu “Adakah Kehidupan Diciptakan?” Semasa berbual, salah seorang pemuda tanya, “Jika Tuhan wujud dan mengasihi kita, mengapakah Dia membenarkan penderitaan berlaku?” Maka, saudari kita menunjukkan cara menggunakan jw.org untuk cari jawapan kepada soalannya. Kedua-dua pelajar tersebut kagum dengan video yang menjawab soalan itu. Para pemuda tersebut kata bahawa mereka mahu belajar lebih banyak dan akan kongsi apa yang mereka belajar kepada kawan-kawan mereka.
Seorang lelaki yang menuturkan bahasa Punjabi di Sherbrooke, Quebec, Kanada, rasa kagum semasa seorang saudari di sebuah rak menyapa dia dalam bahasanya. Hasilnya, mereka dapat berbual, dan saudari kita dapat tunjukkan cara pembelajaran Bible diadakan dengan brosur Nikmati Hidup Selama-Lamanya! Lelaki itu tidak sangka bahawa dia boleh belajar Bible pada masa dan tempat yang sesuai untuknya, dan bahkan melalui persidangan video. Jadi, saudari kita membuat aturan agar seorang saudara belajar Bible dengannya.
Seorang saudari yang berada di rak bahan bacaan di Evansville, Indiana, A.S., mulakan perbualan dengan seorang wanita. Dia beritahu saudari kita bahawa dia telah berpindah ke kawasan itu untuk jaga ibunya yang tidak sihat. Saudari kita jelaskan bahawa dia juga pernah menjaga ibunya dan dia faham bahawa hal ini tidak mudah. Kemudian, dia baca ayat di Yesaya 33:24 dan Wahyu 21:4. Wanita itu sangat tersentuh dengan janji-janji Bible ini. Jadi dia minta saudari kita untuk baca ayat-ayat itu lagi. Perbualan itu membuahkan hasil dan saudari kita dapat buat aturan untuk teruskan perbincangan Bible dengannya.
Kita turut bersukacita dengan saudara saudari kita di Amerika Utara kerana mempunyai peluang istimewa ini untuk ajar orang lain tentang Pencipta Agung dan janji-janji-Nya.—Pengkhutbah 12:1, 2.