Lompat ke kandungan

5 OGOS 2024
BERITA GLOBAL

Sebanyak 10 Bible Dikeluarkan pada Julai 2024

Sebanyak 10 Bible Dikeluarkan pada Julai 2024

Bahasa Isyarat Malawi

Pada 5 Julai 2024, Saudara Colin Carson, seorang ahli Jawatankuasa Cawangan Malawi, telah mengumumkan pengeluaran Kitab Yunani Kristian Terjemahan Dunia Baharu dalam Bahasa Isyarat Malawi. Pengumuman ini dibuat pada hari pertama Konvensyen Serantau 2024 ‘Isytiharkanlah Berita Baik!’ di Lilongwe, Malawi. Seramai 331 orang telah menghadiri acara itu. Pengeluaran itu dapat dimuat turun dengan serta-merta dalam bentuk digital di jw.org dan aplikasi JW Library Bahasa Isyarat.

Pengeluaran ini merupakan Kitab Yunani Kristian yang pertama yang disediakan dalam Bahasa Isyarat Malawi. Bahasa isyarat ini digunakan oleh lebih daripada 400,000 orang. Kini, lebih daripada 600 saudara saudari berkhidmat di 16 sidang dan 8 kumpulan bahasa isyarat di Malawi.

Bahasa Cibemba

Pada 19 Julai 2024, Saudara Gage Fleegle, seorang ahli Badan Pimpinan, telah mengeluarkan Bible Kitab Suci Terjemahan Dunia Baharu yang dikemaskinikan dalam bahasa Cibemba. Pengumuman ini dibuat pada hari pertama Konvensyen Serantau 2024 ‘Isytiharkanlah Berita Baik!’ di Stadium Levy Mwanawasa di Ndola, Zambia. Sejumlah 23,336 orang telah menghadiri acara itu di lokasi tersebut dan 5,920 orang telah menontonnya melalui persidangan video di lima lokasi konvensyen yang lain. Hadirin di kesemua enam lokasi tersebut telah menerima senaskhah Bible Terjemahan Dunia Baharu. Selain itu, Bible ini dan rakaman audio bagi buku Rut, 1 Yohanes, 2 Yohanes, dan 3 Yohanes dapat dimuat turun dengan serta-merta.

Bible Kitab Suci Terjemahan Dunia Baharu dalam bahasa Cibemba telah dikeluarkan pada 2008. Terdapat sekitar empat juta penutur bahasa Cibemba di Zambia, termasuk 131,351 penyiar yang berkhidmat di 1,856 sidang dan 8 kumpulan di negara itu.

Bahasa Quiche

Pada 19 Julai 2024, Saudara José Torres, seorang ahli Jawatankuasa Cawangan Amerika Tengah, telah mengumumkan pengeluaran Bible—Berita Baik Menurut Matius dalam bahasa Quiche. Pengumuman ini dibuat semasa Konvensyen Serantau 2024 ‘Isytiharkanlah Berita Baik!’ di San Lucas Sacatepéquez, Guatemala. Para hadirin yang berjumlah 405 orang telah menerima senaskhah buku itu. Edisi digital pengeluaran itu juga dapat dimuat turun dengan serta-merta di jw.org dan aplikasi JW Library.

Terdapat lebih daripada sejuta orang yang menuturkan bahasa Quiche. Kebanyakan daripada mereka tinggal di Guatemala. Pada 2010, sidang bahasa Quiche yang pertama telah ditubuhkan di sana. Hari ini, sejumlah 387 penyiar berkhidmat di 16 sidang di Guatemala.

Bahasa Chuabo/Makhuwa-Meetto/Makhuwa-Shirima/Nsenga (Mozambique)/Phimbi/Tewe/Tshwa

Pada 28 July 2024, satu perjumpaan istimewa telah diadakan di Estádio Nacional do Zimpeto di Maputo, Mozambique. Seramai 26,025 orang telah menghadiri program itu di lokasi tersebut dan 64,570 orang telah menontonnya melalui persidangan video di 16 lokasi lain.

Semasa program itu, Saudara Fleegle telah mengumumkan pengeluaran baharu bagi beberapa bahasa, dan semua bahan itu tersedia dalam bentuk bercetak dan digital. Pengumuman itu termasuk pengeluaran Bible—Berita Baik Menurut Matius dalam bahasa Makhuwa-Meetto, Makhuwa-Shirima, dan Nsenga (Mozambique); Kitab Yunani Kristian Terjemahan Dunia Baharu dalam bahasa Chuabo, Phimbi, dan Tewe; serta Bible Kitab Suci Terjemahan Dunia Baharu dalam bahasa Tshwa.

Kita bersukacita kerana sebahagian atau seluruh Bible Terjemahan Dunia Baharu kini tersedia dalam 300 bahasa!