16 APRIL 2020
BERITA GLOBAL
Sambutan Peringatan 2020—Afrika
Disiarkan melalui Televisyen dan Radio
Sambutan Peringatan 2020 ialah sambutan yang sangat istimewa dalam sejarah teokratik kita. Buat julung kalinya, sambutan Peringatan disiarkan melalui televisyen dan radio dalam beberapa bahasa ke banyak tempat di Afrika.
Siaran ini membolehkan lebih daripada 407,000 orang penyiar untuk menonton program Peringatan. Selain itu, ramai orang yang berminat juga dapat menonton program tersebut. Walaupun kita tidak mengetahui jumlah keseluruhan penonton, siaran ini dapat menjangkau lebih daripada 150 juta orang.
Disebabkan oleh wabak COVID-19, kebanyakan orang di serata dunia menggunakan persidangan video (videoconference) untuk menonton ceramah Peringatan. Namun banyak penyiar di Afrika tinggal di kawasan yang tidak mempunyai talian Internet atau telefon yang bagus dan harganya juga mahal. Oleh itu, Badan Pimpinan mengizinkan beberapa pejabat cawangan untuk membuat kontrak dengan stesen televisyen dan radio untuk menyiarkan program Peringatan dengan harga yang berpatutan.
Sebelum Peringatan, 11 buah pejabat cawangan, iaitu pejabat cawangan Angola, Benin, Cameroon, Côte d’Ivoire, Ghana, Malawi, Mozambique, Republik Demokratik Congo, Senegal, Zambia, dan Zimbabwe, telah menghubungi syarikat-syarikat penyiaran. Mereka membuat aturan untuk menyiarkan ceramah Peringatan di lebih daripada 36 lokasi, di 16 buah negara.
Angola
Terdapat enam buah stesen radio yang setuju untuk menyiarkan program Peringatan dalam enam bahasa, iaitu bahasa Ibinda, Kikongo, Kimbundu, Nyaneka, Portugis, dan Umbundu. Stesen-stesen radio itu telah menyiarkan program Peringatan ke kawasan yang paling padat dengan penduduk di negara itu.
Ghana
Stesen kebangsaan TV di Ghana bersetuju untuk menyiarkan program Peringatan dalam bahasa Twi. Stesen itu bahkan menyiarkan iklan untuk menjemput semua orang menonton program Peringatan. Selain itu, stesen itu juga menyiarkan video Mengapakah Yesus Mati? dan Mengapakah Tuhan Membenarkan Penderitaan? dan juga muzik video Tidak Lama Tiba.
Republik Demokratik Congo
Pada mulanya, seorang pelajar Bible ingin menonton program Peringatan seorang diri kerana keluarganya tidak suka Saksi-Saksi Yehuwa. Namun, semasa dia bersedia untuk menonton program itu, bapanya berkata dari ruang tamu, “Sudah mula!” Dia segera pergi ke ruang tamu dan terkejut apabila melihat semua ahli keluarganya sedang berkumpul untuk menonton program itu. Sepuluh orang ahli keluarga pelajar Bible ini telah menonton program Peringatan bersamanya.
Di sebuah kampung dekat Luena, ada seseorang berkata, “Paderi kami langsung tidak buat apa-apa. Tapi, kamu terus menyembah Tuhan walaupun semasa wabak COVID-19 menular. Kami mahu ikut kamu!”
Senegal
Seorang saudari berkata, “Kami sangat kagum kerana ramai orang dapat belajar tentang Yehuwa melalui radio dan televisyen. Kami rasa sangat gembira dan diberkati. Kami bangga kerana Yehuwa ialah Tuhan kami!”
Seorang lagi saudari berkata, “Semasa saya mendengar bahawa ceramah Peringatan akan disiarkan melalui televisyen, saya berfikir, ‘Disebabkan COVID-19, kami tidak dapat menyertai kempen jemputan Peringatan. Tetapi inilah peluang keemasan untuk menjemput orang menonton program ini.’ Saya segera menghubungi pelajar Bible, kunjungan kembali, dan semua kawan-kawan saya yang bukan Saksi untuk memberitahu mereka tentang program ini. Sembilan pelajar Bible saya bersama keluarga mereka dapat menonton ceramah ini. Salah seorang sepupu saya yang menonton program ini di Ziguinchor mahu mengetahui lebih banyak. Saya sangat gembira untuk membantunya.”
Aturan istimewa ini membuktikan bahawa “tidak ada apa-apa yang mustahil bagi Tuhan.”—Matius 19:26.