28 MAC 2023
BERITA GLOBAL
Siklon Freddy Membadai Afrika Timur
Baru-baru ini, Siklon Freddy membadai kawasan Afrika Timur dan mengakibatkan kerosakan yang teruk. Siklon Freddy merupakan salah satu siklon tropika yang paling lama direkodkan. Pada awal bulan Februari 2023, siklon ini mula terbentuk dan membadai beberapa kawasan. Pada 21 Februari 2023, Siklon Freddy melanda Madagascar dan menuju ke arah Selat Mozambique. Beberapa hari kemudian, siklon ini membadai Mozambique dan Malawi. Ribut ini bertambah kuat dan melanda Mozambique buat kali kedua pada 11 Mac 2023. Banyak kawasan di Madagascar, Malawi, dan Mozambique terjejas akibat bencana ini. Angin kencang dan hujan lebat telah menyebabkan banjir yang teruk. Akibatnya, banyak rumah mengalami kerosakan. Selain itu, lebih daripada 500 orang terkorban, termasuk beberapa saudara saudari kita. Ribuan penduduk juga terpaksa berpindah.
Setakat 27 Mac 2023, berikut ialah jumlah yang dilaporkan. Angka-angka ini berdasarkan laporan yang disahkan oleh para saudara tempatan. Namun, angka sebenar mungkin berbeza kerana para saudara masih sedang mengenal pasti jumlah kerosakan di kawasan terpencil.
Kesan terhadap Saudara Saudari
Madagascar
256 penyiar dan keluarga mereka terpaksa meninggalkan rumah
8 rumah musnah
29 rumah mengalami kerosakan
3 Dewan Perjumpaan mengalami kerosakan
Malawi
Sedihnya, 8 penyiar terkorban dan 6 penyiar masih hilang
3 penyiar tercedera
Sekurang-kurangnya 4,300 penyiar dan keluarga mereka terpaksa meninggalkan rumah
821 rumah musnah
174 rumah mengalami kerosakan
20 Dewan Perjumpaan mengalami kerosakan
Mozambique
Sedihnya, 1 penyiar terkorban dan 1 penyiar masih hilang
880 penyiar dan keluarga mereka terpaksa meninggalkan rumah
248 rumah musnah
185 rumah mengalami kerosakan
7 Dewan Perjumpaan mengalami kerosakan
Bantuan yang Dihulurkan
Banyak kawasan yang terjejas masih belum dapat dicapai
Jawatankuasa Bantuan Bencana menyediakan tempat tinggal, makanan, air, dan keperluan lain kepada mangsa bencana
Di Mozambique, sebuah khemah telah dibina di wilayah Gaza sebagai tempat tinggal sementara bagi 167 penyiar dan keluarga mereka yang telah berlindung di Dewan Perhimpunan sebelum ini. Ratusan rakan seiman yang lain pula tinggal di Dewan Perjumpaan dan rumah-rumah di kawasan itu
Sekurang-kurangnya 16 rumah telah dibaiki
Para ahli Jawatankuasa Cawangan, penyelia litar, dan penatua tempatan melawat keluarga para Saksi untuk melegakan mereka dan mengenal pasti keperluan mereka
Meskipun menghadapi banyak cabaran, saudara saudari kita yang terjejas akibat bencana ini tetap berusaha mengadakan perjumpaan Kristian dan menggalakkan satu sama lain. Kita yakin bahawa Yehuwa akan mengurniai mereka “kuasa luar biasa” untuk terus bertabah.—2 Korintus 4:7.