4 DISEMBER 2020
BERITA GLOBAL
Saudara Aleksandr Ursu yang Berumur 80 Tahun Terus Bertabah Menghadapi Tentangan
“Yehuwa menjaga kami dahulu, dan saya yakin Dia akan terus menjaga kami sekarang.”
Pada petang 15 November 2018, Saudara Aleksandr Ursu, yang berumur 78 tahun, keluar dari rumahnya di Dzhankoy, Crimea untuk menyambut kedatangan anaknya, Viktor. Dia terkejut kerana ada lampu yang terang di luar pagar rumahnya. Dengan berhati-hati, dia pergi untuk melihat apa yang berlaku. Tiba-tiba dia mendengar ada orang berteriak, “Polis! Jangan bergerak!”
Aleksandr sangka ada beberapa orang saudara yang sedang bermain-main dengannya. Tetapi, dia kemudiannya sedar itu memang polis. Seorang lelaki yang bertopeng menyambar kedua-dua lengan Aleksandr dan menariknya ke belakang. Seorang lagi lelaki yang bertopeng menumbuk rahangnya. Enam orang ejen daripada Agensi Keselamatan Persekutuan (FSB) yang membawa mesingan menjalankan pemeriksaan tubuh atas Aleksandr dan Viktor sebelum menyerbu rumah Aleksandr.
Pada waktu itu, isteri Aleksandr, Nina, berada di dapur. Seorang ejen merampas alat elektroniknya dan menanya apa yang sedang dia tonton. Ejen-ejen itu menggeledah rumah mereka selama berjam-jam tetapi tidak menjumpai sebarang bahan bacaan yang terdapat dalam senarai bahan ekstremis Rusia.
Meskipun Aleksandr tidak ditahan, dia dan Saksi lain di Rusia dan Crimea tahu bahawa pihak berkuasa mungkin akan menyerbu rumah mereka dan menahan mereka pada bila-bila masa sahaja. Untuk mengharungi penganiayaan ini, Aleksandr merenungkan teladan baik ahli keluarganya yang setia dan pengalamannya sendiri semasa pemerintahan kerajaan Soviet.
Pada 6 Julai 1949, semasa Aleksandr berumur sembilan tahun, tentera Soviet menyerbu dan menggeledah rumah keluarganya pada tengah malam. Mereka membuang semua barang milik keluarga Aleksandr ke lantai dan menyuruh keluarganya untuk mengemas beg. Aleksandr berkata, “Ibu saya curi-curi memasukkan bahan bacaan Bible, seperti buku The Harp of God.” Kemudian, seluruh keluarga Aleksandr dibawa ke stesen kereta api.
Dengan berani, keluarga Aleksandr dan Saksi-Saksi lain dalam kereta api menyanyikan lagu teokratik seraya mereka dibawa ke tempat tinggal baharu mereka di Siberia. Mereka adalah antara ribuan saudara saudari yang dibuang negeri ke Siberia dari tahun 1949 hingga 1951.
Pada tahun 1950-an, saudara saudari di Siberia berkumpul secara rahsia di ladang untuk mengadakan perjumpaan. Ada keluarga yang berjalan sejauh 20 kilometer untuk menghadiri perjumpaan sebegini.
Moyang Aleksandr, Makar; datuknya, Maksim; datuk saudaranya, Vladimir; dan bapanya, Pyotr, telah menetapkan teladan yang sangat baik. Mereka menyembah Yehuwa dengan tabah dan setia. Aleksandr telah meraih manfaat daripada teladan mereka.
Pada tahun 1944, bapa Aleksandr dijatuhkan hukuman penjara selama 10 tahun kerana enggan menyertai khidmat tentera. Tetapi, dia dibenarkan pulang selepas tiga tahun kerana dia lumpuh akibat kecederaan saraf tunjang. Aleksandr masih ingat bapanya memberitahunya kisah Daud, Goliat, dan persahabatan antara Daud dan Yonatan.
“Datuk saudara saya, Vladimir, selalu mendengar siaran radio WBBR dan menerima bahan bacaan Bible. Pada masa itu, memiliki radio ialah suatu kesalahan. Jadi, datuk saudara saya membina sebuah bilik bawah tanah supaya dia dan orang lain yang berminat dapat mendengar siaran radio WBBR dengan selamat,” kenang Aleksandr.
Sekitar tahun 1940-an, seorang yang berpura-pura berminat melaporkan lokasi bilik bawah tanah itu kepada pihak berkuasa. Akibatnya, Vladimir dan Maksim ditangkap dan dipenjarakan di Khotyn, barat Ukraine, kira-kira 80 kilometer dari kampung mereka.
“Nenek saya berjalan kaki ke penjara untuk melawat mereka. Selepas dia balik, dia kata iman mereka sangat kuat dan mereka tetap bersukacita. Tetapi, dia dapat melihat bahawa mereka dipukul.” Sedihnya, Vladimir dan Maksim meninggal di penjara.
“Kami masih tidak tahu apa yang berlaku kepada mereka, bagaimana mereka dilayan, bagaimana mereka meninggal, dan di mana mereka dikebumikan. Tetapi, kami yakin bahawa mereka tetap setia kepada Yehuwa sehingga nafas yang terakhir,” kata Aleksandr.
Teladan baik ahli keluarga Aleksandr dan pengalamannya sendiri di Siberia mempersiapkannya untuk menghadapi penganiayaan sekarang. Dia berkata, “Sejak kecil, saya melihat pihak berkuasa menyerbu dan menggeledah rumah, jadi saya sudah biasa. Yehuwa menjaga kami dahulu, dan saya yakin Dia akan terus menjaga kami sekarang.”
Aleksandr menyambung, “Saya juga dibantu untuk bertahan dengan mengkaji Bible setiap hari, membuat perenungan, menghadiri perjumpaan secara tetap, dan menjalinkan hubungan yang rapat dengan saudara saudari.”
Aleksandr juga selalu membaca pengalaman saudara saudari lain dan meraih kekuatan daripada keberanian mereka. Dia berkata, “Ucapan penutupan saudara saudari di mahkamah mengingatkan saya tentang nubuat Yesus yang berbunyi, ‘Kamu akan dihadapkan kepada gabenor dan raja kerana aku. Maka kamu akan berpeluang untuk memberikan kesaksian kepada mereka dan bangsa-bangsa lain.’”—Matius 10:18.
Saudara saudari kita bukan sahaja bertabah meskipun dianiaya, mereka bahkan juga menjadi kuat secara rohani kerana adanya sokongan Tuhan Yehuwa. Teladan mereka membuktikan kebenaran kata-kata Daud: “Semua orang yang berlindung kepada [Yehuwa] akan bersukacita; mereka akan bersorak-sorai dengan gembira.”—Mazmur 5:11.