21 APRIL 2020
BERITA GLOBAL
Sambutan Peringatan 2020—JW.ORG
Laman Web JW.ORG Mencapai Bilangan Pelawat yang Tertinggi
Semasa pandemik COVID-19 sedang menular di seluruh bumi, Saksi-Saksi Yehuwa melipatgandakan usaha mereka pada musim Peringatan. Hasilnya, semakin banyak orang mengunjungi laman web jw.org untuk mendapat kelegaan, maklumat Bible, dan berita terkini. Pada bulan Mac, bilangan pelawat yang melayari laman web ini telah meningkat sebanyak 50 peratus berbanding bulan sebelumnya. Selain itu, permohonan untuk pembelajaran Bible juga mencapai angka tertinggi yang baharu.
Sejak pandemik COVID-19 mula merebak, semakin banyak orang mula melayari jw.org. Pada bulan Februari, terdapat sekitar dua juta pelawat setiap hari. Pada bulan Mac, angka ini meningkat ke lebih daripada tiga juta pelawat setiap hari. Tetapi semasa terdapat laporan berita terkini, jumlah pelawat meningkat kepada lebih daripada 4.5 juta pelawat setiap hari. Pada 7 April 2020, iaitu pada hari Peringatan, terdapat lebih daripada tujuh juta pelawat, dan kebanyakan daripada mereka menonton program penyembahan pagi dan ceramah Peringatan.
“Biasanya, orang melayari laman web jw.org pada masa ini untuk mengetahui lokasi dan masa bagi sambutan Peringatan,” kata Saudara Clive Martin, penyelia Bahagian Program MEPS di ibu pejabat sedunia Saksi-Saksi Yehuwa di Warwick, New York. “Memandangkan banyak orang yang berminat tidak dapat berkumpul bersama sidang tempatan pada tahun ini, ceramah istimewa 2020 dan ceramah Peringatan dalam lebih daripada 500 bahasa telah disediakan. Program-program ini telah ditonton atau dimuat turun sebanyak berjuta-juta kali. Semua ini menunjukkan bahawa jw.org merupakan saluran makanan rohani yang penting pada masa genting ini. Laman ini juga memberikan kelegaan, bukan hanya untuk Saksi-Saksi Yehuwa, tetapi juga untuk orang lain.”
Banyak pelawat mencari maklumat tentang kesihatan, cara mencegah penyakit, dan cara menangani stres serta kekhuatiran. Terdapat juga lebih banyak pelawat yang mencari maklumat Bible mengenai tanda hari-hari terakhir dan empat penunggang kuda yang disebutkan di Wahyu bab 6.
Satu lagi hal yang menarik ialah jumlah permohonan untuk pembelajaran Bible dalam talian. Biasanya, jumlah permohonan setiap hari adalah sekitar 250. Pada bulan Mac, angka ini meningkat sebanyak 40 peratus kepada sekitar 350 permohonan setiap hari, atau hampir 11,000 untuk bulan itu. Pada hari Peringatan dan hari yang seterusnya, lebih daripada 1,000 permohonan telah diterima.
Yesus berkata bahawa orang yang sedar akan keperluan rohani mereka akan berbahagia. (Matius 5:3) Kami sangat digalakkan kerana banyak orang sedang mencari kelegaan dan bantuan rohani daripada Yehuwa dan organisasi-Nya pada masa yang susah ini.—2 Korintus 1:3, 4.