10 APRIL 2020
BERITA GLOBAL
Sambutan Peringatan 2020—Bethel Amerika Syarikat
Pada 7 April 2020, Saksi-Saksi Yehuwa di serata dunia merayakan sambutan Peringatan kematian Yesus Kristus biarpun wabak COVID-19 sedang menular di seluruh pelosok dunia. Seperti yang dinyatakan oleh Saudara Stephen Lett, salah seorang Badan Pimpinan, “Tidak ada virus atau pandemik di dunia ini yang dapat mengurangkan penghargaan kita bagi apa yang telah dilakukan oleh Yehuwa dan Yesus, dan tiada apa yang dapat melemahkan tekad kita untuk menyambut Perjamuan Malam Tuan.” Adakah hal ini benar-benar berlaku?
Untuk mengetahui bagaimana sambutan Peringatan diadakan di serata dunia semasa penularan pandemik coronavirus, siri rencana baharu akan dimuatkan dalam Ruangan Berita di laman web kita. Rencana ini ialah rencana yang pertama, dan kita akan melihat bagaimana Peringatan disambut di ibu pejabat sedunia Saksi-Saksi Yehuwa dan di pejabat cawangan Amerika Syarikat.
Memandangkan pihak berkuasa telah mengenakan sekatan untuk berkumpul, Badan Pimpinan membuat keputusan untuk menyediakan satu program Peringatan bagi seluruh keluarga Bethel. Program itu dapat ditonton oleh ahli Bethel dari bilik masing-masing. Ceramah itu telah disampaikan oleh Saudara Anthony Morris dari dewan di Warwick. Walaupun hanya beberapa orang yang makan roti dan minum wain, Pejabat Bethel telah menyediakan lambang-lambang Peringatan bagi seluruh keluarga Bethel.
Selain itu, ahli Bethel juga dapat menyertai program Peringatan di sidang masing-masing melalui persidangan video (videoconference). Para penatua di Bethel juga boleh menyampaikan ceramah Peringatan melalui cara yang sama.
Ramai ahli Bethel mengatakan bahawa sambutan Peringatan kali ini ialah yang paling istimewa. Walaupun mereka berjauhan dengan sidang sendiri, mereka tetap merasai kasih dan perpaduan persaudaraan sedunia. Mereka tahu bahawa rakan seiman di serata dunia sedang memperingati peristiwa yang menyingkapkan kasih Yehuwa dan Yesus.—Yohanes 3:16; Matius 20:28.