Lompat ke kandungan

Saudari Mieko Yoshinari di Jepun menulis komennya besar-besar kerana tidak dapat melihat dengan jelas

28 APRIL 2021
BERITA GLOBAL

Sekolah Latihan Perintis Diadakan melalui Persidangan Video buat Kali Pertama

Sekolah Latihan Perintis Diadakan melalui Persidangan Video buat Kali Pertama

Disebabkan COVID-19, Sekolah Latihan Perintis di seluruh pelosok dunia diadakan melalui persidangan video buat kali pertama sepanjang tahun aktiviti penyebaran 2021. Pelajar-pelajar berusaha sedaya upaya untuk menghadiri sekolah ini kerana mereka bersyukur dengan aturan rohani daripada organisasi Yehuwa. Pengalaman-pengalaman berikut menunjukkan bagaimana Yehuwa membantu para perintis mengatasi cabaran dan masalah yang susah agar dapat menyertai sekolah tersebut.

Saudari Mieko Yoshinari dari Jepun telah berkhidmat sebagai perintis biasa selama 30 tahun. (Lihat gambar di atas.) Walaupun susah bagi dia untuk guna alat elektronik dan matanya tidak dapat lihat dengan jelas, dia masih bertekad menghadiri sekolah perintis itu. Dia berkata, “Selepas buat penyelidikan, saya sediakan komen dengan menulisnya besar-besar supaya mudah bagi saya baca. Yehuwa menggalakkan dan menguatkan saya menerusi sekolah perintis ini.”

Saudari Anita Kariuki yang tinggal di Thika, sebuah bandar berdekatan Nairobi, Kenya, menyokong kerja merintis dengan bekerja sebagai jurusolek. Dia tidak bekerja selama seminggu agar dapat mengikuti sekolah tersebut. Pada mulanya, Anita rasa bimbang tapi dia yakin sepenuhnya bahawa Yehuwa akan membantunya. Dia menjelaskan, “Saya berdoa untuk mohon bantuan Yehuwa dan terus menginjil.” Pada hujung minggu sebelum sekolah bermula, dia berjaya mendapat wang yang cukup untuk membayar kebanyakan perbelanjaannya. Walaupun dia masih perlu $30 (A.S.), dia tetap menghadiri sekolah itu. Selepas sesi Rabu, seorang pelanggan menelefon Anita untuk membayar wang yang dihutangnya. Itulah jumlah wang yang Anita perlukan untuk membiayai perbelanjaannya!

Rumah Saudari Laurenth Madrigales di Yoro, Honduras, dilanda banjir dan dipenuhi tiga kaki lumpur akibat Taufan Eta dan Iota. Keluarganya hampir kehilangan semua harta benda dan mereka berada di penempatan sementara semasa Laurenth terima surat jemputan ke sekolah latihan perintis. Dia gembira tapi dia bimbang keluarganya tidak sempat membersihkan rumah sebelum sekolah bermula. Laurenth menjelaskan, “Kami perlu buat pembersihan dari awal pagi dan habis lewat setiap malam. Kami buat begitu untuk banyak hari. Saya letih sekali. Saya rasa tidak bertenaga untuk belajar dan buat persiapan untuk sekolah itu. Saya ingin beritahu saudara bahawa saya terpaksa menolak jemputan itu.” Laurenth berdoa kepada Yehuwa untuk meluahkan kesedihan kerana situasinya. Tanpa disangka, beberapa hari sebelum sekolah bermula, Jawatankuasa Bantuan Bencana datang untuk membersihkan rumah mereka. Jadi, Laurenth mempunyai masa untuk buat persediaan dan dapat menghadiri sekolah itu di rumahnya.

Saudari Laurenth Madrigales di Honduras dan rumahnya yang rosak akibat taufan sebelum dibersihkan

Saudara Spencer Stash dan isterinya, Alexandra, ialah perintis biasa yang berkhidmat di Cleveland, Ohio, Amerika Syarikat. Sebelum sekolah bermula, ayah Spencer, Robert, seorang duda, telah dimasukkan ke wad hospital. Pasangan ini tidak pasti sama ada mereka dapat menghadiri sekolah itu. Robert menggalakkan mereka untuk berbuat demikian. Sedih sekali, dua hari sebelum sekolah bermula, Robert meninggal. Walaupun hati Spencer dan Alexandra hancur berkecai, mereka hanya tidak menghadiri kelas perintis pada hari pertama. Mereka kerap berdoa dan Yehuwa memberi kekuatan yang mereka perlukan untuk menyertai sekolah itu. Spencer berkata bahawa mereka rasa kedamaian batin kerana memenuhi hasrat ayahnya. Spencer menambah, “Kami menantikan saatnya untuk memberitahu ayah bahawa kami dapat mengikuti sekolah itu dan mengongsi apa yang kami pelajari dengannya. Sokongan daripada rakan sekelas dan pengajar merupakan apa yang kami perlukan pada saat itu.”

