29 DISEMBER 2020
BERITA GLOBAL
Saudara Saudari di Kawasan Terpencil Menggunakan Kaedah yang Kreatif untuk Mengadakan Perjumpaan
Banyak sidang di serata dunia bergantung pada teknologi untuk mengadakan perjumpaan semasa pandemik. Namun, saudara saudari di kawasan terpencil tidak mempunyai rangkaian Internet yang baik. Walaupun begitu, mereka telah mencurahkan banyak usaha untuk mengekalkan rutin rohani yang baik, dan pada masa yang sama mengikut arahan keselamatan COVID-19. Sila lihat beberapa contoh dari Afrika.
Malawi
Ramai saudara saudari tidak mempunyai talian Internet dan mereka tidak dapat menggunakan Zoom. Jadi setiap minggu, pejabat cawangan Malawi menghantar rakaman video perjumpaan kepada para penatua di setiap sidang melalui rangkaian telefon. Kemudian para penatua akan mengedarkan rakaman itu kepada penyiar dalam sidang mereka.
Tetapi cara ini membawa cabaran bagi 28 orang penyiar di Sidang Tcharo. Mereka tinggal di kawasan pergunungan di utara Malawi berdekatan Tasik Malawi. Gunung-gunung di situ menyebabkan mereka susah mendapat line telefon. Maka, seorang penatua di situ harus membuat perjalanan jauh untuk sampai ke tempat yang mempunyai line telefon yang kuat. Kemudian, dia akan balik ke kawasan pergunungan dan pergi berdekatan rumah setiap orang Saksi untuk menghantar rakaman perjumpaan kepada mereka melalui Bluetooth.
Baru-baru ini, para penatua gembira untuk mendapat tahu bahawa mereka boleh mendapat line telefon yang lebih kuat di Tasik Malawi yang berdekatan rumah mereka. Jadi mereka mengayuh kanu di Tasik Malawi, jauh dari kawasan pergunungan, supaya dapat memuat turun rakaman perjumpaan. Dengan ini, mereka dapat menjimatkan masa dan tidak perlu membuat perjalanan jauh.
Mozambique
Untuk “melawat” sidang-sidang di barat laut Mozambique, para penyelia litar memberikan ceramah melalui telefon bimbit. Oleh sebab satu telefon tidak dapat menghubungkan banyak orang, penyelia litar perlu meletakkan banyak telefon di hadapannya semasa memberikan ceramah. Setiap telefon dihubungkan kepada sebuah keluarga.
Ada penyiar yang tinggal di kawasan yang begitu terpencil sehingga langsung tiada line telefon berdekatan rumah mereka. Untuk menghadiri perjumpaan, mereka perlu berjalan merentasi belukar untuk pergi ke kawasan yang ada line telefon. Di sana mereka akan duduk dan mendengar program perjumpaan.
Saudara Yohane Vinho, seorang penyelia litar di kawasan itu menjelaskan, “Ramai saudara saudari mencurahkan banyak usaha untuk meraih manfaat daripada perjumpaan.” Hal ini membantu mereka untuk tetap teguh secara rohani meskipun berada di kawasan terpencil. Seorang lagi penyelia litar yang bernama Carlos Cortazão menjelaskan, “Kami masih rasa seperti bersama saudara saudari di Dewan Perjumpaan kerana kami dapat memberikan komen dan menyanyi bersama-sama. Kami dapat melihat bahawa Yehuwa terus memelihara umat-Nya semasa pandemik ini.”—Yohanes 21:17.