Lompat ke kandungan

7 NOVEMBER 2023
BERITA GLOBAL

Seratus Tahun Pengeluaran Menara Pengawal dalam Bahasa Portugis

Seratus Tahun Pengeluaran Menara Pengawal dalam Bahasa Portugis

Pada 1923, Saudara George Young pergi ke Brazil untuk menubuhkan pejabat cawangan dan mengaturkan kerja penyebaran. Ketika itu, hanya terdapat edisi bahasa Inggeris majalah The Watch Tower and Herald of Christ’s Presence (kini dipanggil Menara Pengawal—Mengumumkan Kerajaan Yehuwa) di negara itu. Maka, Saudara Young membuat aturan supaya majalah itu diterjemahkan ke dalam bahasa Portugis dan kemudian dicetak oleh syarikat percetakan tempatan. Pada Oktober 1923, edisi pertama Menara Pengawal dalam bahasa Portugis telah diterbitkan. Tiga tahun kemudian, pejabat cawangan Brazil telah mendapat mesin cetak daripada Ibu Pejabat Sedunia Saksi-Saksi Yehuwa di Brooklyn, New York, A.S. Hasilnya, kerja percetakan dapat dilakukan di cawangan Brazil.

Kiri: Mesin cetak pertama yang digunakan di cawangan Brazil. Kanan: Menara Pengawal edisi bahasa Portugis yang pertama dicetak di cawangan Brazil

Menara Pengawal edisi Portugis yang pertama yang diterbitkan di Portugal pada 1925

Pada 1925, para saudara di Portugal mula menterjemahkan Menara Pengawal ke dalam bahasa Portugis Eropah. Tetapi pada 1933, kerajaan diktator mula menentang para Saksi. Sedihnya, kerja penterjemahan di Portugal terpaksa dihentikan. Selama bertahun-tahun, saudara saudari di Portugal harus menggunakan Menara Pengawal bahasa Portugis yang diterbitkan di Brazil. Saudari Isabel, yang tinggal di Portugal pada masa itu, berkata, “Saya berusaha untuk berfokus kepada mesej Bible dan bukannya perbezaan tatabahasa atau kosa kata. Ketika itu, kami tiada bahan bacaan dalam bahasa Portugis [Eropah]. Saya sangat bersyukur kerana para saudara di Brazil menyediakan bahan bacaan dalam bahasa Portugis.”

Pada 1961, Bible Terjemahan Dunia Baharu edisi bahasa Inggeris diterbitkan dalam satu jilid. Kemudian, kelulusan telah diberikan untuk menterjemahkannya ke dalam enam bahasa yang lain, termasuk bahasa Portugis. Walaupun kerja ini mencabar, para penterjemah di Brazil cuba sedaya upaya untuk menggunakan kosa kata yang dapat difahami oleh penutur bahasa Portugis di serata dunia. Selama puluhan tahun, kaedah ini juga digunakan untuk menterjemahkan Menara Pengawal ke dalam bahasa Portugis. Tetapi pada 2017, kelulusan telah diberikan untuk menterjemahkan Menara Pengawal ke dalam bahasa Portugis (Brazil) dan bahasa Portugis (Portugal).

Dari atas kiri mengikut arah jam: Saudara saudari menginjil dengan menggunakan Menara Pengawal dalam bahasa Portugis di Angola, Brazil, Portugal, dan Mozambique

Hari ini, terdapat kira-kira 1.2 juta penyiar yang menuturkan bahasa Portugis. Di seluas dunia, sekitar 260 juta penutur bahasa Portugis dapat membaca Menara Pengawal dalam bahasa ibunda mereka. Kita berdoa agar mereka dan ramai lagi dapat belajar tentang “perkara-perkara menakjubkan yang dilakukan oleh Tuhan.”—Kisah 2:11.