Saudara Jung Dae-sik di Korea Selatan tinggal di pusat jagaan selama 10 tahun yang lepas. Dia menggunakan kerusi roda kerana mengalami strok yang menyebabkannya separa lumpuh. Dia pernah cuba menyertai sekolah perintis yang lepas, tetapi kerana keadaan kesihatannya, dia tidak dapat menghadiri lebih dari sehari. Apabila dia menerima jemputan untuk mengikuti sekolah perintis secara online, dia rasa sukacita yang tidak terhingga. Dia mengenang kembali, “Saya amat bersyukur dengan aturan ini sehingga tidak dapat menahan titisan air mata saya. Tanpa aturan ini, tidak mungkin saya dapat menghadiri sekolah perintis. Saya rasa sukacita yang melimpah kerana dapat ambil bahagian dalam kelas itu.”

Saudara Jung Dae-sik di Korea menghadiri sekolah latihan perintis dari pusat penjagaan

Saudara Eddy El Bayeh dan isterinya, Cherise, perintis biasa di Australia

Saudara Eddy El Bayeh dan isterinya, Cherise, tinggal di New South Wales, Australia. Cherise berkata, “Saya rasa saya tidak buat kemajuan dalam kerja penyebaran. Saya memang ada rutin tapi saya tidak tahu bagaimana untuk meningkatkan semangat menginjil saya.” Sekolah perintis ialah apa yang diperlukannya. Dia menyambung, “Saya sedar bahawa saya dapat usahakan banyak aspek untuk meluaskan kerja penyebaran meskipun dalam situasi yang terhad.”

Eddy menjelaskan bagaimana sekolah tersebut menggalakkannya. Dia berkata, “Sekolah itu bagaikan pelukan yang hangat daripada Tuhan Yang Maha Kuasa, dan tepukan pada bahu untuk meyakinkan saya. Yehuwa seolah-olah berkata, ‘Teruslah berusaha! Aku menyertaimu, Aku mengasihimu dan Aku ambil berat tentangmu!’”

Lebih banyak kelas perintis secara virtual sedang dijadualkan untuk tahun ini. Kita digalakkan apabila melihat umat Yehuwa terus dididik oleh-Nya tidak kira apa jua situasi yang berlaku di dunia. Hal ini mengingatkan kita akan kata-kata Ayub yang berbunyi, “Ketahuilah! Tuhan sangat berkuasa dan perkasa. Pernahkah kamu melihat guru yang sehebat Dia?”—Ayub 36:22.

Gambar-gambar berikut menunjukkan para pengajar dan pelajar di tempat lain yang turut meraih manfaat daripada sekolah perintis secara virtual.

ARGENTINA: Pelajar menggunakan latar virtual untuk membuat demonstrasi kesaksian tidak formal semasa menggunakan pengangkutan awam

CAMEROON: Saudara Guy Leighton, seorang pengajar sekolah perintis dan mubaligh yang berkhidmat di Cameroon selama 12 tahun, menunjukkan replika Gulungan Laut Mati kepada kelas semasa membincangkan penterjemahan Bible

GREECE: Saudara Takis Pantoulas, seorang penyelia litar yang berkhidmat di sidang-sidang Greece tengah, sedang mengajar perintis

ITALI: Salah satu daripada lima kelas sekolah perintis bahasa Inggeris yang diadakan di Itali

MEXICO: Beberapa pelajar yang menghadiri sekolah perintis dengan menggunakan buku teks baharu dalam bahasa Tzotzil, yang ditutur di negeri Chiapas. Ini merupakan kelas pertama yang diadakan sepenuhnya dalam bahasa peribumi Tzotzil

SRI LANKA: Saudara Nishantha Gunawardana dan isterinya, Shiromala, yang berkhidmat sebagai perintis khas, mengikuti sekolah perintis

TANZANIA: Saudara William Bundala, seorang penatua di Zanzibar, duduk di hadapan rumahnya kerana signal Wi-Fi lebih baik