Lompat ke kandungan

Keluarga Oh di Korea sedang menyambut Peringatan. Dua orang anak perempuan dan bapa mereka (kiri) menyambut Peringatan di rumah. Ibu mereka (kanan), yang sedang menerima rawatan di hospital, menyertai mereka melalui videoconference

22 APRIL 2020
BERITA GLOBAL

Sambutan Peringatan 2020—Asia

Saudara Saudari di Jepun dan Korea Selatan Menghadiri Peringatan biarpun Sakit dan Lanjut Usia

Sambutan Peringatan 2020—Asia

Disebabkan COVID-19, saudara saudari yang tinggal di rumah penjagaan atau yang ada di hospital menghadapi cabaran unik untuk menyambut Peringatan. Kebanyakan daripada mereka tidak diizinkan keluar atau menerima tetamu. Namun demikian, mereka dapat menyambut Peringatan dengan bantuan para penatua.

Korea Selatan

Di Bandar Naju, Saudari Lee Jeom-soon dan Saudari Kwon Ae-soon, yang berumur 91 dan 88, serta seorang lagi wanita yang berumur 96 tahun bertekad untuk menyambut Peringatan. Salah seorang doktor di rumah penjagaan itu ialah seorang Saksi. Selepas dia menyambut Peringatan di rumahnya, dia pergi semula ke rumah penjagaan untuk membantu menyiarkan program Peringatan melalui jw.org bagi mereka bertiga. Saudara itu juga telah membawa roti dan wain untuk mereka.

Saudara Choi Jae-cheol bekerja di sebuah rumah penjagaan di Bandar Uijeongbu. Terdapat 14 orang saudara saudari yang lanjut usia yang tinggal di sana. Saudara Choi Jae-cheol telah membantu saudara saudari yang tinggal di rumah penjagaan itu dan beberapa orang yang berminat untuk mendengar ceramah Peringatan melalui video. Hasilnya, pembelajaran Bible dimulakan dengan beberapa orang yang berminat itu.

Saudari Kim Tae-sun berumur 59 tahun dan tinggal di Cheonan. Saudari Kim diberitahu bahawa dia menghidap kanser lima tahun yang lalu. Baru-baru ini, dia dimasukkan ke dalam hospital kerana dia berasa sangat sakit. Saudari Tae-sun dirawat dalam bilik yang sama dengan Saudari Kim Jeong-mi, yang berumur 69 tahun dan menghidap kanser tahap keempat. Kedua-dua saudari ini tidak diizinkan untuk keluar dari hospital. Namun, dengan bantuan para penatua, mereka dapat menghadiri sambutan Peringatan dan bergaul dengan ahli sidang melalui persidangan video (videoconference).

Kedua-dua orang saudari ini menulis sepucuk surat untuk menunjukkan penghargaan mereka kepada para penatua. Mereka menulis, “Terima kasih kerana membantu kami menghadiri Peringatan biarpun wabak COVID-19 sedang menular dan keadaan kesihatan kami tidak bagus. Kami sangat menikmati pergaulan dengan saudara saudari.”

Jepun

Saudari Mieko Fujiwara yang berumur 70 tahun sedang dirawat di sebuah hospital di Mie, Jepun. Tetapi di sana tidak ada Wi-Fi dan dia tidak dapat menyambut Peringatan bersama sidangnya melalui videoconference. Sebelum Peringatan, seorang penatua bersama isterinya telah mengirim rakaman ceramah Peringatan ke telefonnya. Dengan demikian, dia dapat mengikut sambutan Peringatan di dalam biliknya.

Di Bandar Zama, Kanagawa, Saudari Yuki Takeuchi yang berumur 102 tahun tinggal di rumah penjagaan. Sebelum malam Peringatan, anak perempuannya dan menantunya telah mengirimkan roti dan wain kepadanya. Dengan demikian, dia dapat menyambut Peringatan bersama mereka melalui telefon.

Menantunya, Saudara Mimura, berkata, “Ibu mentua saya dibaptis pada tahun 1954 dan dia tidak pernah tidak menghadiri Peringatan. Walaupun sambutan tahun ini sangat berbeza, dia berasa sangat gembira kerana dapat menyambutnya.”

Kami yakin bahawa Yehuwa menghargai usaha saudara saudari yang sakit dan lanjut usia ini untuk menyambut Peringatan dengan bantuan para penatua.—Ibrani 6:10.